VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) tidak menunggu lama untuk memperkenalkan Passat 2.0TSI Elegance selepas empat bulan debut di Jerman yang menampilkan pembaharuan rupa luaran dan dalaman pada harga RM187,990.
Memasuki generasi kelapan, Passat 2.0 TSI Elegance dijana enjin 2.0 TSI (tiada lagi enjin 1.8L) dengan angka kuasa sedikit direndahkan rendah, 188hp (-28hp) dan tork 320Nm (-30Nm) dengan transmisi automatik DSG 7-kelajuan menggantikan 6-kelajuan sebelumnya.
Sedan famili eksekutif ini menawarkan penggunaan bahan api 6.5 liter per 100km.
BACA >>> Volkswagen Passat Variant 4MOTION R-Line Edition, Wagon Edisi Khas 2,000 Unit Sahaja
CUMA SATU VARIAN
Passat 2.0 TSI Elegance cuma ada satu varian dan didatangkan dalam enam pilihan warna dengan dua kemasan seperti berikut:
- Aquamarine Blue (biru)
- Manganese Grey (kelabu)
- Reflex Silver (perak)
- Tamarind Brown (coklat)
- Deep Black (hitam), dengan efek mutiara
- Oryx White (putih), dengan efek mutiara
LUARAN DINAMIK
Passat 2.0 TSI Elegance tampil dinamik menerusi penambahbaikan rekabentuk baharu profil depan dan belakang yang berbeza dengan model terdahulu. Kemas kini lain ditampilkan ialah lencana yang tertera di belakang dan rim aloi 'Liverpool' 18-inci.
Karakter elegan diserlahkan menerusi rekaan signatur lampu utama LED penuh berserta lampu signal belok berturutan di depan dan belakang . Lampu belakang juga direka baharu.
MATERIAL, REKAAN KABIN BAHARU
Ruang kabin Passat mengetengahkan elemen mewah dan penuh gaya. Antara aspek dinaik taraf ialah kemasan panel pintu baharu, 30 pilihan warna lampu ambien dan stereng kulit dengan butang multifungsi ergonomik yang memudahkan akses konektiviti menerusi satu sentuhan sahaja.
Kerusi menggunakan material kulit lembut dan disiapkan dengan fungsi boleh laras 12-tetapan. Penyaman udara Climatronic 3-zon memberikan keselesaan maksimum untuk keseluruhan penumpang dalam kabin. Ciri baharu yang disediakan ialah pelindung cahaya matahari elektrik pada cermin belakang. Kapasiti but 586 liter cukup luas untuk mengisi barangan lima penumpang.
BACA >>> Volkswagen Jetta GLI (2019), Jelmaan Golf GTI dalam Bentuk Sedan
KONEKTIVITI PINTAR DI HUJUNG JARI
Passat 2.0 TSI Elegance menawarkan ciri konektiviti pintar di hujung jari menerusi unit Digital Cockpit 11.7-inci dengan skrin TFT resolusi tinggi yang menghasilkan kualiti paparan setanding telefon pintar premium. Juga disediakan antaramuka grafik 2D dan 3D untuk fungsi navigasi dan media.
Ada enam pandangan skrin boleh dikustomkan dengan lebih 30 kombinasi. Sistem infotainment diakses menggunakan skrin sentuh 9.2 inci dengan kawalan suara dan gestur serta skrin pandangan yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.
Ciri AppConnect wayarles dengan Apple CarPlay juga ditawarkan buat kali pertama untuk model ini di Malaysia. Ciri lain termasuk akses pilihan konektiviti luas yang dapat dicapai menerusi skrin sentuh kapasitif, tiga palam USB-C dengan iluminasi dan sambungan Bluetooth untuk penstriman audio dan peranti mudah alih.
CIRI KESELAMATAN DIPERTINGKAT
Keselamatan adalah aspek penting untuk semua model Volkswagen. Passat 2.0 TSI Elegance dilengkapkan ciri Bantuan Sisi dengan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dengan jarak sensor 18º hingga 50 meter, manakala teknologi Sistem Pemantauan Titik Buta (BLIS) memastikan kereta sentiasa kekal dalam laluan pemanduan dengan jarak sensor 70 meter.
Juga ditambah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dengan alat pengesan bersepadu pada keempat-empat tayar. Ciri keselamatan lain termasuk:
- Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC)
- Sietem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Bantuan Brek (BA)
- Sistem Respon Perlanggaran Pintar (ICRS)
- Kawalan Pegun Bukit (HHC)
- Sistem Brek Pasca-Perlanggaran Automatik (APCBS)
- Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif (PPPS)
BACA >>> Volkswagen Tunjuk Lampu Konsep Masa Depan, Mampu Interaksi dengan Persekitaran
Leave a Reply