PENGGUNAAN car seat atau kerusi kereta kanak-kanak, setakat ini bukanlah perkara wajib dipatuhi oleh pengguna. Tetapi kalau mengikut aspek keselamatan, ia sebenarnya satu keperluan yang tidak boleh dipandang remeh.
“Tak sampai hati tengok dia menangis bila letak dalam tu.”
“Letak dia dalam tu, terus meronta.”
“Pergi kedai dekat rumah aja pun.”
Itulah antara alasan yang sering digunakan oleh ibu bapa apabila tidak menggunakan kerusi kereta kanak-kanak. Memegang status sebagai ibu, tidak dinafikan timbul rasa belas apabila tengok anak menangis. Tetapi mana satu anda mahukan? Melihat anak menangis atau kita sendiri menangis menyesal apabila terjadi sesuatu yang tidak diingini ke atas anak? Bukan mendoakan, tetapi bukankah mencegah itu yang terbaik?
Antara faktor penting penggunaan kerusi kereta kanak-kanak adalah memudahkan ibu atau bapa, yang terpaksa memandu seorang diri, mengajar anak tentang keadaan sebenar dalam kereta ketika di jalan raya. Paling penting, keselamatan anak itu sendiri!
Keselamatan dan nyawa bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main. Mungkin ada yang memberi alasan anak masih menyusu. Tetapi, seandainya kita menjadikan ia sebagai rutin, pasti lama-kelamaan anak terbiasa. Pangku anak ketika hendak menyusu dan letakkan semula ke kerusi kereta kanak-kanak selepas selesai.
Tidak dinafikan harga sebuah kerusi kereta kanak-kanak agak mahal hingga mencecah ribuan ringgit. Namun, masih ada banyak pilihan yang ditawarkan dalam harga berpatutan. Demi keselamatan si anak, rasanya tiada salah seandainya kita buat sedikit pelaburankan? Pilih dan belilah mengikut kemampuan.
Secara ringkasnya ada dua jenis kerusi kereta kanak-kanak:
1. BAKUL BAYI (CARRIER)
Boleh menampung berat bayi hingga maksimum 15kg mengikut jenama tertentu. Lebih sesuai untuk bayi dan ada yang boleh diubah menjadi stroler.
2. KONVERTIBEL
Boleh menghadap ke hadapan atau belakang. Sesuai untuk bayi hingga berusia 3 atau 4 tahun bergantung kepada berat.
Kedua-duanya didatangkan dengan fungsi yang hampir sama tetapi dengan had umur dan berat berbeza.
PANDUAN MEMILIH
- Pilih car seat mengikut kesesuaian berat dan umur anak.
- Senang dan mudah dipasang.
- Tidak membebankan untuk diangkat.
- Menepati piawaian Malaysia (MS 594:1995) dan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECE R44.03 atau R44.04).
Jangan kedekut mengeluarkan sedikit wang demi keselamatan anak. Mencegah itu lebih baik dari merawat. Fikir-fikirkanlah.
Leave a Reply