TOYOTA RAV4 generasi kelima baru saja setahun diperkenalkan dengan menumpukan pasaran Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran jualan berbanding Honda CR-V yang global.
Namun pada Pameran Motor Tokyo (TMS) 2019 baru-baru ini, media tempatan diberikan peluang memandu uji model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu. Adakah itu menunjukkan RAV4 akan memasuki pasaran Jepun dan Asia?
Pengenalan RAV4 di AS ditawarkan dalam pelbagai varian. Terbaharu di Pameran Auto Los Angeles (LAAS) 2019, Toyota memperkenalkan RAV4 Prime, iaitu varian premium paling berkuasa, pantas dan cekap bahan api. Anggaran kuasa dihasilkan model ini ialah 302hp dan dilengkapkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD), suspensi talaan sport dan gaya eksklusif.
BACA >>> Toyota RAV4 (2019) Bakal Perkenal Enjin Petrol dan Hibrid
Dari segi pecutan, RAV4 Prime hanya memerlukan 5.8 saat untuk mencapai kelajuan 0-100kmj, sekali gus menempatkan SUV itu dalam liga SUV premium berprestasi tinggi. Sebagai perbandingan, RAV4 (2006-2012) dengan enjin 3.5L V6 menghasilkan kuasa 269hp dengan pecutan 0-100kmj sepantas 6.3 saat. Ini jelas menunjukkan RAV4 Prime lebih pantas!
Prestasi luar biasa RAV4 Prime diperoleh daripada trenkuasa hibrid plug-in (PHEV) yang menggabungkan enjin 2.5L dan motor elektrik, yang juga model PHEV pertama dalam sejarah SUV itu. Teknologi PHEV digunakan juga membolehkan SUV ini dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh kira-kira 63km (anggaran) dengan sekali isian cas penuh.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Beza Kereta Hibrid, Hibrid Plug-In (PHV) dan Kereta Elektrik (EV)?
RAV4 Prime berkongsi enjin 2.5L petrol daripada RAV4 Hybrid dengan talaan berbeza. Namun, kuasa enjin kedua-dua model itu kekal sama, iaitu 176hp. Cuma output total meningkat kepada 302hp untuk edisi Prime selepas bergabung kuasa dengan motor elektrik.
Tambahan 83hp disumbangkan generator motor lebih berkuasa, bateri lithium-ion kapasiti tinggi baharu dan penukar buster (booster converter). Selain enjin, RAV4 Prime turut menggunakan sistem AWD elektrik on-demand daripada RAV4 Hybrid.
Kedua-dua model menggunakan motor elektrik berasingan di bahagian belakang untuk membekalkan kuasa kepada roda belakang apabila diperlukan, terutama pada permulaan pecutan dan bahagian roda kurang cengkaman.
BACA >>> 12 Fakta Pantas: Toyota Raize yang Bakal Jadi SUV Baharu Perodua?
Leave a Reply