SAKSI kejadian helikopter terhempas di Tamah Melawati, Kuala Lumpur pagi tadi mendakwa melihat salah satu pesawat melanggar ekor kenderaan satu lagi hingga menyebabkan jatuh dari udara.
Puteri Nur Ilani Ismail, 25, yang tinggal di kawasan berhampiran berkata, kemalangan berlaku ketika dia sedang mencari daun herba untuk memasak kira-kira 500 meter dari tempat helikopter biru terhempas.
“Saya berada berdekatan Bulatan Bukit Mas di sini kira-kira 11.30 pagi dan terdengar bunyi helikopter sedang terbang.
“Tiba-tiba saya terlihat helikopter berwarna merah melanggar bahagian ekor helikopter berwarna biru, yang menyebabkan ia (ekor helikopter biru) patah,” katanya dipetik Bernama.
Akibat perlanggaran itu, helikopter biru tersebut seakan tidak mampu terbang sempurna, sebelum jatuh terhempas. Bagaimanapun, helikopter merah dilihat dapat turun perlahan-lahan di sebuah kawasan berdekatan.
BACA >>> Hyundai Rancang Bina Teksi Udara Menjelang 2028
Semementara itu, seorang lagi saksi, Muhammad Taufik Rosli, 24, yang menetap di Jalan M4, Taman Melawati mengakui mendengar bunyi dentuman kuat kira-kira jam 11.40 pagi.
Menurutnya, dia awalnya beranggapan dentuman kuat itu datang dari kemalangan kereta di jalan utama Taman Melawati, tetapi terkejut kerana berpunca dari helikopter yang jatuh terhempas.
“Laluan ini memang kawasan kemalangan kerana jalan lurus. Jadi, saya ingat ada kemalangan kereta yang berlaku. Tetapi, apabila saya keluar dari rumah, saya lihat ada sebuah helikopter berwarna biru terhempas,” katanya.
Menurutnya, kawasan Taman Melawati sering kali menjadi tumpuan helikopter yang melakukan tinjauan udara terutama ketika terdapatnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang atau jatuh di Bukit Tabur.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua buah helikopter yang dipercayai bertembung di udara, sebelum sebuah daripadanya terhempas di Taman Melawati, Ampang.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
BACA >>> Helikopter Kawasaki K-RACER Guna Enjin Supercas Ninja H2R
SUMBER: Bernama
Leave a Reply