JIKA dibandingkan semua teknologi jentera yang digunakan dulu dan sekarang, kita akan dapati teknologi enjin kereta tidak banyak berubah. Misalnya, enjin Perodua Myvi edisi pertama dan Myvi paling terbaharu memiliki banyak persamaan.
Namun siapa pun tidak dapat meramalkan apa bakal berlaku dengan teknologi. Contohnya, pencipta telefon, Alexander Graham Bell mungkin tidak pernah membayangkan telefon akan jadi secanggih iPhone.
Ketika teknologi komunikasi berkembang pesat dan pantas, enjin kereta masih menggunakan prinsip asas sama, iaitu pembakaran udara dan bahan api untuk menghasilkan daya putaran yang menggerakkan kereta.
Enjin moden berevolusi bagi memenuhi keperluan kuasa dan kecekapan diperlukan pemandu masa kini walaupun konsep asas enjin seperti enjin awal dulu masih digunakan.
Kalau enjin lama diibaratkan sebagai serigala, maka enjin moden ialah anjing. Kedua-duanya memiliki asal-usul dan karakter hampir sama, tetapi salah seekor haiwan itu mampu bertahan dengan kehidupan moden, manakala satu lagi tidak mampu hidup di bandar atau pinggir bandar.
Sebelum berbincang mengenai perbezaan enjin moden dan lama, kita perlu memahami asas enjin kereta beroperasi, iaitu bahan api (seperti petrol, diesel dan lain-lain) dan udara dibakar dalam ruang tertutup dipanggil silinder. Dalam ruang itu, terdapat piston bergerak atas dan bawah, terhasil daripada tenaga letupan bahan api dan udara.
Piston pula bersambung kepada engkol yang berputar apabila pergerakan piston berlaku. Pergerakan berkenaan berhubung dengan sistem transmisi kereta yang menghantar tenaga untuk menggerakkan roda. Nampak mudahkan?
Dengan enjin moden, fungsi asas itu masih lagi terpakai, tetapi ada banyak lagi yang perlu difikirkan jurutera pengeluar kereta sedunia. Kami senaraikan kelebihan enjin moden hari ini yang lebih superior berbanding enjin lama
BACA >>> #TahukahAnda: Segala Tentang Mounting Enjin yang Perlu Anda Tahu
1. ENJIN MODEN LEBIH CEKAP
Enjin kereta petrol biasa tidak memiliki kecekapan penggunaan bahan api. Berdasarkan keseluruhan tenaga dalam petrol, hanya 15 peratus saja bertukar kepada tenaga mekanikal yang menggerakkan kereta.
Tenaga selebihnya pula hilang ketika enjin berada dalam situasi pegun, manakala lebih 60 peratus tenaga lagi hilang kerana haba dan geseran dalam ruang enjin. Berdasarkan maklumat itu, dapatlah kita faham kenapa enjin kereta lama kurang jimat petrol jika dipandu laju.
Beberapa teknologi enjin moden digunakan bagi meningkatkan kadar kecekapan enjin. Contohnya, sesetengah pengeluar menggunakan teknologi suntikan terus (direct injection, DI), yang menggabungkan minyak dan udara sebelum dimasukkan ke dalam ruang silinder. Operasi tersebut mampu meningkatkan kecekapan enjin hingga 12 peratus kerana bahan api terbakar lebih effektif.
Teknologi pengecas turbo (turbocharger) pula memampatkan udara yang digunakan pada kitaran pembakaran. Udara termampat itu menghasilkan pemabakaran lebih efektif. Teknologi pemasaan injap variabel (variable-valve timing, VVT) dan 'nyah aktif silinder' (cylinder deactivation) pula ialah teknologi yang membolehkan enjin hanya menggunakan bahan api apabila diperlukan sahaja.
2. ENJIN MODEN ADA KUASA LEBIH
Pemandu moden lebih risaukan kadar penggunaan petrol kereta mereka berbanding awal penciptaan kereta dulu. Pada masa sama, pemandu juga kerap memikirkan kemampuan enjin memberikan kuasa dan kelajuan.
Di sebalik kelajuan tinggi, enjin moden turut dilengkapi banyak ciri keselamatan yang secara tidak langsung menambah berat kenderaan berbanding enjin lama.
Ini bermakna enjin moden perlu bergerak laju dengan membawa beban lebih tinggi. Dari faktor kedudukan pusat graviti kereta, beban tinggi di depan memaksa pasukan jurutera menghasilkan ciri tambahan pada ruang kabin.
Selain lebih cekap, enjin moden juga mempunyai lebih kuasa berbanding enjin lama walaupun jurang tahun pembuatan tidaklah begitu jauh. Kita ambil contoh model Chevrolet Malibu.
Malibu pertama ialah model 1983 dengan enjin 3.8L V6 berkuasa 110hp. Pada 2005, sedan ini dijana enjin 4-silinder sebaris 2.2L berkuasa 144hp. Kuasa kuda (hp) turut bertambah pada 2011 dengan menggunakan enjin 4-silinder 2.4L.
Ketika itu, pembeli turut diberikan pilihan enjin 3.6L V6 berkuasa 252hp. Lihat betapa enjin moden mampu meningkatkan kuasa kuda pada sesebuah kereta. Malah, enjin 4-silinder tahun 2011 memiliki kuasa 59hp melebihi Malibu V6.
3. ENJIN MODEN LEBIH KECIL
Berdasarkan kefahaman umum, kalau perlukan ekstra kuasa kuda, kita perlukan enjin kereta lebih besar. Bagaimanapun, itu tidak berlaku pada situasi sebenar, seperti Malibu yang dijadikan contoh di atas. Walaupun kuasa kuda model itu bertambah, tetapi saiz enjin mengecil.
Banyak juga contoh kereta di Malaysia, seperti enjin Honda Civic Turbo 1.5L yang mampu memberikan kuasa kuda hampir sama dengan enjin Honda bersesaran 2.4L.
Pengecilan saiz enjin kereta pada model kereta hari ini boleh dikaitkan dengan proses peningkatan kecekapan enjin kereta tersebut. Pengeluar kereta mula sedar, mereka tidak perlu menghasilkan enjin bersaiz besar hanya untuk memenuhi kehendak kuasa kuda yang pemandu mahukan.
Pengeluar hanya perlu memberikan enjin yang dapat beroperasi dengan pintar. Maka terciptalah enjin moden yang direka untuk beroperasi dengan kecekapan tinggi tanpa memerlukan ruang enjin besar.
BACA >>> Honda Civic Facelift (2020) Lancar! 10 Perkara Perlu Anda Tahu, Harga Mula RM113k!
4. ENJIN MODEN LEBIH PINTAR
Perbezaan ketara lain, operasi enjin moden tidak sesukar enjin lama. Enjin V8 lama akan beroperasi secara menyeluruh tanpa bergantung kepada kondisi semasa kereta.
Maknanya, semua silider enjin kekal beroperasi walaupun kereta tidak bergerak atau sedang memecut laju. Situasi ini sudah tentu sangat merugikan kerana semua silinder menerima jumlah bahan api yang sama sepanjang enjin beroperasi.
Enjin moden pula beroperasi lebih pintar yang mana teknologi kawalan bahan api dan udara digunakan. Teknologi kawalan ini membuatkan enjin beroperasi pada tahap kecekapan paling tinggi, iaitu tenaga yang digunakan akan diselaraskan mengikut kondisi kereta berdasarkan keperluan pemandu.
Maknanya, ada silider yang mungkin tidak beroperasi ketika kereta bergerak dalam halaju sama atau pegun (tidak bergerak). Sebaliknya, keseluruhan enjin beroperasi sepenuhnya ketika memecut atau dalam halaju tinggi. Penggunaan kawalan kemasukan udara dan bahan api juga mengelakkan pembaziran bahan api, sekali gus meningkatkan kadar penjimatan per liter.
5. ENJIN MODEN ADA RAKAN KONGSI
Apa yang dimaksudkan dengan rakan kongsi enjin moden ialah padanan sistem yang membantu enjin beroperasi. Contohnya, enjin lama hanya memiliki sistem transmisi 4- atau 5-kelajuan. Hari ini, enjin moden dipadankan transmisi dengan 7- hingga 8-kelajuan.
Jika masih tidak cukup, ada pula padanan Transmisi Variabel Berterusan (CVT) dengan nisbah gear boleh ubah yang menyalurkan tenaga enjin kepada roda kereta dalam kadar kecekapan paling tinggi.
Enjin moden juga memiliki padanan baru dengan motor elektrik yang digerakkan bateri berkuasa tinggi dalam kereta hibrid. Kereta jenis ini menggabungkan dua sumber tenaga bagi menggerakkan kereta bagi meningkatkan penjimatan penggunaan petrol.
Apabila berhenti atau dipandu perlahan, motor elektrik akan digunakan, sebaliknya pada kelajuan tinggi akan menggunakan kuasa petrol. Bateri pula akan dicas ketika kereta sedang membrek atau memecut. Malah, pengeluar turut memadankan enjin yang lebih berkuasa tinggi bagi memberikan tahap prestasi lebih baik untuk kereta hibrid.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Kereta Hibrid yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> Nissan Note (2021) Serba Baharu Lancar di Jepun, Kini Enjin Hibrid, Harga Mula RM79k
Leave a Reply