PAD BREK adalah antara komponen penting yang perlu diberikan perhatian untuk keselamatan dan keselesaan pemandu, termasuk seisi penumpang. Jangan lalai dan ambil mudah kerana brek memainkan peranan utama untuk menghentikan kereta ketika berlaku kecemasan tidak diduga.
Pad brek juga penting untuk memperlahankan kereta ketika memandu menuruni bukit supaya tidak berlaku insiden tidak diingini seperti merempuh belakang kenderaan depan atau terjun ke dalam gaung.
Ada macam-macam jenis brek dijual di pasaran. Brek dibuat daripada besi yang berfungsi menekan permukaan roda apabila ditarik atau dipijak hingga boleh melambatkan atau menghentikan putaran tayar.
Jika menggunakan material besi secara langsung, sudah tentu geseren yang berlaku apabila bersentuhan dengan roda boleh menyebabkan simptom panas dan berbunyi. Jadi, permukaan brek dipasangkan pad untuk mengelak gejala tersebut.
JENIS BREK DI PASARAN
Ada dua jenis brek yang biasa digunakan kenderaan masa kini, iaitu brek dram dan brek cakera. Kedua-dua jenis komponen itu ada kekurangan dan kelebihan tersendiri. Walaupun brek cakera dianggap lebih kuat, tetapi brek dram masih kekal digunakan sampai sekarang.
Brek dram memiliki permukaan lebih lebar, biasanya dipakai pada kenderaan lebih besar dan berat, seperti bas dan trak. Permukaan luas akan menimbulkan geseran lebih kuat yang mampu menghentikan kelajuan roda kenderaan besar.
Brek cakera pula digunakan pada kenderaan lebih kecil seperti kereta dan motosikal. Walaupun permukaan lebih kecil, namun pad brek lebih tebal sehingga geseran yang dihasilkan lebih kuat dan mampu menghentikan kereta yang laju. Ada beberapa ciri atau tanda yang harus diketahui apabila pad brek mula menipis atau habis. Apabila tanda-tanda tersebut sudah ada, sebaiknya segera tukar baharu demi keselamatan.
1. BREK DRAM
Ciri atau tanda kasut brek (brake shoe) mulai habis tidak dapat dilihat secara langsung. Ketebalan kasut brek dalam brek dram hanya boleh diketahui dengan membuka komponen brek dan sedikit leceh. Namun ada beberapa tanda boleh dikesan yang menunjukkan kasut brek mula nipis atau habis.
i. Pijakan atau Tarikan Brek Agak ke Dalam
Tanda jelas ada pada tarikan brek tangan. Brek yang ditarik atau pedal brek yang dipijak ada rasa agak ke dalam. Jika itu berlaku, tandanya kasut brek mula nipis. Jarak antara permukaan brek dan permukaan roda semakin jauh atau lebar. Sila ganti kerana kalau dibiarkan boleh menyebabkan kerosakan bahagian lain.
ii. Terdengar Bunyi
Hal ini boleh dikesan kerana komponen brek dibuat daripada besi. Apabila bergeseran dengan roda yang juga daripada besi, bunyi decitan akan muncul akibat geseran kedua-dua komponen. Jika dibiarkan, brek dan roda boleh rosak.
iii. Bau Terbakar
Akibat geseran dua komponen besi, dan dalam keadaan panas, anda akan terhidu bau seperti terbakar di belakang kereta. Jika dibiarkan, kerosakan akan jadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan brek.
2. BREK CAKERA
Berbeza brek dram yang tidak boleh dilihat secara langsung apabila kasut brek menipis, tetapi brek cakera dapat dikesan dengan mudah. Apabila ketebalan pad brek sudah nampak nipis sekitar 2mm, itu tandanya komponen tersebut perlu diganti.
Tanda-tanda lain yang boleh diperhatikan adalah warna permukaan. Jika pad brek sudah tidak berkilat walaupun sudah digosok berulang kali, itu tandanya sudah keras. Dalam hal ini, pad brek sudah tidak mampu mencengkam dengan maksimum kerana permukaan sudah licin.
Akibatnya, apabila pedal brek dipijak, maka kekuatan untuk menghentikan kelajuan putaran roda sudah tidak maksimum lagi. Kesannya, roda tidak boleh berhenti, sekali gus membahayakan keselamatan pemandu dan penumpang.
BACA >>> #ApaNakBuat: Brek Depan atau Belakang? Mana Lebih Berkesan?
APAKAH BERLAKU JIKA PAD/KASUT BREK TIDAK DITUKAR?
i. Kemalangan
Apabila pad brek sudah habis maka fungsi brek sudah tidak cekap. Akibatnya adalah risiko kecelakaan jalan raya. Sudah tentu semua pemandu tidak mahu perkara sebegitu berlaku.
ii. Komponen Lain Rosak
Fungsi pad brek selain memaksimumkan fungsi menghentikan kenderaan adalah mengelak geseran langsung antara permukaan brek dan roda. Geseran dua komponen daripada besi itu akan menyebabkan kesan seperti bunyi berdecit dan bau seakan terbakar pada bahagian belakang enjin.
Lebih parah, brek dan roda boleh haus dan berubah bentuk. Jadi, apa perlu dilakukan adalah menukar pad brek atau brek baharu. Sila jangan abaikan komponen penting ini kerana kesan yang bakal anda tanggung sangat besar. Selain menyebabkan kerugian secara material, anda juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Lampu Belakang, Brek Mesti Warna Merah?
BACA >>> #ApaNakBuat: Cara Brek Enjin dengan Betul Jika Memandu Kereta Automatik
SUMBER: Suzuki.co.id
Leave a Reply