BERBANDING pesaingnya kelebihan Mitsubishi Xpander adalah pada rekaan. Rekaan Mitsubishi Xpander mencuri perhatian berkat penampilan imej depan yang menggunakan rekaan Dynamic Shield yang membentuk huruf “X”.
Keunikan lain ada pada lampu utama yang diletakkan pada bahagian bampar sedangkan di atasnya merupakan lampu nyala siang (DRL). Tersedia pula lampu kabus yang berada pada sudut paling bawah. Konsep ini begitu segar apa lagi bagi crossover 7-penumpang.
Lekukan di bahagian pintu kereta menyiratkan kesan tegas sosok Xpander. Manakala bahagian belakangnya diserlahkan dengan lampu berbentuk L yang sekali imbas mengingatkan kita pada lampu belakang Honda CR-V. Sementara masuk ke bahagian dalam mungkin bukan selera semua orang.
Kabin yang didominasi bahan plastik keras berkualiti yang kemudian dipadankan dengan jahitan palsu tanpa adanya kemasan fabrik pada kemasan pintu. Apa yang saya suka pada saat pertama kali melihat model ini pada sesi media previu adalah banyaknya ruangan simpanan barang yang praktikal dan posisi duduknya yang bagus.
Tata letak tombol mudah dijangkau cuma yang paling mengganggu adalah brek tangan yang ukurannya terlalu besar mengurangi estetika, namun ini bukanlah isu besar. Bahkan dari segi saiz dimensi Mitsubishi Xpander memiliki bonus tambahan berbanding pesaingnya yang boleh dilihat di bawah:
Inilah poin yang ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi ketika kami berpeluang menemubual beliau.
"Xpander memiliki poin jualan yang unik, biar saya ringkaskan kepada tiga poin major iaitu pertama rekaan futuristik terkini Dynamic Shield. Semua kereta Mitsubishi menggunakan rekaan yang sama bahkan menerusi rekaan baharu itu juga melonjakkan jualan Mitsubishi Triton di Malaysia dan diharapkan ini juga boleh membantu jualan Xpander.
"Kedua ialah ruangan yang mana kereta ini dibangunkan untuk pasaran Asean kerana di peringkat Asean apa yang penting adalah rekaan dan ruangan bukan hanya Malaysia tetapi juga negara Asean yang lain. Kami mengambil masa perkenalkan ke Malaysia kerana perlu menyesuaikan dengan pasaran tempatan," jelasnya.
MENGAPA LAMBAT BAWA MASUK
Menjawab kepada persoalan mengapa Malaysia mengambil masa lama membawa masuk model itu kerana MMM ingin membawa masuk model pemasangan tempatan (CKD). Salah satu poin unik dalam industri kereta untuk jualan yang banyak dan menjadikan model itu kompetitif adalah dengan menjual model CKD.
"Kereta CBU perlu bayar lebih cukai, jadi bagi mengurangkan harga kereta dan menjadikan model itu lebih kompetitif adalah menjadikan ia model CKD, jadi ini mengambil masa yang lama. Negara Asean lain yang lebih dahulu perkenalkan model itu seperti Filipina, Thailand merupakan model import dari Indonesia,'" katanya.
Apabila disoal tentang harga ini jawapan Shinnishi,"harga masih belum diputuskan dan sasarannya tidak jauh berbeza dengan model pesaingnya seperti Honda dan Toyota dan tanda harganya lebih kurang model MPV CKD di Malaysia."
Mengambil kira pendekatan pintar MMM sebelum ini dalam menentukan harga modelnya mungkin harga Xpander tidak jauh berbeza dengan model BR-V varian tertinggi (RM93k) memandang Xpander yang dibawa masuk merupakan spesifikasi tertinggi dan mengambilkira pengecualian cukai kerajaan sehingga hujung tahun ini.
Di samping itu, setiap negara menambah beberapa sepsifikasi disesuaikan dengan citarasa pengguna dan di Malaysia MMM menawarkan pakej Wakil Jualan Sah yang merangkumi sistem infohibur dengan monitor bersaiz 9 inci yang tidak ditawarkan di pasaran lain. Monitor Sekelilng (ARM), perakam video (DVR) dan tempat duduk kulit.
BACA>>>YouTuber Indonesia Dedah Kenapa Mitsubishi Xpander Boleh Fenomena di Indonesia
TALAAN SUSPENSI PEMANDUAN BANDAR
Selain itu, kami juga mengajukan pertanyaan mengenai suspensi Xpander yang mendapat pujian media automotif jiran dan jawabnya:
"Seperti yang kita maklum kenderaan itu sendiri direka untuk negara Asean. Malaysia lebih bertuah dengan keadaan jalan lebih baik berbanding Indonesia, Filipina dan Thailand. Bahagian belakang menggunakan suspensi torsion beam yang ditala lebih lembut bagaimanapun bagi mengekalkan ketegaran dan menjadikan kereta lebih stabil Mitsubishi melakukan talaan pada bahagian absorber.
"Keseimbangan antara absorber juga dipelajari dari model SUV sebelumnya menerusi ujian prestasi Mitsubishi bagi menjadikan Xpander ditala untuk pemanduan bandar namun berupaya juga untuk aktiviti lasak."
Kehadiran Xpander juga meraih maklum balas positif dengan pendaftaran minat yang diterima setakat ini adalah sebanyak 7,400 jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal MMM.
"Jadi, kami akan cuba untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Kapasiti pengeluaran adalah 500 unit sebulan. Nampaknya, kami perlu tambah lagi produksi."
Leave a Reply