ZAMAN sekarang, kereta manual bukan lagi jadi pilihan ramai pemandu. Kereta automatik dianggap lebih mudah digunakan, terutama ketika memandu dalam bandar. Namun, itu bukan bermakna anda perlu ambil mudah dengan hal penyenggaraan kereta automatik.
Malah, kereta automatik perlu lebih kerap ditukar minyak gear auto (ATF) berbanding kereta manual. Ini kerana binaan transmisi automatik lebih sofistikated dan rumit serta mempunyai banyak komponen bergerak.
Dalam kes tertentu, pernahkah anda mengalami situasi kereta automatik anda terasa kasar ketika memandu setiap kali selepas berjalan jauh. Kenapa ini berlaku?
APAKAH PUNCA?
Ada beberapa punca kereta automatik anda jadi kasar. Salah satu punca itu adalah tidak menukar (terlupa atau sengaja?) minyak ATF. Mungkin ada yang menganggap ini perkara remeh dan langsung tidak peduli yang minyak ATF sebenarnya perlu ditukar apabila tiba masanya. Malah, perlu kerap ditukar berbanding kereta manual.
Ingat, minyak gear adalah nyawa kepada kotak gear kenderaan anda.
Minyak gear berperanan menghalang komponen logam dalam kotak gear bergeser selain bertindak sebagai bahan penyejuk untuk membantu mendinginkan bahagian lain dalam sistem transmisi. Minyak gear yang sudah lama tidak diganti mengandungi endapan yang berisiko menyebabkan pelinciran komponen kotak gear berkurangan hingga enjin berbunyi kasar, terutama selepas memandu jauh.
BACA >>> Lakukan 5 Tabiat Ini Jika Mahu Gear Automatik Anda Rosak
CARA MENGATASI?
Sebelum melakukan perjalanan jauh, bawalah kereta anda ke bengkel untuk diperiksa. Anda boleh rujuk buku manual mengenai tempoh penukaran minyak ATF. Biasanya minyak ATF disarankan ditukar setiap 20,000km-30,000km mengikut jenis model kenderaan. Ataupun sekali untuk setiap 2-3 kali menukar minyak enjin.
Namun jika kereta anda berusia lebih lima tahun, anda disarankan menukar minyak ATF setiap 20,000km bagi memastikan kereta automatik anda berfungsi lancar.
Ada lagi faktor yang kerap pemandu kereta automatik terlupa, iaitu memastikan minyak ATF disenggara mengikut jadual ditetapkan, termasuk menukar penapis ATF (ATF filter), disarankan dua tahun sekali.
Ini kerana minyak ATF tidak dapat mengalir sempurna ke sistem transmisi jika penapis tersumbat. Servis flush dan menukar penapis ATF mampu membantu menyelesaikan masalah transmisi.
BACA >>> Kemalangan Subaru WRX Ini Buatkan Enjin, Kotak Gear dan Pemandu Tercampak
SUMBER: Suzuki.co.id
Leave a Reply