JIKA memandu atau menunggang di lebuh raya, cebisan getah tayar yang berserakan atas jalan bukan lagi pemandangan aneh. Apabila terpandang, secara automatik terus saja kita tiba-tiba jadi lebih peka mengawal kenderaan, termasuk memperlahankan halaju memandu.
Perkara pertama terlintas dalam fikiran, itu mungkin tayar terpakai milik kenderaan berat, yang terkenal dengan istilah tayar celup. Namun, ramai pemilik kenderaan tidak sedar tayar pecah adalah antara sebab utama kemalangan berlaku. Ia terjadi bukan hanya melibatkan lori atau treler, tetapi juga motosikal dan kereta.
BACA >>> #ApaNakBuat: Tayar Pecah Ketika Memandu? 7 Tindakan Ini Mampu Selamatkan Nyawa
Ada empat punca utama yang boleh menyebabkan tayar kenderaan anda pecah, bocor atau meletup ketika sedang memandu:
1. TAYAR KURANG ANGIN, TEKANAN RENDAH
Ada orang percaya tayar boleh meletup kalau terlebih isi angin. Ini tidak semestinya benar kerana tayar yang diisi lebih had akan menyebabkan tekanan ke atas dinding tayar.
Walaupun ada peningkatan tekanan hingga 10psi, ia masih tidak cukup untuk menyebabkan tayar meletup. Bagaimanapun, ceritanya berbeza kalau tayar kurang angin. Tayar bertekanan rendah (kurang angin) boleh menyebabkan ia pecah atau meletup.
Ini disebabkan pergerakan dinding tayar yang lebih kerap, menyebabkan dawai dalam tayar mudah patah. Pergerakan dinding tayar seperti itu juga menyebabkan tayar pecah atau meletup ketika memandu, lebih-lebih lagi jika memandu laju.
2. TERLANGGAR LUBANG ATAU LOPAK JALAN
Tayar kereta atau motosikal yang terlanggar lubang jalan memaksa sistem suspensi menyerap impak perlanggaran, dan juga memberi kesan tekanan ke atas roda kenderaan.
Ketika memandu tinggi, impak dan tekanan perlanggaran boleh menyebabkan dawai dalam dinding dan permukaan tayar pecah. Ini menyumbang kepada kejadian tayar bocor atau meletup. Lebih malang jika memakai rim jenama tiruan.
3. SILAP TANAM 'CACING'
Teknik tanam 'cacing' dalam tayar sebagai cara menampal tayar pancit dengan cara membesarkan lubang yang bocor juga berisiko mengakibatkan struktur gentian dawai dalaman tayar terputus.
Dalam jangka masa panjang, tayar boleh dimasuki air dan kotoran, sekali gus menghakis struktur gentian dawai tayar. Ini menyebabkan tayar cepat hilang tekanan dan angin, serta boleh meletup jika memandu laju atau memandu dalam tempoh lama.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Tayar Mesti Kena Pasang Penutup Tiub?
4. BATU KECIL TERSELIT CELAHAN TAYAR
Alur bunga tayar direka untuk menyisihkan air dan menguatkan cengkaman tayar atas jalan. Kadangkala batu jalan kecil boleh melekat dalam alur tersebut. Jika dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menjejaskan tayar dan membawa kepada hakisan gentian dawai dalam tayar.
Jadi, sila jangan lupa buat pemeriksaan tayar dan ambil masa untuk keluarkan batu-batu kecil dan objek tajam yang melekat di celahan bunga tayar.
SUMBER: Suzuki.co.id
Leave a Reply