SEAT adalah pengeluar kereta dari Sepanyol dan juga salah satu subsidiari Volkswagen. SEAT mengeksport 80 peratus keluarannya dan pada 2019 menjual 574,100 unit kenderaan yang juga pencapaian tertinggi pernah dicapai dalam sejarah syarikat itu.
Kini SEAT mencipta satu lagi sejarah baharu apabila menawarkan motosikal elektrik penuh pertama, MÓ eScooter125, sekali gus menjadi jenama kereta penumpang dan motosikal elektrik.
Bukan satu diperkenalkan, tetapi tiga unit serentak, termasuk dua skuter elektrik, iaitu MÓ eKickScooter65 dan eKickScooter25.
BACA >>> Dari Kereta ke Motosikal, SEAT Perkenal e-Scooter Concept di Barcelona
Menurut SEAT, pengenalan model dua roda elektrik itu adalah penyelesaian pengangkutan bagi memenuhi keperluan warga bandar dengan ketiga-tiga model membawa pendekatan berbeza. Menariknya, SEAT adalah pengeluar kereta melihat penyelesaian pengangkutan ada pada motosikal dan skuter elektrik.
MÓ eScooter125 dibangunkan sebagai pengangkutan bandar yang lebih ringkas dan mudah. MÓ eKickScooter65 pula sesuai digunakan untuk peringkat akhir perjalanan ke bandar yang akan digunakan pengguna persendirian dan juga pengangkutan perkongsian.
BACA >>> SEAT Minimó - Kenderaan Kuadrisikal untuk Penyelesaian Pengangkutan dalam Bandar
Kita baca perincian di bawah:
SEAT MÓ eScooter125
Skuter ini digerakkan motor elektrik pada roda belakang dengan kuasa 9kW (12hp) yang menyamai kuasa motosikal 125cc dengan tork 240Nm, manakala kelajuan maksimum ialah 95kmj dan pecutan 0-50kmj sepantas 3.9 saat. Ada tiga mod tunggangan boleh dipilih: City, Sport, dan Eco serta ada juga gear undur.
Walaupun menawarkan prestasi hebat, perkara yang perlu diberikan perhatian untuk produk EV adalah jarak penggunaan. Motosikal ini boleh dipandu hingga 125km untuk sekali cas yang dibekalkan pek bateri lithium-ion 5.6kWh. Bergantung kepada jenis penggunaan, motosikal ini mungkin hanya perlu dicas dua atau sekali seminggu.
Ciri menarik lain, bateri skuter ini boleh ditanggalkan untuk dicas menggunakan sumber kuasa seperti soket domestik di rumah. Jika tidak mahu menunggu lama, pengguna boleh pasangkan bateri ganti yang sudah siap dicas. Dari segi praktikaliti, bahagian bawah pelana boleh memuatkan dua helmet dan SEAT turut menyediakan dua palam USB untuk mengecas peranti.
BACA >>> Leon Generasi Ke-3 Jadi Model Paling Laris dalam Sejarah Seat!
Selari perkembangan digital, pemilik boleh mengesan lokasi motosikal menggunakan aplikasi telefon pintar dengan menyediakan maklumat kedudukan dan kemas kini status. Motosikal ini juga boleh dijadikan kenderaan perkongsian untuk pekerja syarikat.
Ada tiga warna ditawarkan dalam tema kusam (matte), iaitu Daring Red (merah), Dark Aluminium (kelabu) dan Oxygen White (putih).
SPESIFIKASI SEAT MÓ eScooter125 (untuk pelanggan persendirian)
Enjin | 7kW (9kW Kuasa Puncak) |
Pecutan (0-50km/j) | 3.9 saat |
Tork puncak | 240Nm |
Kelajuan maksimum | 95km/j |
Kapasiti bateri | 5.6kWh |
Jarak penggunaan bandar | Sehingga 125km |
SEAT MÓ eKickScooter65 dan eKickScooter25
Ketika permintaan untuk penyelesaian pengangkutan bandar meningkat, MÓ eKickScooter65 datang dalam bentuk skuter kecil dan senyap.
Skuter ini boleh dipandu hingga 65km melalui pek bateri 551kWh dengan kelajuan maksimum 20kmj. Kuasa dibekalkan juga boleh tahan dan juga mudah mendaki hingga kecuraman 20º.
Dari segi keselamatan, skuter ini dilengkapi lampu depan dan belakang, lampu brek, lampu reflektor sisi dan belakang, brek elektronik depan dan brek belakang jenis dram. Walaupun cuma skuter, MÓ eKickScooter 65 menawarkan tiga pilihan mod tunggangan iaitu Eco, Standard dan Sport.
Satu lagi model ialah MÓ eKickScooter25 dengan jarak tunggangan lebih pendek, iaitu 25km dan sesuai buat pengguna yang mahu melengkapkan destinasi akhir seperti ke pejabat dari stesen keretapi atau pulang ke rumah.
Harga belum didedahkan SEAT. Berikut spesifikasi ringkas motosikal dan skuter elektrik tersebut:
SPESIFIKASI EAT MÓ eKickScooter65
Kuasa motor nominal | 350W |
Kapasiti bateri | 551Wh |
Kelajuan maksimum | 20km/j |
Jarak penggunaan bandar | 65km |
Tempoh pengecasan | 6 jam |
Sudut mendaki | 20 darjah |
SPESIFIKASI SEAT eKickScooter25
Kuasa motor nominal | 300W |
Kapasiti bateri | 187Wh |
Kelajuan maksimum | 25km/j |
Jarak penggunaan bandar | 25km |
Tempoh pengecasan | 3.5 jam |
Leave a Reply