DISEBABKAN panik dan takut, seorang remaja lelaki nekad meninggalkan mayat teman wanitanya di garaj rumah keluarga mangsa di Felda Keratong 10, Rompin, Pahang selepas mereka terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata, mayat mangsa dijumpai datuk mangsa sekitar jam 10 pagi semalam ketika hendak memarkir kenderaan pacuan empat roda miliknya di garaj itu. Dia dikatakan keluar dari kenderaan untuk memeriksa 'bungkusan' ditutup kain pelikat. Apabila dibuka, kelihatan cucu perempuannya berusia 17 tahun dalam keadaan berlumuran darah.
BACA >>> Covid-19: Jumlah Kemalangan Seluruh Malaysia Menurun Sepanjang Tempoh PKP
Siasatan awal terhadap teman lelaki mangsa yang berusia 17 tahun mendakwa mereka keluar berjalan-jalan sekitar 3.30 pagi dengan menunggang sebuah motosikal sebelum terlanggar seekor kerbau di tengah jalan berhampiran kilang sawit Felda Keratong 3.
"Teman lelaki mangsa mendakwa kemalangan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri kerana parah di kepala dan paha manakala dirinya hanya cedera ringan di tangan dan kaki," katanya.
Azari berkata teman lelaki mangsa yang tinggal di Felda Keratong 5 mendakwa membawa mangsa pulang dan terus beredar dari lokasi kejadian selepas meletakkan mangsa di situ kerana takut dimarahi keluarga mangsa. Keluarga mangsa pula tidak menyedari kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu kerana menganggap mangsa masih tidur di tingkat atas rumah.
Katanya, remaja lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat.
BACA >>> Mat Motor Dapat RM11 Juta Sebab Kemalangan Elak Jalan Berlubang
SUMBER: Bernama
Leave a Reply