KAMI sudah huraikan 10 ciptaan penting sepanjang evolusi motosikal dari dulu hingga kini. Namun, seperti disebut terdahulu, sebenarnya ada banyak ciptaan lain yang membuatkan motosikal zaman sekarang lebih berprestasi tinggi dan selamat ditunggang.
BACA >>> #TahukahAnda: 10 Ciptaan Penting Dunia Motosikal yang Perlu Anda Tahu (Siri 1)
Apakah inovasi tersebut? Jom kami sambung 10 inovasi lagi yang dibangunkan khas untuk dunia dua roda.
1. RIM TUANG
Pengeluar motosikal pertama melengkapi motosikal mereka dengan rim aluminium tuang (aluminium casting) sepenuhnya ialah Böhmerland, pada 1924. Rim tuang tidak popular selepas itu kerana memerlukan cara pembuatan yang kompleks dan mahal supaya tiada bahan cemar dalam aluminium. Jika tidak, aluminium akan rapuh.
Rim tuang hanya popular semula pada 1970-an. Malah hari ini, bukan saja aluminium, kita juga boleh dapatkan rim tuang daripada bahan magnesium-aloi dan gentian karbon.
NOTA:
Rim gentian karbon adalah lebih kuat dan ringan. Insiden tular mengenai rim gentian karbon BST pecah itu tidak mengemukakan fakta bahawa penunggang itu terjatuh di selekoh ke-14 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada kelajuan tinggi. Kemalangan itu juga menyebabkan Yamaha YZF-R1 milik penunggang itu melambung beberapa kali hingga patah frem. Penulis secara peribadi kenal dengan pemilik motosikal itu. Jadi jangan kongsi fakta yang tidak betul.
Sebagai makluman, rin gentian karbon diharamkan dalam semua perlumbaan anjuran Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), termasuk Kejuaraan Dunia MotoGP, Moto2, Moto3, dan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) atas sebab mengehadkan kos, dan bukan kerana rim karbon tidak kuat.
Faktanya, rim karbon sudah mula digunakan jentera kelas GP500 sejak awal 1980-an lagi.
2. TAYAR TIUBLES (TANPA TIUB)
Populariti rim tuang membawa kepada kemunculan tayar tiubles (tubeless). Sebenarnya, tayar tiubles julung kali digunakan motosikal Hildebrand & Wolfmüller sejak 1894 (bukan tersilap taip, memang 1894).
Model itu menggunakan tayar pneumatik rekaan John Boyd Dunlop pada 1888. Namun, ciptaan tayar pada masa itu tidak sama dan cuma dipasangkan pada rim basikal. Tayar tiubles juga mula popular pada 1970-an selepas banyak pengeluar motosikal memperkenalkan model dengan rim tuang.
Tayar jenis tiubles lebih ringan kerana tiada tiub dalaman. Ia juga direka supaya lebih tahan pancit (bukan tidak pancit langsung) selagi objek mencucuk itu tidak ditanggalkan.
BACA >>> 'Road Tax' Motosikal Kini Boleh Diperbaharui di MyEG
3. TAYAR JENIS RADIAL
Tayar radial mempunyai struktur 'frem' berlainan daripada tayar lapis bias (bias ply). Jadi, tayar radial boleh direka untuk menukar bentuk sisi apabila motosikal dimiringkan ketika membelok. Tayar ini juga lebih mudah lentur untuk menyerap permukaan jalan tidak sekata. (Kita akan huraikan lebih banyak mengenai tayar ini pada masa akan datang).
Menurut sumber dipercayai, tayar radial pertama untuk motosikal jalanan ialah Pirelli MP7 yang diperkenalkan pada Honda VF1000R (1984). Namun, Michelin menafikan fakta itu dengan menghasilkan model A59X dan M59X pada 1987. Apapun, Michelin ialah pengeluar tayar pertama memperkenalkan tayar radial untuk kelas GP500.
4. SUSPENSI BELAKANG JENIS MONOSHOCK
Hampir semua motosikal hari ini menggunakan suspensi belakang jenis monoshock (kecuali kapcai dan sportbike retro). Jadi siapakah yang memperkenal suspensi jenis monoshock ini?
Jawapannya, Yamaha menerusi model motocross YZM250 pada 1973. Ramai penonton dan pasukan lain terkejut apabila melihat model berkenaan yang tampil seakan tanpa suspensi belakang!
Namun, motosikal jalanan pertama menggunakan monoshock ialah Yamaha RD250 LC (juga dikenali sebagai RZ250) pada 1980. Suspensi itu diberikan nama 'monocross' yang diadaptasikan daripada model motocross jenama itu.
5. INJAP KUASA (POWER VALVE)
Enjin 2-lejang menggunakan piston untuk buka-tutup port ekzos. Masalahnya, sedikit-sebanyak campuran bahan api yang belum dibakar juga akan tersedut keluar mengikut port ekzos. Ini menyebabkan enjin hilang tork (kuasa pikap) dan kuasa maksimum (horsepower). Sebab inilah enjin 2-lejang hanya menghasilkan tork dan kuasa pada rev tinggi (kurang pikap pada rev rendah).
Akhirnya, jurutera Yamaha mencipta alat yang dapat melaraskan bukaan port ekzos secara automatik. Alat itu menggunakan syaf yang mengandungi satu bukaan. Syaf itu berpusing apabila ditarik kabel motosikal yang disambungkan kepada unit kawalan elektronik (ECU) yang membaca kepada rev enjin.
Bukaan itu akan menutup hampir semua port ekzos apabila di bawah 6,000rpm, sekali gus menghalang campuran bahan api daripada terbuang bersama gas ekzos. Pagar itu kemudian akan mula dibuka bermula 3,000rpm dan seterusnya hingga terbuka penuh apabila sampai 6,000rpm.
Yamaha menamakan sistem ini sebagai Sistem Injap Kuasa Yamaha (Yamaha Power Valve System, YPVS). Motosikal pertama yang menerima sistem YPVS ialah RD350LC YPVS (1983).
Sebagai perbandingan, RD350LC sebelum itu menghasilkan tork 40.2Nm @ 8,000rpm dan kuasa 47hp @ 8,500rpm. Enjin RD350LC YPVS pula menghasilkan tork 40.2Nm @ 8,000rpm, dan kuasa 58hp @ 9,000 RPM. Sistem YPVS kemudian diadaptasi kepada model RD250LC dan RD125LC (juga TZM150). Model-model ini juga menjadi legenda disebabkan YPVS ini.
Pengeluar motosikal lain juga mencipta sistem injap kuasa selepas melihatkan keberkesanan pada model Yamaha. Namun, sistem terpaksa diubah bentuk dan nama sistem kerana Yamaha sudah mempatenkan ciptaan.
PENUTUP
Kami akan memaparkan lagi ciptaan lain pada masa akan datang. Jadi teruslah bersama kami di ArenaPermotoran dan PanduLaju.
BACA >>> Prototaip BMW Motorrad R 1200 RS ConnectedRide Bangunkan Teknologi Keselamatan Motosikal
Leave a Reply