Nampaknya segmen-C tahun ini semakin mengujakan dengan kehadiran model-model serba baharu yang bakal dilancarkan pengeluar masing-masing. Baru sahaja dilancarkan semalam, pengedar rasmi Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd memperkenalkan Peugeot 408 e-THP Serba Baharu sebagai pembuka tirai saingan segmen-C untuk pasaran tempatan tahun ini.
Lebih menarik, ciri-ciri dimiliki Peugeot 408 e-THP Serba Baharu ini menyamai apa yang ada pada sebuah model segmen-D dengan kombinasi lengkap teknologi, keselamatan, prestasi dan pemanduan terbaik. Bukankah itu yang dimahukan setiap pencinta automobil? Jadi, apa yang menarik tentang Peugeot 408 e-THP Serba Baharu ini?
1. EKSTERIOR DIPERHALUSI
Sekilas pandang rekabentuk Peugeot 408 e-THP Serba Baharu tampak cukup mempesonakan, terutama logo singa pada gril yang semestinya signatur Peugeot yang diwarisi sejak berdekad lama. Sentuhan semula lampu depan dan belakang membuatkan profil kereta ini lebih lebar. Lihat saja pada dua garis pinggir yang melintang sepanjang sisi kereta yang bukan saja memberikan imej maskulin, tetapi juga menyerlahkan kesan siluet yang membuatkan penampilan kereta nampak menggiurkan ketika dipandu tidak kira siang atau malam.
Rekaan lampu depan dan belakang menggunakan teknologi LED dengan fungsi pencahayaan automatik, yang turut ditampilkan pada cermin sisi, sekali gus menyerlahkan karakter dan gaya futuristik kenderaan masa kini. Rekabentuk aerodinamik jentera ini turut dikuatkan dengan kehadiran Rubis, rim aloi dua tona bersaiz 17-inci.
2. INTERIOR PENUH PESONA
Rekaan i-Cockpit Peugeot 408 e-THP Serba Baharu mendapat anugerah Interior Paling Cantik pada Festival Tahunan Automobil Antarabangsa ke-29. Jadi apa mahu dipertikaikan lagi. Memang cantik!
Peugeot i-Cockpit menampilkan empat komponen bersepadu, iaitu roda stereng sport dibalut kulit dan bersaiz kompak, panel instrumen dongak (head-up) dengan rekaan simetri supaya pemandu kekal fokus pada pemanduan, konsol tengah tinggi dan skrin sentuh multifungsi berdefinisi tinggi (HD) untuk pemanduan intuitif.
Antara ciri premium lain ditawarkan ialah kerusi kulit hitam premium, sistem bunyi hi-fi Arkamys dengan 6 pembesar suara, sambungan digital penuh dengan USB dan Bluetooth, brek parkir elektrik automatik, masukan tanpa kunci pintar dengan butang tekan mula, kamera undur bersepadu, kawalan penyaman udara zon duaan automatik menerusi skrin sentuh, saiz but 565 liter, dan fungsi urut dan lumbar elektrik pada kerusi pemandu.
3. CIRI KESELAMATAN MENYELURUH
Tidak sempurna rasanya jentera secantik ini jika tidak dilengkapkan dengan ciri keselamatan termaju. Nah, kita lihat di bawah senarai ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan Peugeot 408 e-THP Serba Baharu:
- 6 beg udara
- Tali keledar pra-tegangan dan pengehad beban.
- 3 set poin ISOFIX untuk kerusi keselamatan kanak-kanak.
- Program Stabiliti Elektronik (ESP)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Aturan Anti-Gelincir (ASR)
- Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC)
- 3 gred keluli bagi pembinaan badan - kekuatan tinggi, kekuatan sangat tinggi dan kekuatan ultra tinggi.
- Bantuan Mula Daki (HSA)
- Sistem Informasi Titik Buta (BLISS) - berfungsi memberi amaran kepada pemandu tentang kehadiran kenderaan lain yang berada dalam sudut titik buta.
4. TEKNOLOGI TERMAJU
Teknologi Mula-Henti (Start-Stop) memastikan penggunaan bahan api diguna pakai secara optimum, di mana enjin dinyah aktif apabila kelajuan di bawah 20kmj dan dihidupkan semula dengan lembut apabila pendikit ditekan. Penggunaan bahan api mencatatkan 6.5 liter bagi 100km perjalanan.
Anda kini tidak perlu lagi pening kepala untuk meletakkan kenderaan sama ada secara sisi atau menegak kerana Peugeot 408 e-THP Serba Baharu kini menawarkan Bantuan Parkir Pintar II.
5. ENJIN KOMPAK BERKUASA TINGGI
Cuma satu varian enjin ditawarkan pada Peugeot 408 e-THP Serba Baharu ini, berkapasiti 1.6L. Tidak cukup besar dan berkuasa? Sabar dulu, walaupun saiz enjin sudah dikompakkan, tetapi kuasa dihamburkan ialah setinggi 165hp pada 6,000rpm bersama tork maksimum 245Nm pada 1,400rpm. Ya, menyamai enjin natural aspirasi bersesaran 2.0L.
Terima kasih kepada enjin DOHC 16-Valve VVT jenis Turbo Efisien Tekanan-Tinggi dengan Teknologi Skrol Berkembar dan paduan transmisi Efficient AT6 dengan Teknologi Quickshift!
6. PANTAS DAN LAJU
Kelajuan maksimum boleh dicapai pada 215kmj, manakala pecutan 0-100kmj dapat dibuat sepantas 8.2 saat! Kuasa sebenar kini berada di kaki anda dan injakkan saja pada bila-bila masa jika situasi memerlukan. Tapi ingat, pandu cermat, jiwa selamat!
7. PEMANDUAN TERBAIK
Pengenalan Platform Modular Efisien 2 (EMP2) yang dibangunkan Peugeot nyata memberikan banyak kelebihan pada Peugeot 408 e-THP Serba Baharu dari segi kedinamikan pemanduan.
Ini membolehkan model ini beraksi dengan berat badan dikurangkan sehingga 140kg, pusat graviti direndahkan kepada 20mm, keseimbangan kereta dipertingkat, rungkup (overhang) dikecilkan, dan komponen teknikal menjadi lebih ringan, manakala ruang kabin lebih luas. Peugeot 408 e-THP Serba Baharu nyata lebih kompak, lebih rigid, dan berprofil rendah, tetapi juga sebuah jentera yang tangkas dan kuat.
8. PILIHAN WARNA MENARIK
Terdapat enam warna menarik siap sedia dipilih.
- Alpine White (putih)
- Alluminium (perak)
- Aster Grey (kelabu)
- Premium Black (hitam)
- Lucifer Red (merah)
- Bourrasque Blue (biru)
Pilihan kami sudah tentu Biru Bourrasque memandangkan ia bukan warna tipikal seperti dapat dilihat mana pada model lain.
9. HARGA & JAMINAN MENARIK
Harga atas jalan termasuk insurans ialah RM143,888 (Semenanjung), RM146,888 (Sabah) dan RM146,388 (Kuching, Sarawak).
Jangan tidak tahu, semua model Peugeot mendapat jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Ini termasuk khidmat Bantuan Tepi Jalan Peugeot 24 jam selama 3 tahun, akses khas ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.
Leave a Reply