KONGLOMERAT Al-Haj Group dianugerahkan status Greenfield daripada Kementerian Industri dan Pengeluaran Pakistan yang membolehkan kenderaan Proton dipasangkan dan dihasilkan di negara itu.
APAKAH GREENFIELD?
Status Greenfield ditakrifkan sebagai penubuhan fasiliti pembuatan dan pemasangan automotif baharu dan bebas untuk mana-mana pelabur yang mahu mengeluarkan kenderaan yang tiada dalam pasaran Pakistan.
BACA >>> Proton Buka Kilang di Pakistan, Raih Dana Bank China RM1.88b, Sasar Nombor 3 di Asean
Apabila mendapat status tersebut, Kerajaan Pakistan akan memberikan insentif seperti:
- Pengecualian cukai untuk membina fasiliti pembuatan dan pemasangan buat kali pertama. Ini termasuk pengecualian 50 peratus duti import untuk 100 unit CBU varian sama bagi menguji pasaran selepas projek pecah tanah bermula.
- Kadar konsesional duti kastam, atau 10 peratus untuk komponen bukan tempatan, dan 25 peratus (tempatan) selama lima tahun untuk pembuatan kenderaan.
- Pengecualian duti kastam untuk semua komponen import (tempatan dan bukan tempatan) bagi pembuatan trak, bas dan kepala treler selama tiga tahun.
- Polisi sedia ada untuk industri motosikal yang diluluskan Kerajaan diteruskan.
PROTON DI PAKISTAN
Proton pada Ogos tahun lalu memeterai perjanjian dengan Al-Haj Group untuk membina kilang pembuatan di Karachi. Kemudian pada April tahun ini, berlangsung pula majlis Perjanjian Bantuan Teknikal dan Pelesesan untuk Projek Pemasangan Proton, antara Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO), Dr Li Chunrong dan Pengarah Urusan Al-Haj Group, Bilal Khan Afridi.
Perjanjian tersebut disusuli pengumuman Proton Holdings dan Al-Haj Automotive Private Limited untuk membangunkan fasiliti pembuatan kenderaan Proton di Karachi, Pakistan. Satu upacara simbolik pecah tanah dilakukan pada 22 Mac 2019 di Islamabad yang dilakukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.
BACA >>> Pakistan Lancar Kempen Katakan Tidak untuk Mat Rempit Wheelie!
Berdasarkan perjanjian, Al-Haj akan menjadi pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan. Pengeluar tempatan itu juga akan membina kilang pemasangan tempatan (CKD) dengan pelaburan bernilai AS$30 juta (RM124 juta), dan dijangka beroperasi menjelang Jun 2020 serta memiliki kapasiti pengeluaran 25,000 unit setahun.
Kilang pembuatan itu juga membolehkan Proton menambah baik akses pasaran automotif di Pakistan dengan menyediakan 2,000 peluang kerja langsung dan 20,000 secara tidak langsung menerusi vendor tempatan.
BACA >>> Proton Eksport 225 Unit Saga, Exora dan Preve ke Mesir
Sebagai permulaan, Proton dijangka memasangkan dan melancarkan Saga dan Exora berdasarkan beberapa foto bocor dua model itu sedang dipandu uji. Selain Proton, Al-Haj turut memasarkan jenama FAW dari China.
SUMBER: PakWheels.com
Leave a Reply