SESIAPA pun boleh tertarik dan jatuh hati dengan Proton X70. Sejak dilancarkan Disember tahun lalu, kelibat model kenderaan utiliti sukan (SUV) ini atas jalan bukan lagi susah hendak dilihat.
Bukan saja lelaki, kaum hawa pun minat X70 yang kita sedia maklum memiliki cita rasa tinggi tentang jenis dan ciri kereta idaman. Tambahan lagi memiliki SUV sudah jadi trend baharu di Malaysia. Artikel pandu uji kali ini adalah reviu daripada Yana yang diberikan peluang memandu model SUV pertama Proton itu selama seminggu.
Agaknya apa pandangan dia pasal X70?
BACA >>> #PanduUji: Proton X70 yang Bukan Bishe Bishe
DARI KL KE TAIPING
Ok, Yana diberikan masa seminggu untuk menguji Proton X70 Premium 2WD, iaitu varian paling premium dalam famili X70 ini. Destinasi dituju adalah kampung halaman di Taiping, Perak. Sengaja nak buat orang kampung teruja. Ini juga kali pertama Yana dapat memandu sendiri X70 dengan jarak perjalanan memakan masa hampir lima jam.
Ramai penulis dan wartawan automotif sudah memandu uji X70. Kebanyakannya lelaki, tetapi rasanya belum ada lagi sesi pandu uji dari perspektif wanita. Apa jadinya X70 dipandu pemandu wanita macam Yana? Apa pandangan Yana tentang X70? Takut? Gayat? Atau macam mana?
Orang perempuan kalau ditanya pasal memilih kereta, jawapan yang selalu diberikan adalah tentang rekabentuk. Mesti cantik dan ada gaya. Jarang sangat kot orang perempun beli kereta sebab tork, kuasa kuda dan enjin berapa cc, ABS, ESC (kejap nak tengok kamus). Ada, tapi jarang-jarang.
Jom baca apa pandangan Yana pasal X70. Sila jangan kecam hoccay!
1. GAYA PREMIUM YANG MEWAH, MENAWAN
Sekali pandang ada rupa Range Rover, dua kali pandang macam Volvo pun ada. Tapi inilah X70 yang semakin mendapat tempat di hati peminat SUV Malaysia. Ingat lagi kali pertama tengok depan mata pada majlis pelancaran, memang macam tidak percaya SUV ini akan dikeluarkan Proton.
Walaupun model ini diambil daripada model rakan strategik Proton, Geely Boyue edisi dipertingkat (facelift), tetapi X70 diberikan sentuhan lokal tanpa mengetepikan elemen moden and kemewahan tersendiri.
BACA >>> #ApaNakBuat: Bagaimanakah Cara Kemas Kini Perisian Unit Infotainment Proton X70?
Dari sisi, ia nampak semacam gaya harimau sedang berlari. Dari depan pula, sentuhan elemen Malaysia dapat dilihat pada bahagian gril depan dengan bingkai gril bertemakan busur panah dengan kemasan krom, manakala bahagian gril menggunakan paten 'Infinite Weave', diambil daripada ukiran kayu tradisional.
Bahagian belakang menampilkan ciri premium yang menyerlahkan ciri sporty mewah seperti dwi paip ekzos krom yang biasa menjadi gaya asas SUV mewah buatan Eropah dan ditambah pula rim19 inci untuk gaya lebih sasa.
Varian X70 Premium 2WD juga didatangkan dengan kemasan kulit Nappa pada kerusi, stereng dan panel pintu. Memang tidak kalah kalau hendak dibandingkan dengan model-model konti dan Jepun premium.
Sekarang tahukan kenapa perempuan macam Yana boleh terjatuh cinta dengan X70?
2. SANGAT SELESA & MUDAH DIPANDU
Selain perlu mewah dan menawan, perempuan juga mementingkan keselesaan.
Saiz X70 yang besar memberikan ekstra keyakinan ketika memandu dengan profil badan tinggi. Berbanding sedan atau hatchback yang membuatkan badan terperosok ke dalam, tetapi posisi duduk X70 membolehkan mata Yana dapat memandang jauh ke depan untuk menikmati pemandangan lebuh raya nan indah dan permai. Boleh gituu…
Sebagai pemandu wanita, posisi duduk begini memang satu kepuasan diri kerana tidak perlu mendongak tinggi ketika memandu, ataupun merapatkan badan ke stereng. Maklumlah fizikal orang perempunkan biasanya rendah, rendang dan kecil molek.
X70 mampu memecut dengan baik walaupun ketika mendaki yang memudahkan SUV ini dipandu sesiapa saja. Tahap deruman enjin dan desiran angin rendah membuatkan suasana dalam kabin lebih senyap. Apabila sudah senyap, elemen keselesaan itu pun wujud serta-merta.
Walaupun bukan dalam kategori SUV mewah, tetapi Yana tidak keberatan untuk mengatakan pengalaman memandu X70 memang mampu memberikan perasaan memandu sebuah kereta berjenama mewah.
Melihat bar genggam di sebelah pemandu dan penumpang sebelah, Yana tertanya juga apa fungsinya? Kalau tengok cerita lumba, tujuannya adalah untuk dipegang kuat supaya tidak tercampak keluar ketika melakukan aksi drift. Maknanya X70 boleh drift? Hehehe? Tetapi ciri khas untuk memang nampak eksklusif ala Volvo gitu...
X70 menawarkan tiga mod pemanduan: Eco, Normal dan Sport. Kalau sudah bosan memandu santai, boleh saja bertukar kepada mod Sport untuk merasai efek pemanduan berbeza. Apabila mod pemanduan dipilih, warna panel meter pun berubah, iaitu putih untuk Normal, hijau (Eco) dan merah (Sport). Memang teruja OK, macam kereta sport!
Diringkaskan cerita, jika mahu cari kereta famili, X70 memang pilihan tepat. Memandu SUV ini tidaklah sukar seperti yang dibayangkan. Cuma hendak parkir kena ambil masa sikitlah. Tapi ada kamera undurkan?
3. CANGGIH DAN PRAKTIKAL
Bagi memenuhi standard SUV premium, antara ciri asas semua varian X70 ialah butang penghidup enjin, brek parkir elektronik (EPB), 6 beg udara, sistem infotaiment GKUI dengan skrin sentuh 8.0 inci berasaskan Android, sambungan wayarles untuk WiFi dan Bluetooth, dan sistem navigasi.
Varian Premium 2WD yang Yana pandu uji ini adalah versi paling up-to-date dan canggih. Antara teknologi paling menjadi bualan sistem arahan suara ‘Hi, Proton!’ Walaupun sekeliling agak riuh dan kecoh, tetapi sistem masih mampu mengecam arahan diberikan. Bukan saja mengawal muzik dan radio, ia juga boleh mengawal cermin tingkap kereta dan melaraskan penyaman udara.
Antara ciri khas lain varian ini ialah fungsi kerusi elektrik 8-tetapan pada bahagian pemandu, dan 4-tetapan untuk kerusi penumpang depan. Ada juga tambahan bumbung panaromik, dan sembilan pembesar suara dengan amplifier berserta subwufer untuk kesan bunyi lebih padu dan dramatik. Memang syok dengar lagu dalam X70.
Tidak perlu lagi berebut cas telefon pintar dalam kereta kerana X70 ada enam palam USB, iaitu dua palam untuk pemandu dan penumpang depan, satu palam dalam konsol tengah dan dua palam lagi untuk penumpang belakang. Ada pula satu palam tersembunyi di sebalik cermin pandang belakang untuk kegunaan kamera pemuka (dashcam).
X70 Premium 2WD juga didatangkan dengan ciri khas dinamakan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) yang dilengkapkan pakej keselamatan yang sangat bermanfaat untuk pemandu wanita seperti fungsi Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Kawalan Jelajah Aktif (ACC), Amaran Tukar Lorong (LDW), Sistem Amaran Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Buka Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).
4. KABIN LUAS
Besar ke kereta ni? Itulah soalan yang selalu terlintas dalam fikiran orang perempuan sebelum membeli kereta. Ada lagi soalan tambahan, luas tak but belakang? Baik mengaku siapa yang selalu tanya soalan ni… Mahu pening jugalah abang salesman nak jawab macam mana.
Jangan risau OK. X70 adalah SUV yang mempunyai ruang dalaman yang luas dan selesa untuk memuatkan lima dewasa (bersaiz normal). Ruang kaki dan kepala untuk kerusi belakang sudah cukup selesa. Malah, pemandu dan penumpang bertubuh besar dan tinggi pun boleh selesa dengan ruang ditawarkan SUV ini.
Kenapa mesti luas? Jawapanya, kereta yang luas adalah praktikal untuk ibu yang ada anak kecil. Lebih-lebih lagi tahun depan sudah wajib pasang kerusi keselamatan kanak-kanak. Pada pandangan Yana, keluasan tempat duduk belakang mampu memuatkan dua kerusi keselamatan kanak-kanak dan seorang dewasa di tengah.
Wanita mengandung atau bertubuh besar juga tidak sukar memandu X70 kerana saiz kerusi pemandu yang agak besar dan tinggi. Boleh dikatakan semua orang akan selesa memandu SUV ini.
Kapasiti but 512 liter sudah memadai untuk mengisi barangan seisi keluarga. Ruang simpanan dalam kabin juga bukan masalah untuk X70 kerana ada banyak tempat yang boleh diselit macam-macam barang keperluan wanita (hehehe...). Eh, banyak pula Yana mengarang ni. 😅
Apapun, X70 memang berbaloi dimiliki wanita yang teringin menambah kereta dalam rumah. Ataupun dijadikan kereta balik kampung atau berjumpa klien untuk close deal bisnes kencang. Naik X70 youuu...
Akhir kata, tepuk poket dan tanya salesman! Hihihi...
Leave a Reply