KES kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi!
Terkini, seorang lelaki yang keluar menghantar makanan jualan isterinya maut apabila motosikalnya dirempuh pemandu kenderaan jenis Grand Livina dipercayai mabuk dalam insiden yang berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar, menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara dan mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, mangsa terjatuh ke sebelah kiri bahu jalan selepas dirempuh, manakala motosikal diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
"Suspek kemudian memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu selepas ditahan orang awam," katanya.
Zulkefly berkata, mangsa ialah pekerja kontrak dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.
Suspek pula bekerja di kedai aksesori kereta dan kini ditahan di Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply