PRINSIPAL pasukan Petronas SRT, Datuk Razlan Razali menjangka akan memilih seorang pelumba tempatan baharu untuk menyertai Kejuaraan Dunia MotoGP dalam kelas Moto2 atau Moto3 pada 2022.
Beliau berkata demikian dengan mengambil kira kesediaan fizikal dan mental barisan pelumba pelapis masa kini yang beraksi dalam Kejuaraan CEV Repsol untuk bersaing peringkat dunia.
Menurutnya, pasukan akan menyerap bakat sedia ada apabila mereka sudah benar-benar kompetitif.
Tahun ini mereka belum bersedia lagi. Saya percaya mereka akan diberi satu tahun lagi untuk selesakan diri di kejuaraan CEV dan melakukan yang terbaik.
"Cuba capai dengan sasaran ditetapkan. Apabila capai, baru boleh menyenaraikan mereka ke kejuaraan dunia bersama pasukan Moto2 atau Moto3. Itu harapan kita.
"Sekiranya pelumba pelapis kita capai sasaran ditetapkan pada tahun ini dan tahun depan, Insya-Allah tahun 2022 kita akan lihat minimum seorang pelumba di Moto3 ataupun Moto2," katanya.
Buat masa ini, Petronas SRT sedang membangunkan beberapa pelumba seperti Adam Norrodin (foto atas) di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah dan Syarifuddin Azman (Damok) di Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia selain Muhammad Sharul Ezwan Sharil (Juan) di Piala Bakat Eropah (European Talent Cup, ETC).
Adam, 22, misalnya memiliki pengalaman beraksi di pentas dunia dalam kelas Moto3 dan Moto2 bagi menggantikan Khairul Idham Pawi (KIP) musim lalu, selain berada di tangga ketujuh dalam ranking pelumba Moto2 Eropah.
Buat masa ini dia berada di belakang pelumba tangga kelima dari Jepun, Taiga Hada, ketinggalan 22 mata dengan saingan berbaki dua pusingan lagi di Litar Ricardo Tormo pada 31 Oktober dan 1 November ini. Dia meletakkan sasaran menamatkan saingan musim 2020 di kelompok lima terbaik keseluruhan bagi membantu pasukan Liquimoly Intact SIC Junior Team.
Petronas Sprinta Racing Team beberapa hari lalu mengumumkan tidak menyambung kontrak KIP untuk saingan Moto3 musim depan yang mengundang pelbagai respons peminat permotoran tempatan.
BACA >>> Petronas SRT Tamatkan Kontrak KIP, Tapi Ada Peluang Kalau Tunjuk Keputusan Positif
BACA >>> Analisis: Patut atau Tidak PETRONAS Sprinta Racing Team Gugurkan Super KIP?
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply