INGRESS Motors Centre Sdn Bhd (IMC), pengedar kenderaan Mitsubishi Motors merancang menambah lebih banyak kemudahan tambahan kepada pelanggannya menerusi pusat 4S (jualan, servis, alat ganti dan semburan cat) miliknya di Puchong, Selangor.
Pengedar Prinsipal IMC, Mohd Azeman Mohamed Akram berkata, antara kemudahan yang dirancang termasuk menyediakan perkhidmatan jualan tayar dan aksesori tulen keluaran Mitsubishi Motors serta aksesori jenama RALLIART bagi keselesaan pelanggan.
“ Kami mahu menjadikan IMC sebagai pusat sehenti kepada pelanggan yang mahu mendapatkan alat ganti dan aksesori tulen. Dengan adanya kakitangan dan mekanik yang terlatih, kami yakin mampu mencapai piawaian yang dikehendaki dalam usaha menyediakan perkhidmatan baik buat pelanggan," katanya sempena sambutan ulang tahun pertama IMC sebagai wakil pengedar kenderaan Mitsubishi Motors.
Dibina atas tapak berkeluasan 29,000 kaki persegi, pusat 4S yang menelan pelaburan RM2.2juta ini dilengkapi 12 ruangan servis selain mempamerkan pelbagai model Mitsubishi seperti Mirage, Attrage, Lancer, ASX, Triton dan Pajero. Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik kepada pemilik kereta elektrik i-MiEV.
Antara kemudahan lain disediakan, ruangan menunggu yang selesa dan mesra pengguna, Wi-Fi percuma, televisyen, butik RALLIART, ruang permainan kanak-kanak serta kemudahan-kemudahan lain untuk keselesaan pelanggan. Hadir sama pada majlis itu, Naib Pengerusi Eksekutif Ingress Corporation Berhad, Datuk Rameli Musa.
Leave a Reply