MITSUBISHI Motors Corporation (MMC) melancarkan Xpander Cross (2020) baharu di Indonesia pada 12 November lalu sebagai varian baharu kepada model Xpander yang popular di negara jiran itu. Mitsubishi menggelarkan model baharu ini sebagai sebagai crossover MPV.
Xpander Cross (2020) tidak hanya tampil dengan kemasan salut plastik (body cladding) penuh, tetapi turut didatangkan dengan beberapa perubahan lain seperti jarak kelegaan tanah lebih tinggi berbanding Xpander biasa. Ini memudahkan crossover (MPV?) ini meredah pelbagai jenis permukaan rupa bumi dengan lebih meyakinkan.
BACA >>> 16 Fakta Pantas: Mitsubishi Xpander (Versi Indonesia) + 61 Foto Dalaman, Luaran
Mitsubishi agresif dalam memasarkan Xpander (foto atas) kerana model itu baru saja diperkenalkan di Indonesia pada lewat 2017. Malah, masih banyak negara belum menerima model MPV tersebut. Walaupun cuma muncul di beberapa negara tertentu, Xpander berjaya mencatatkan jualan baik dan tersenarai antara model Mitsubishi keempat paling laris untuk fiskal 2018.
Selain mendapat sambutan hangat, Xpander turut diiktiraf industri apabila terpilih sebagai Kereta Terbaik Tahuan, MPV Terbaik Antara Terbaik dan MPV Kecil Terbaik di Indonesia pada Mac 2018.
Jadi, dengan pelancaran Xpander Cross, Mitsubishi akan menambah lagi kapasiti pengeluaran sebagai persediaan untuk eksport ke luar negara. Buat masa sekarang, Xpander dikeluarkan di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha di Cikarang, Indonesia.
13 FAKTA PANTAS MITSUBISHI XPANDER CROSS
- Rupa depan berbeza dengan Xpander biasa. Tampil dengan gril signatur Dynamic Shield baharu dengan rekabentuk geometrik. Plat skid bawah bampar menyerlahkan imej SUV.
- Lampu utama dan lampu posisi jenis LED untuk gaya lebih mewah. Lampu kabus besar disekalikan pada bampar yang juga dari jenis LED.
- Ukuran baharu 50mm lebih lebar daripada Xpander biasa. Saiz baharu itu disumbangkan set salutan (cladding) plastik pada gerbang roda, skirt sisi dan tayar profil besar dengan rim 17 inci. Juga dilengkapi rel bumbung untuk tambahan barangan.
- Bahagian belakang dilengkapi panel kemasan hitam dan plat skid, sesuai dengan gaya lasak dan kembara.
- Dua warna baharu: Graphite Gray Metallic (kelabu) dan Sunrise Orange Metallic (jingga).
- Ruang kabin menggunaka skema warna hitam-coklat dengan kemasan perak.
- Jarak kelegaan tanah terbaik dalam kelas, iaitu 225mm, lebih tinggi 20mm daripada Xpander biasa. Sesuai untuk meredah banjir kilat dan berikan pandangan depan lebih baik buat pemandu.
- Masih mengekalkan enjin 1.5L 4A91 dengan pilihan transmisi automatik 4-kelajuan (AT) atau manual 5-kelajuan (MT). Enjin ditambah baik dari segi kesenyapan dan penjimatan minyak.
- Kesenyapan kabin turut ditambah baik dengan penebat bunyi baharu dan bahan anti-gegaran.
- Stereng dengan fungsi boleh laras miring dan teleskopik, juga ada ciri kawalan jelajah.
- Lampu utama automatik dan boleh diprogram untuk Welcome and Coming Home.
- Kluster instrumen warna dengan kontras tinggi.
- Penyaman udara terbaik dalam kelas dengan penyejukan berkesan.
Xpander Cross (2020) mula dijual di Indonesia pada 13 November, iaitu sehari selepas pelancaran. Menurut Mitsubishi, model ini turut akan mula dieksport ke pasaran Asean.
Ada tiga varian dan harga berbeza boleh dipilih, iaitu:
- Premium AT - Rp286,700,000 (RM84,350)
- AT - Rp277,700,000 (RM82,040)
- MT - Rp267,700,00 (RM79,090)
Mungkinkah inilah sebab kenapa Xpander belum ditawarkan di negara kita? Harus diakui, Xpander Cross (2020) nampak lebih bersedia bersaing dengan pasaran Malaysia seperti Perodua Aruz. Asalkan pakej yang ditawarkan benar-benar berbaloi!
BACA >>> 5 Fakta Pantas: Nissan Livina (2019) Lancar di Indonesia, ke Malaysia Tahun Ini (Mungkin)
Leave a Reply