SEPURNAMA menunggu akhirnya sportbike suku liter empat dapur, Kawasaki Ninja ZX-25R yang dinantikan seantero dunia rasmi dilancarkan di negara jiran Indonesia.
Sebelum ini macam-macam berita sudah kami sajikan kepada anda daripada data dyno, bunyi ligatan enjin 4-silinder, bunyi ekzos versi lumba, gambarajah ram udara hingga interviu orang kuat Kawasaki di Jepun.
Hari ini semua persoalan tentang Ninja ZX-25R terungkai dan bolehlah berkira-kira hendak pecah tabung ataupun mula menabung sementara menunggu ia tiba ke Malaysia. Difahamkan, Malaysia akan membawa masuk model tersebut di bawah Modenas, cuma bilakah masa belum dipastikan. Wow!
Kawasaki Motors Indonesia (KMI) melancarkan Ninja ZX-25R secara digital menerusi saluran YouTube wakil pengeluar itu. Ketua Projek Ninja ZX-25R, Tetsuji Yamamoto berkata, sportbike itu ialah satu-satunya model 250cc yang menawarkan ciri keseronokan menunggang (fun to ride).
Berikut 14 fakta pantas yang perlu anda tahu tentang Ninja ZX-25R:
1. Pelanggan Indonesia akan mula menerima model berkenaan bermula Ogos ini. Dengan segala pembaharuan diperkenalkan, model ini dijangka kekal sebagai legenda baharu dalam segmen suku liter.
2. Ada 2 varian ditawarkan: Standard dan Special Edition (SE) pada harga seperti berikut:
- Ninja ZX-25R - Rp96 juta (RM28,364)
- Ninja ZX-25R ABS-SE - Rp112.9 juta (RM33,270)
Varian ZX-25R SE akan menerima:
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Kawasaki Quick Shifter (KQS) dua hala
- Penutup pelana pembonceng/pelana tunggal
- Visor gelap
- Slider
- Tape roda rim
3. Ada empat warna untuk dipilih:
- Lime Green/Ebony (ABS SE)
- Candy Plasma Blue/Metallic Spark Black (ABS SE)
- Metallic Spark Black/Pearl Flat Stardust White (ABS SE)
- Metallic Spark Black
4. Paling istimewa Ninja ZX-25R dipakejkan ciri bantuan elektronik termaju yang biasa dilengkapkan pada jentera berstatus superbike:
- Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC): Ini model 250cc pertama dunia memiliki ciri kawalan traksi yang disertakan bersama tiga mod tunggangan yang boleh dinyah aktif.
- Mod Power: Penunggang boleh buat tetapan mod kuasa tunggangan Full atau Low.
- Kawasaki Quick Shifter (KQS): Ciri khas untuk varian SE, yang juga ciri pertama dalam kelas 250cc, berfungsi melancarkan operasi penukaran gear atas dan bawah tanpa sentakan.
5. Menggunakan frem trellis baharu jenis keluli kekuatan tinggi yang menjanjikan ketangkasan pengendalian, terutama tunggangan dalam bandar, termasuk menawarkan karakter supersport untuk tunggangan trek. Ia boleh diibarat sportbike 250cc yang memiliki pengendalian ZX-10R dan ZX-6R.
6. Menggunakan sistem suspensi jenis fork terbalik (USD) dengan travel 120mm di depan dan teknologi SFF-BP untuk kegunaan harian dan prestasi di litar. Suspensi belakang menggunakan unit swingarm horizontal back link dan monoshock dengan travel 116mm dengan karakter supersport progresif.
7. Keupayaan membrek menggunakan brek cakera tunggal 277mm dengan kaliper monoblok radial mount di depan, dan brek cakera tunggal 186mm di belakang. Bahagian roda menggunakan tayar jenis Dunlop GPR300 saiz 110/70R17M/C (depan) dan 150/60R17M/C (belakang).
8. Sudut ergonomik agresif menempatkan penunggang pada posisi tunggangan terbaik untuk memanfaatkan keunggulan pengendalian supersport. Malah lebar tangki minyak mudah didakap peha penunggang dengan cukup selesa.
9. Tinggi pelana 785mm memudahkan kaki memijak tanah dan peg kaki aluminium direka ala jentera supersport untuk memberikan fiil langsung dan kawalan terbaik. Brek dan tuil klac juga mudah dicapai.
10. Posisi ambilan ram udara di tengah panel kepala menguatkan gaya Ninja ZX-25R yang tersendiri, manakala padanan lampu utama LED dengan winglet memberikan imej cukup agresif.
11. Salur udara (air duct) di sisi berfungsi menyuapkan udara untuk menyejukkan enjin.
12. Menampilkan panel instrumen canggih dengan takometer analog besar yang diapit indikator enjin dan gear, serta paparan skrin LCD multifungsi. Fungsi paparan lain terdiri daripada odometer, dual trip meter, baki minyak, jarak perjalanan, suhu coolant, jam, indikator mod Power, ECO dan lain. Juga dibekalkan ciri anti-kecurian imobiliser.
13. Enjin 250cc menawarkan kuasa maksimum 51PS (49hp) dengan ram udara dan 50PS (48hp) tanpa ram udara pada rev 15,500rpm, manakala tork maksimum 22.9Nm @ 14,500rpm. KMI mendakwa pecutan maksimum Ninja ZX-25R ialah 187kmj dengan transmisi manual jenis klac basah 6-kelajuan.
SPESIFIKASI KAWASAKI NINJA ZX-25R (2021)
14. Bunyi enjin empat sebaris (inline four) menawarkan deruman garing, manakala Injap Terotel Elektronik (ETV) memberikan respons enjin lancar dan natural yang disokong ciri KTC, Mod Power dan KQS. Ada juga klac anti-gelincir A&S, iaitu yang pertama dalam segmen 250cc.
BACA >>> Perbandingan: Data Dyno Kawasaki Ninja ZX-25R vs Honda CBR250RR
BACA >>> #Spyshot: Bocor Foto Honda CBR250RR (2020) Facelift dengan Klac A&S
BACA >>> Berita Yamaha Siapkan Enjin 3-Silinder untuk Jentera 250cc Sampai ke Eropah
GALERI
KREDIT: IwanBanaran
Jan says
kalau betul masuk malaysia harga 28k, mcm menarik jgk, tapi rasanya lepas cukai, dekat 35k - 40k kot?
tak senang untuk masuk malaysia, sebabnya indonesia guna undang2 emission euro3, mungkin jadi macam CBR250RR dulu yg x masuk sebab euro3 jgk.
Master says
Kawe geng pantai Timur leste ckp Moto ni murah