PENGELUAR motosikal dari Belgium, Saroléa pernah menjadi sebutan dalam industri selepas memperkenalkan superbike elektrik edisi terhad, MANX7 pada 2018.
Saroléa bukan pendatang baru dalam industri automotif. Sejarah pengeluar itu bermula sebagai pengeluar senjata api era 1850-an sebelum beralih kepada segmen basikal pada 1890-an. Ia juga syarikat pertama Belgium dan antara paling awal di Eropah melibatkan diri dalam bidang pembuatan motosikal pada abad ke-20.
Dalam tempoh 60 tahun, Saroléa menghasilkan pelbagai model motosikal, termasuk menceburi sukan lumba seperti memenangi Kejuaraan Motocross Eropah FIM. Bagaimanapun, nama Saroléa mula tenggelam dalam industri sekitar 1960-an selepas bergabung dengan syarikat lain.
BACA >>> Motosola Hasilkan Produk Kanopi Solar untuk Cas Bateri Motosikal Elektrik
KELAHIRAN SEMULA
Pada 2010, adik-beradik kembar warga Belgium, Torsten dan Bjorn Robbens membeli hak nama Saroléa dan mula menghasilkan motosikal lumba elektrik.
Motosikal lumba elektrik pertama buatan Saroléa ialah SP7 (foto atas) dan pernah beraksi dalam kejuaraan Isle of Man TT pada 2014. Ditunggang pelumba Robert Wilson, model tersebut berjaya meraih kedudukan keempat dengan purata kelajuan 151kmj.
Saroléa sudah empat kali Isle of Man TT bersama SP7. Kini penunggang pembangunan syarikat, Dean Harrison memutuskan untuk mencipta model versi jalan raya pula, dinamakan MANX7 dan N60 MM.01 berasaskan teknologi SP7.
1. MANX7
MANX7 dibina berasaskan casis monokok gentian karbon bagi mendapatkan frem kekuatan tinggi yang bukan saja ringan, tetapi kukuh. Jentera ini juga dihasilkan secara manual, iaitu menggunakan tangan.
Selain monokok, komponen swingarm juga buatan tangan berasaskan material gentian karbon yang dihasilkan syarikat sekutu, Solvay. Konfigurasi itu membolehkan MANX7 memiliki imbangan berat seimbang, 50:50 di depan dan belakang. Ini memudahkan motosikal ini dikendalikan walaupun memiliki berat 217kg (termasuk pek bateri 22kWh).
Pek bateri MANX7 boleh ditanggalkan dan ditawarkan dalam tiga pilihan kuasa:
- 14kWh (jarak 230km)
- 18kWh (jarak 280km)
- 22kWh (jarak 330km)
Sistem suspensi menggunakan unit Öhlins, sama seperti SP7, terdiri daripada fork FGRT-200 dan monoshock TTX36. Sistem brek pula buatan Beringer, manakala rim menggunakan unit Gass-R daripada OZ Racing.
Lampu belakang, lampu signal belok, cermin sisi, pemegang nombor plat dan peg kaki berjenama Rizoma. Edisi pertama MANX7 dihasilkan secara terhad, iaitu 20 unit pada 2018.
BACA >>> BMW E-Power Roadster - Motosikal Elektrik Konsep dengan Komponen Kereta EV
2. N60 MM.01
Saroléa baru-baru ini mengumumkan satu lagi model terbaharu, dipanggil N60 MM.01, iaitu streetfighter elektrik yang dibangunkan berasaskan platform MANX7.
N60 MM.01 menampilkan rekabentuk moden dan futuristik, berbeza daripada MANX7 yang lebih konservatif. Meneruskan warisan perlumbaan SP7, model massa kedua ini masih mengekalkan penggunaan material gentian karbon dengan berat jentera cuma 215kg.
N60 MM.01 banyak berkongsi komponen dengan MANX7 seperti pek bateri 22kWh litium ion (jarak 330km), fork Öhlins FGRT-200, absober Öhlins TTX36, brek Beringer Aerotecs dan rim 17 inci aluminium OZ Gass-Rs yang dibalut tayar Dunlop Sportsmart TT.
Bagi menjadikan model ini lebih istimewa, Saroléa bekerjasama dengan pembuat sut pakaian Cafe Costume, pengeluar helmet, Hedon dan pengeluar pisau, Studio Blade untuk menyiapkan pakej Mighty Machines. Cuma 20 unit N60 MM.01 edisi khas ditawarkan pada harga yang cuma didedahkan kepada pembeli yang berminat.
BACA >>> Penunggang 'Gojek Rwanda' Wajib Guna Motosikal Elektrik
Leave a Reply