HONDA Jepun memperkenalkan supersport generasi baharu CBR600RR (2021) pada harga 1,606,000 yen (RM63,400) yang menampilkan teknologi serba moden dan terkini.
Berikut 10 fakta menarik yang perlu anda tahu tentang model buatan Honda itu:
1. IMU DAN SISTEM RIDE-BY-WIRE
Pakej elektronik CBR600RR (2021) kini dibekalkan sistem sensor Unit Unjuran Inersia (IMU) dan teknologi terotel Ride-by-Wire (RbW) yang membolehkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) berfungsi lebih cekap dengan ketepatan pengesanan pergerakan roda.
2. PAKEJ ELEKTRONIK BAHARU
Honda turut memperkenalkan beberapa teknologi baharu pada model ini seperti mod kuasa, Kawalan Wheelie, Kawalan traksi dan penyelarasan pembrekan enjin (engine breaking).
3. TAMBAHAN KUASA 1hp
Enjin motosikal ini mampu mengekstrak kuasa 119hp @ 14,000rpm. Model generasi sebelum ini menjana 118hp @ 13,500rpm. Honda menukar material dalam beberapa komponen enjin termasuk gegelung injap, aci (cam) dan aci engkol (crankshaft) untuk meningkatkan had pusingan rev (rpm). Lubang terotel sudah dibesarkan, termasuk port masukan (intake port). Sistem ekzos diubah suai membabitkan kadar diameter dan ketebalan dinding ekzos untuk prestasi optimum.
4. SISTEM KLAC BAHARU
Komponen klac CBR600RR (2021) jenis antigelincir Assist & Slipper (A&S) yang berfungsi mencegah tayar belakang daripada terkunci. Ia juga membantu kelajuan pusingan tayar sama dengan enjin, gear dianjak lebih pantas dan mengelak situasi tayar terangkat apabila menukar gear agresif. Ada juga opsyen QuickShifter naik-turun pada harga 24,500 yen (RM970).
5. JAKET AIR (water jacket)
Enjin CBR600RR (2021) ini dapat beroperasi tanpa menjana lebihan haba hasil rekaan semula jaket air-kepala silinder. Ini membantu mengawal suhu panas khususnya pada bahagian kebuk pembakaran dan injap ekzos.
6. WINGLET
Fairing badan baharu CBR600RR (2021) ditambah baik berasaskan teknologi prestasi aerodinamik yang diperoleh menerusi sukan permotoran. Menurut Honda, motosikal ini mempunyai kadar daya seretan (drag coefficient) paling rendah dalam kelas supersport.
Winglet baharu ditambah pada sisi motosikal untuk memperoleh daya mendap (downforce) ketika mengambil selekoh dan memecut di selekoh.
7. LED
Set lampu jenis LED membantu mengurangkan berat, lebih kompak dan menjimatkan kuasa.
8. PANEL METER TFT
CBR600RR (2021) menggunakan kluster instrumen LCD TFT berwarna untuk membantu penunggang melihat maklumat dengan lebih jelas dan pantas berbanding meter konvensional.
9. HARGA DAN MASA JUALAN
Honda Jepun hanya menghasilkan 1,000 unit CBR600RR (2021) dan setiap satu jual pada harga 1,606,000 yen (RM63,400). Motosikal ini mula jual di Jepun pada 25 September lalu.
BACA>>> #TahukahAnda: Apakah Maksud Sebalik Huruf dan Angka Nama Model Motosikal?
10. EURO4
Malangnya, Honda CBR600RR ini dikatakan menggunakan enjin piawaian lama iaitu Euro4 dan besar kemungkinan tidak dapat dieksport ke Amerika Utara dan negara-negara blok Kesatuan Eropah (EU). Tiada sebab didedahkan mengapa Honda tidak beralih kepada Euro5 tetapi kekal dengan piawaian lama.
Bagaimanapun, Honda dikhabarkan akan memasarkan CBR600RR ini ke negara-negara Asia yang tidak menetapkan syarat piawaian enjin Euro5, seperti Malaysia.
SPESIFIKASI
HONDA CBR600RR (2021)
- ENJIN: 4-silinder sebaris 599cc DOHC penyejukan cecair dengan Suntikan Terus PGM-F1
- GEREK x LEJANG: 67 milimeter (mm) x 42.5mm
- KUASA: 119hp @ 14,000rpm
- TORK: 64Nm @ 11,500rpm
- TRANSMISI: Manual 6-kelajuan
- DIzMENSI: Panjang 2,030mm, lebar 685mm dan tinggi: 1,140mm
- TINGGI PELANA: 820mm
- KELEGAAN BUMI: 125mm
- BERAT: 194kg
- KAPASITI TANGKI MINYAK: 18 liter
- TAYAR: 120/70 ZR 17 (depan); 180/55 ZR 17 (belakang)
- BREK: Cakera kembar (depan), cakera tunggal (belakang)
SUMBER: UltimateMotorcycling | HondaJapan
Jan says
bila masuk malaysia, harga jadi 90k haha
overall ok lah, tapi rasanya ZX6r lagi berbaloi kot.