PAMERAN kereta atau auto show memang menjadi acara wajib bagi sesiapa saja yang mengaku pencinta automotif kerana di situlah semua pengeluar automobil dunia turun padang mempamerkan jentera masing-masing sama ada dalam bentuk kereta konsep atau pengeluaran.
Tetapi, bukan semua acara perhimpunan kereta akan disertai setiap pengeluar dunia melainkan pameran kereta di bawah. Kenapa? Sudah tentu kerana prestij yang dibawa pameran kereta tersebut. Jom ketahui 10 auto show terbaik yang menjadi pentas utama buruan pengeluar automotif antarabangsa!
1. INTERNATIONALE AUTOMOBIL-AUSSTELLUNG (IAA)
Sebelum ini dikenali sebagai Pameran Motor Antarabangsa Jerman (International Motor Show Germany) atau ringkasannya, International Motor Show atau juga IAA. IAA ialah pesta perdagangan kenderaan terbesar di dunia berdasarkan jumlah kenderaan penumpang dan komersil yang dipamerkan.
IAA dianjurkan setiap tahun ganjil dan bertempat di Frankfurt am Main bagi pameran kenderaan penumpang manakala pameran kenderaan komersil berlangsung pada tahun genap di Hanover. Kedua-dua pameran auto tersebut biasanya diadakan pada penghujung September, tetapi jenis kenderaan (penumpang dan komersil) diasingkan sejak 1990-an berikutan pertambahan jumlah pengeluar dan pengunjung.
2. PAMERAN MOTOR TOKYO
Beberapa pengeluar automobil terbesar dunia terletak di Jepun, seperti Honda, Mazda, Nissan dan Toyota. Jadi, memang wajar Tokyo menjadi antara hos utama pameran kereta terbesar dunia.
Pameran Motor Tokyo dianjurkan di Tokyo Big Sight pada penghujung Oktober hingga awal November setiap tahun. Terkenal sebagai pameran yang menghimpunkan banyak kenderaan konsep, termasuk kereta pengeluaran.
Dianggarkan terdapat 20,000 hingga 40,000 kereta, kenderaan komersil dan motosikal dipamerkan di Pameran Kereta Tokyo. Pengunjung juga boleh menjadi orang pertama melihat model debut dengan membeli tiket Hari Previu.
3. PARIS MONDIAL DE L’AUTOMOBILE
Biasanya diringkaskan kepada Pameran Auto Paris dan diadakan di Paris expo Porte de Versailles yang juga dipanggil dewan Paris Expo.
Mulanya, pameran kereta ini dipanggil Salon International de l’Automobile and Cycle dan dianjurkan secara dwitahunan sepanjang Oktober tahun genap. Pameran Auto Paris menjadi antara acara automobil terbesar buat pencinta automotif yang meminati kereta konsep atau pengeluaran.
Lebih istimewa, Pameran Auto Paris ialah acara kereta pertama dunia yang dilancarkan oleh perintis industri automobil Perancis, Albert de Dionini pada 1898. Malah, aura pameran kereta itu tidak pernah merosot sejak berdekad lama dengan mengumpul jutaan hadirin yang sanggup meluangkan masa berjam-jam lama melihat setiap kenderaan dipamerkan.
4. PAMERAN MOTOR GENEVA ANTARABANGSA
Acara ini kadangkala disebut sahaja sebagai Pameran Motor Geneva. Sama seperti namanya, pameran ini diadakan di Geneva, Switzerland dalam Pusat Konvensyen Palexpo Geneva berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Geneva Cointrin yang sememangnya mudah diakses dan dilawati pengunjung asing seluruh dunia.
Acara tahunan ini berlangsung setiap Mac dan pertama kali diadakan pada 1905 yang mengumpul hampir semua nama besar automobil dunia yang menghasilkan jentera berenjin pembakaran dalaman.
Kenderaan enjin stim dan benzena (gas) juga dipamerkan bersama jentera supercar eksotik. Pameran Motor Geneva Antarabangsa juga terkenal sebagai tuan rumah kepada debat sosial dan politik.
5. PAMERAN AUTO ANTARABANGSA AMERIKA UTARA (NAIAS)
Juga dikenali sebagai Pameran Auto Detroit dan inilah pameran kenderaan perdana di Amerika Utara. Diadakan di Pusat Cobo dekat Detroit, Michigan, NAIAS biasanya berlangsung pada pertengahan Januari setiap tahun dan berakhir kira-kira seminggu kenudian. Tiga hari daripada seminggu dikhaskan kepada pihak media, industri dan kebajikan, manakala selebihnya dibuka kepada umum.
Menawarkan ruang pameran berkeluasan satu juta kaki persegi, pameran berusia lebih 100 tahun ini menghimpunkan ratusan pengeluar seluruh dunia yang menampilkan model konsep dan pengeluaran. Malah, ia menjadi nadi penting Metro Detroit kerana kawasan itu sendiri ialah ibu pejabat bagi tiga pengeluar utama Amerika, Chrysler, Ford dan Generals Motors. Sesi anugerah khas juga diberikan seperti Kereta dan Trak Terbaik Tahunan dan Rekabentuk EyesOn.
6. PAMERAN AUTO CHICAGO
Diadakan di Windy City dalam kompleks McCormick Place dan biasanya dijadualkan pada Februari setiap tahun. Walaupun dibayangi NAIAS, Pameran Auto Chicago menghimpunkan lebih banyak pameran berbanding mana-mana pameran motor di Amerika Utara.
Dengan keluasan lebih satu juta kaki persegi, acara gergasi ini mampu mengumpul sejuta pengunjung dan 1,000 kenderaan setiap tahun serta menjadi acara auto terbaik dunia dari segi jumlah kehadiran hadirin.
Ruang pameran luas juga membolehkan sesetengah pengeluar menganjurkan konsert percuma dan trek pandu uji.
7. PAMERAN AUTOMOTIF ANTARABANGSA BEIJING
Sejak 1990, pameran motor yang juga dikenali sebagai Auto China ini diadakan di ibu kota Beijing setiap tahun genap dan mula menjadi semakin penting seiring perkembangan pasaran kenderaan domestik republik itu.
Faktanya, China ketika ini ialah pasaran automotif dunia terbesar dari segi pertumbuhan industri paling pantas. Jadi, tidak hairan Auto China menjadi acara utama bagi jenama automobil dunia seperti Audi, Bentley, BMW , Jaguar dan Mercedes-Benz yang tampil mempersembahkan pelbagai kereta konsep dan pengeluaran.
8. PAMERAN INDUSTRI AUTOMOBIL ANTARABANGSA SHANGHAI
Diringkaskan sebagai Auto Shanghai, pameran kereta bertempat di Shanghai ini berlangsung setiap tahun ganjil, iaitu berselang-seli dengan Auto China. Sebagai pengetahuan, Shanghai ialah bandar raya paling ramai penduduk di China.
Auto Shanghai dilancarkan pertama kali pada 1985, sekali gus menjadi pameran motor tertua di China. Seperti Auto China, Auto Shanghai dianggap sebagai acara penting dalam industri automotif automotif disertai banyak nama besar dunia automotif seperti Audi, BMW, Buick, Chevrolet dan Volvo.
9. PEBBLE BEACH CONCOURS D’ELEGANCE
Pameran kereta ini diadakan di Pebble Beach, California bertempat di Padang Golf Pebble Beach pada Ogos setiap tahun dan merupakan acara penutup bagi Monterey Car Week.
'Concours d’Elegance' secara literal bermaksud 'Pertandingan Elegan' dalam bahasa Perancis. Jadi ada banyak pertandingan antara kereta pra dan pasca perang yang akan diadili berdasarkan ketulenan, fungsi, sejarah dan gaya.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan penampilan elegan kira-kira 200 kereta paling mahal di dunia yang dihimpun sekitar kawasan padang golf 18 lubang itu. Malah, pengunjung boleh membeli tiket untuk sesi jelajah berpandu.
Tambahan kepada acara pertandingan ialah penyertaan kenderaan konsep dan pengeluaran. Concours d’Elegance juga kerap menjadi acara pilihan bagi ramai golongan selebriti dan bilionair dunia yang mencari kereta idaman mereka.
10. WOODWARD DREAM CRUISE (WDC)
Diadakan sepanjang jalan Woodward Avenue di Metropolitan Detroit, pameran Woodward Dream Cruise (WDC) bermula dari Pontiac, Michigan hingga State Fairgrounds di Detroit.
Ia biasanya dijadualkan pada Sabtu minggu ketiga setiap Ogos dengan mengumpul kira-kira 40,000 kereta daripada model konvertibel, hardtop, hot rod, hingga muscle dari Australia, Jepun, New Zealand dan setiap penjuru dunia
Pameran kereta ini bermula sejak 1848, di mana sejarah mencatatkan pemandu kereta kuda menggunakan jalan itu untuk berlumba. Sejak itu tradisi WDC bertukar menjadi acara motor harian terbesar di dunia.
SUMBER: Proctocars.com
Leave a Reply