MAZDA memang tidak sama dengan Honda, Toyota dan Nissan. Sejak memperkenalkan falsafah rekabentuk Kodo: Soul of Emotion yang membawa maksud 'meniupkan nafas kehidupan untuk sebuah kereta', Mazda tampil berbeza dengan meletakkan dirinya selangkah ke depan berbanding jenama utama Jepun lain.
Mazda percaya kereta bukan sekadar jisim logam, tetapi semacam makhluk hidup. Jadi ikatan emosi antara pemandu dan kereta mesti diwujudkan sama seperti hubungan kuda dan penunggang. Mungkin sebab itu jugalah Mazda tidak pernah tergesa-gesa mengejar angka jualan dalam pasaran massa.
Keutamaan Mazda ialah kualiti, teknologi dan kepuasan pelanggan. Kata orang, hanya 'jauhari mengenal manikam'. Selepas kenal dan cuba produk Mazda, anda akan mula faham, Mazda adalah Mazda dan tidak boleh disamakan dengan pesaing lain.
BACA >>> Inilah 7 Perkara Anda Patut Tahu Mengenai Mazda3 (2019) - Harga Bermula RM139k
HATCHBACK SEGMEN-C YANG SUKAR DIGUGAT
Mazda3 baharu memasuki pasaran tempatan sekitar Julai tahun lalu. Ada dua versi diperkenalkan, iaitu Sedan dan Hatchback. Pendapat saya, versi hatchback paling menarik perhatian kerana lekuk badannya yang seksi dan tiada pesaing lain dalam segmen-C yang mampu menggugat penampilannya (buat masa ini).
Tentang rekabentuk luaran, ia sebenarnya lebih kepada selera individu dan tiada apa yang kurang dengan penampilan Mazda3 Hatchback. Jika anda rasa versi hatchback terlalu muda dan menjolok mata, pilih saja model sedan yang lebih tradisional. Tetapi ingat, ramai mengaku tergoda selepas melihat model hatchback. Nice looking car, kata mereka.
Banyak mata akan melirik setiap kali nampak kelibat model ini di jalanan. Lihatlah rekabentuk lampu belakang 3D yang padu, rupa depan agresif, lekuk sisi dinamik dan spoiler hitam sporty. Semuanya sempurna pada Mazda3 Hatchback.
Ya, semuanya padu! Satu pendekatan rekaan agresif dengan konsep 'kurang itu lebih' (less is more) terpancar pada rekaan lampu depan LED tipis yang dilengkapkan sistem lampu adaptif (AFS), Kawalan Lampu Suluh Tinggi (HBC) berserta ciri boleh laras automatik, termasuk fungsi nyala dan padam sendiri. Tidak dilupakan lampu siang (DRL) yang melingkar garang.
BACA >>> Inilah 7 Perkara Anda Patut Tahu Mengenai Mazda3 (2019) - Harga Bermula RM139k
Fender belakang maskular memberikan visual unik pada pilar-C besar dengan bentuk cermin pintu belakang tirus. Ia masih tentang cita rasa peribadi kerana anda mungkin rasa saiz pilar belakang itu terlalu tebal dan pelik. Tetapi secara jelas rekabentuk tersebut menyerlahkan efek siluet yang cukup dramatik dari sisi kereta.
Mazda3 Hatchback dipasangkan rim kelabu metalik 18 inci (215/45R). Lekuk belakang hatchback ini seakan mengikut alur pilar-C yang secara langsung mengubah dinamik lekukan pintu but. Garis lekuk pintu dilarik selari dengan lampu belakang LED dan lencana Mazda yang tersembunyi butang buka but. Bijak, kerana rekaan belakang nampak lebih kemas dan bersih.
Cermin belakang direka landai dan dipadankan bersama spoiler dan difuser belakang hitam berkilat serta dwi-ekzos. Kesimpulannya, rupa belakang lebar nampak sempurna dan seksi jika dilihat dari pelbagai arah, lebih-lebih lagi jika memilih warna signatur Mazda, Soul Red Crystal (merah hati).
BACA >>> #PanduUji: Mazda 3 (2019) yang Seksi dan Mantap Serba-Serbi
KEMAS DAN RINGKAS
Konsep less is more dapat dilihat pada ruang kabin. Walaupun minimalis, tetapi sentuhan premium tidak diketepikan. Menurut pereka rekabentuk dalaman Mazda, Masaya Suzuki, beliau sengaja mencipta ruang kabin yang ringkas dan menarik supaya si pemandu dapat rasa seperti sentiasa mahu memandu Mazda setiap kali melihat kereta itu.
Jadi, apa yang mahu dicapai adalah keharmonian antara emosi dan rasional. Jadi, asas rekabentuk menumpukan kepada pengalaman pemandu dan Mazda cuba menawarkan reka letak yang membuatkan seseorang pemandu itu terasa seperti mahu duduk di kerusi.
Pengalaman tersebut diperoleh menerusi reka letak kabin yang memberikan fiil pergerakan ke depan atau rasa terselubung seperti apa dirasakan juruterbang dalam kokpit pesawat. Kerusi pemandu direka untuk menyokong postur duduk pemandu, sekali gus membuatkan gerakan badan untuk menstabilkan posisi kepala jadi lebih natural.
Posisi ergonomik juga memudahkan capaian butang kawalan. Walaupun susun atur ringkas, perincian mewah dapat dilihat menerusi kemasan sulaman benang pada papan pemuka. Ada banyak material lembut digunakan, termasuk kemasan kulit pada konsol tengah, tombol gear, papan pemuka dan kerusi.
Sesiapa saja yang masuk ke kabin Mazda pasti tidak memerlukan masa lama untuk serasi dan memahirkan diri dengan fungsi butang kawalan disediakan. Ini bukan untuk pemandu muda saja, pemandu senior pun akan selesa dengan persembahan kabin Mazda3 Hatchback
Ini dapat terlihat menerusi kedudukan tombol di tengah papan pemuka yang hanya untuk kawalan penyaman udara dual zon dan skrin 8.8 inci MZD Connect. Dan untuk pemandu selain ventilator penyaman udara besar, juga dihidangkan kluster instrumen 7 inci TFT dan paparan maklumat pemanduan, Active Driving Display (ADD) yang seakan paparan dongak (HUD).
Stereng direka ergonomik dengan punat multifungsi untuk kawalan sistem audio dan telefon, kawalan jelajah dan pedal syif. Penutup kotak konsol tengah berfungsi sebagai perehat tangan dengan bantalan empuk berlapis material kulit serta mengikuti prinsip mekanisme Karakumi.
Selain itu, kedudukan punat kawalan Command Controller ditempatkan di belakang tuil gear kini diselaras dengan perehat tangan, manakala pemegang cawan diletakkan di depan. Ada juga bumbung suria jika rasa terpengap lama dan mahu melihat langit atau menambah oksigen dalam kabin.
BACA >>> Toyota Corolla Altis Serba Baharu Lancar di Malaysia, Harga Mula RM129k
LINCAH DAN AGRESIF, JIMAT
Model yang saya pandu uji ini ialah Mazda3 hatchback 2.0L Skyactiv-G High Plus dengan teknologi i-ACTIVSENSE. Harganya RM160,059, agak mengejutkan, tetapi sebelum anda cakap bukan-bukan, ketahuilah ini ialah model import (CBU) dari Jepun.
Enjin bersesaran 1,998cc menghamburkan kuasa 162hp @ 6,000rpm dan tork 213Nm, manakala hantaran kuasa ke roda depan disalurkan menerusi kotak gear automatik 6-kelajuan Skyactiv Drive yang memberikan pengalaman pecutan lancar walaupun tanpa sebarang kuasa induksi.
Apabila pedal minyak ditekan, terasa seperti jasad bersatu dengan kereta. Stereng kompak dan datar memberikan fiil spesial dan sporty seakan memandu kereta sport dan mewah. Memecut 140kmj di lebuh raya cukup selesa dan stabil. Pemanduan rasa lancar dengan tahap kesenyapan dalam kabin juga minimum.
Sistem suspensi ketika menempuh permukaan jalan raya beralun agak keras, jadi kemampuan redaman adalah memuaskan. Input stereng juga tepat dan tajam ketika membelok, yang disempurnakan pula dengan ciri kawalan pemvektoran G-Vectoring Control Plus (GVC Plus). Seperti mana kita tahu, Mazda ialah pengeluar yang teliti dengan aspek pemanduan dinamik dan ini antara sebab kenapa ramai yang kekal setia dengan jenama ini
GVC Plus meningkatkan rasa dinamik input stereng dalam apa jua kelajuan. Bukan saja respons tetapi juga kestabilan di selekoh. Komputer akan mengawal kuasa stereng dan enjin ketika stereng dipusingkan, manakala beban diagihkan pada tayar untuk membolehkan kereta bertindak balas.
Apa lagi? Oh ya, spidometer digital kurang umph kerana tiada perubahan warna ketika menukar mod Sport. Hanya tertera indikator Sport. Versi High Plus didatangkan dengan ciri keselamatan i-ACTIVSENSE yang menggunakan sistem radar sebagai sensor tambahan.
Sistem tersebut terdiri daripada:
- Sistem Lampu Depan Adaptif (AFS)
- Kawalan Lampu Suluh Tinggi (HBC)
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Sistem Amaran Masuk Lorong (LDWS)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (DAA)
- Sokongan Brek Pintar (SBS)
- Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)
Sepanjang tiga hari memandu Mazda3 Hatchback, tahap penjimatan minyak adalah memuaskan walaupun saya tidaklah terlalu teliti sangat. Bagi model berharga premium, tuan kereta ini sepatutnya tiada masalah dengan harga minyak. Tetapi apa yang boleh saya katakan teknologi SkyActiv memang terkenal dengan penggunaan bahan api terbaik.
Sekali isian penuh sudah boleh memandu ke Kodiang dari KL tanpa perlu berhenti mengisi minyak lagi. Bergantung juga kepada cara pemanduan. Kalau sudah pusing ikut Lebuhraya Pantai Timur membawa ke Gerik, memanglah kena isi minyak juga.
Lagipun saya tidak memandu jauh kereta ini. Cuma sekitar Ara Damansara dan KLCC (KL) dan Slim River (Perak) serta Shah Alam (Selangor) untuk memulangkan semuka kereta. Dan bar minyak masih berbaki separuh tangki lagi! Dengan gaya memandu yang pelbagai di lebuh raya dan jalan raya biasa dan dalam bermacam-macam halaju, Mazda3 Hatchback memang cukup efisien.
BACA >>> Honda Civic Facelift (2020) Lancar! 10 Perkara Perlu Anda Tahu, Harga Mula RM113k!
KESIMPULAN
Saya suka Mazda3 Hatchback kerana model ini mampu menawarkan kepuasan dari segi rekabentuk, kualiti pembuatan dan teknologi canggih. Akhir sekali sudah tentu faktor seronok dipandu yang membuatkan hatchback ini layak bersaing dengan jenama kontinental. Memang padu dan rasa macam hendak angkat satu!
Leave a Reply