DIN Teksi adalah kartun karya kartunis Zainal Osman atau lebih dikenali dengan nama pena, Nan. Selain Din Teksi, Nan juga popular dengan siri kartun pendek, Barbers Corner yang kedua-duanya disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Nan juga menghasilkan siri kartun panjang seperti Ayop Anak Tulakang yang disiarkan dalam majalah Gila-Gila dan Tuan Kechik (Batu Api).
Namun, apa yang menarik hati kami ialah model teksi yang dipandu Din Teksi. Sebagai makluman, teksi kuning ialah warna teksi yang popular di Kuala Lumpur (juga seluruh dunia) sekitar 1970 hingga 1980-an sebelum bertukar kepada merah.
BACA >>> #RetroAuto: 'Belalang Tempur' - Legenda Motosikal Adiwira Sepanjang Zaman
Bagi peminat kereta, agak mudah mengecam jenama pengeluar kereta Din Teksi berdasarkan lambang gril kereta. Walaupun dilukis seperti objek manusia sedang berlari (sepatutnya singa), tetapi ia mudah dicam sebagai Peugeot kerana sememangnya tiada model kereta lain yang menampilkan lambang pada gril kereta seperti dalam kartun tersebut.
Tetapi Peugeot apa? Anda mungkin sukar menekanya melainkan anda sendiri peminat Peugeot.
TENTANG PEUGEOT 404
Peugeot 404 ialah kereta famili besar atau saiz pertengahan. Hari ini, 404 termasuk dalam kategori Segmen-D seperti Proton Perdana, Honda Accord dan Toyota Camry. 404 dipasarkan sepanjang tahun pengeluaran 1960 hingga 1975 dan Malaysia termasuk antara negara yang menjemput masuk model ini. Selain sedan, 404 turut ditawarkan dalam bentuk pikap dan station wagon, termasuk versi konvertibel dan coupe.
404 dikuasakan enjin petrol 1.6L daripada jenis karburetor Solex atau suntikan bahan api Kugelfischer, serta enjin diesel 1.9L sebagai opsyen. Jenis transmisi ialah manual 4-kelajuan dan automatik 3-kelajuan ZF. Sebenarnya, 404 memang popular sebagai kereta teksi di seluruh dunia atas faktor nilai dan ketahanannya. Menurut Peugeot, lebih 2.8 juta unit 404 sudah dihasilkan seluruh dunia sehingga model itu ditamatkan pengeluaran.
BACA >>> Senarai 10 Negara Pemandu Teksi Paling Teruk Di Dunia
TEKSI 404 DI KUALA LUMPUR
Daripada carian Internet, tidak banyak maklumat bergambar yang kami peroleh tentang teksi 404 di Kuala Lumpur sekitar 1970 dan 1980-an. Namun, ada satu gambar yang menunjukkan rupa belakang 404 dan dapat disahkan menerusi perbandingan dengan model sebenar.
Lampu tegak tirus dan rel besi krom sepanjang bampar serta kemasan nama PEUGEOT berkrom pada but ialah ciri khas 404 yang mudah dikenali. Imej 404 dikuatkan lagi dengan lampu reflektor bulat kecil warna oren (atau merah) pada tepi lampu belakang. Mengujakan bukan dapat melihat kereta-kereta retro yang pernah berada atas jalan negara ini?
Anda mungkin juga ada menyimpan gambar-gambar kereta lama sekitar era 1950 hingga 1990-an. Apa kata kongsi saja dengan kami sebagai tatapan buat peminat automotif Malaysia! Kata orang, kenangan mesti dikongsi dan diabadikan kan? 😘
BACA >>> Inilah Sebab Kenapa Abang Teksi Ini Berhijrah Kepada GrabCar...
SUMBER: HilangDitelanZaman
Leave a Reply