TIDAK lama selepas Honda Malaysia berulang kali menguar-uarkan notis panggil balik (recall) ke atas pemilik model tertentu jenama itu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden di Cheras seorang pelajar universiti maut akibat letupan beg udara, pada (27 Mei 2018). Jika sebelum ini masih ramai yang mengambil sikap tidak peduli mengenai impak buruk yang bakal menimpa mereka, mungkin insiden terbaru itu sedikit sebanyak membuka mata.
Masih ramai yang keliru tentang apa sebenarnya yang berlaku. Apakah kecacatan beg udara kereta mereka (untuk pemilik jenama terjejas) terlalu teruk?Jawapannya, ya. Beg udara anda berisiko menyebabkan kecederaan parah atau maut!
Artikel di bawah ini akan memberikan penerangan ringkas dan padat yang mampu membuatkan anda faham mengenai beberapa isu membabitkan beg udara Takata. Baca!
BACA >>> Lagi Kemalangan Maut Akibat Beg Udara Honda Meletup
1. APAKAH ISU BEG UDARA TAKATA?
Beribu-ribu beg udara Takata disahkan mengalami defektif atau kecacatan yang membabitkan bahagian pemandu, penumpang dan sisi depan. Secara spesifik pula, bahan kimia yang digunakan untuk mengembungkan beg udara itu sudah terjejas dan menyebabkan degredasi.
Kesannya, apabila kemalangan berlaku dan beg udara Takata mengembung, tindak balas bahan kimia yang sepatutnya mengembungkan beg udara secara normal, tetapi menjadi terlampau kuat hingga menyebabkan pecah.
Bukan sekadar pecah, beg udara itu turut meledakkan serpihan material di sebalik roda stereng yang tidak ubah seperti peluru yang ditembak dari muncung senapang. Serpihan material itulah yang menyebabkan kecederaan serius atau kematian.
Menurut laporan polis di Amerika Syarikat (AS), keadaan mangsa-mangsa kemalangan beg udara Takata yang terselamat tidak ubah seperti ditembak atau ditikam.
2. BAGAIMANA BEG UDARA BEKERJA?
Beg udara berfungsi seperti penggalak (booster) roket solid.
Isyarat daripada sensor nyahpecutan kereta akan menghantar satu denyut (impuls) elektrik yang mengaktifkan campuran nitrogen dengan bahan kimia. Bahan kimia itu kemudian akan mengurai dan bertindak balas pantas untuk menjana gas nitrogen panas, sekali gus mengembungkan beg udara dan terpacul keluar dari roda stereng, papan pemuka atau panel sisi. Proses pengembungan beg udara itu berlaku pada kelajuan 322kmj dan sepantas 1/25 saat (40 milisaat).
3. APAKAH INFLATOR BEG UDARA?
Ada tiga bahagian beg udara; beg, sensor (yang membuatkan beg mengembung) dan inflator.
Inflator beg udara terdiri daripada sebuah kanister nitrogen, berisi kandungan gas yang akan mengisi beg udara, termasuk papan elektronik yang berfungsi mengaktifkan gas untuk mengembang dan mengisi beg.
4. KENAPA ADA SERBUK PUTIH?
Serbuk putih yang dibebaskan apabila beg udara mengembung ialah tepung jagung atau serbuk talkum (bedak) yang digunakan pengeluar sebagai bahan pelincir supaya beg udara sentiasa berada dalam bentuk terbaik apabila diaktifkan.
5. APA SEBENARNYA BERLAKU KEPADA BEG UDARA TAKATA?
Kecacatan dipercayai berpunca daripada wafer inflator Takata berbentuk lengan kelawar (batwing) yang membolehkan lembapan meresapi masuk ke dalam peranti dan mengubah struktur kimia dalam peledak (propellant).
Akibatnya, peledak itu diaktifkan terlalu pantas hingga menyebabkan tindak balas melampau yang memecahkan beg udara dan meledakkan serpihan material dalam kereta. Beberapa persoalan juga dibangkitkan seperti penggunaan sejenis bahan kimia, ammonium nitrat sebagai peledak.
6. APAKAH ITU PANGGIL BALIK?
Notis panggil balik (recall) dibuat apabila pengeluar seperti Takata menggesa pembeli memulangkan semula produk disebabkan isu keselamatan atau kecacatan yang boleh membahayakan pengguna. Panggilan balik beg udara Takata itu menjejaskan 34 juta kenderaan dan mencatatkan rekod panggil balik automobil terbesar dalam sejarah AS.
7. BAGAIMANA SAYA BOLEH TAHU BEG UDARA BERMASALAH DAN PERLU 'RECALL'?
Sesetengah pengeluar akan membuat panggilan langsung kepada pelanggan mereka, dan ada pula yang mengeluarkan notis panggil balik di media massa seperti Internet dan media cetak. Namun, dalam kes beg udara Takata, pengeluar lebih menumpukan kepada hebahan media massa disebabkan jumlah kenderaan yang terjejas terlampau banyak.
Kita pula perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa. Walaupun bukan pemilik jenama kereta terlibat, tetapi jika kita mengetahui ada kalangan ahli keluarga, saudara atau rakan yang memandu kenderaan terjejas itu, anda sepatutnya mengambil inisiatif menyampaikan maklumat panggil balik yang dikeluarkan.
Bagi yang sudah mengetahui, boleh terus saja menghubungi pusat khidmat pelanggan pengeluar masing-masing untuk menetapkan janji temu dan mengesahkan status beg udara kereta anda. Pemilik kenderaan lama (2002 ke atas) ialah kumpulan paling berisiko mengalami masalah kecacatan beg udara Takata. Bertindak segera!
SUMBER: Morrow & Sheppard
molly says
Suzuki is not effected it seems . The person i talked to says its a rumor ><
Lyana says
How about Nissan? Its Japan car also