ISUZU bakal memperkenalkan D-Max dengan enjin 1.9L Ddi Blue Power dengan teknologi lebih cekap yang menjanjikan kuasa enjin lebih baik, rendah kadar emisi, dan penjimatan bahan api lebih tinggi,.
Enjin 1.9L baharu ini mewarisi DNA enjin Isuzu terdahulu yang terkenal dengan aspek reliabiliti dan jangka hayat panjang. Versi enjin kali ini direka untuk menjadi satu penanda aras baharu yang bukan hanya ketahanan tinggi, tetapi juga menawarkan tahap kuasa dan kecekapan tinggi.
Pengurus Besar Bahagian Rekabentuk Enjin di Pusat Teknikal Isuzu di Asia, Isamu Tateyama berkata, enjin baharu Isuzu ini bakal mengubah dan membentuk pandangan serta pendekatan baharu untuk masa depan Isuzu di persada dunia.
Antara keistimewaan enjin 1.9L DDi Blue Power adalah lima penambahbaikan operasi untuk meningkatkan aspek kecekapan. Pada masa sama, Isuzu berjaya meminimumkan 5 kekurangan yang biasa dialami enjin diesel. Kekurangan dimaksudkan itu bukanlah negatif, tetapi lebih kepada mengoptimumkan aspek prestasi, kecekapan dan kos penyenggaraan.
DITAMBAH BAIK
- Lebih kuasa
- Lebih tork
- Lebih tahan
- Lebih cekap bahan api
- Lebih mesra alam
DIKURANGKAN
- Kurang C02
- Kurang berat
- Kurang geseran
- Kurang bising
- Kurang kos penyelenggaraan
Prestasi enjin ditingkatkan menerusi rekabentuk kebuk pembakaran baharu, pengecas turbo VGS berkecekapan tinggi, geseran sesama komponen enjin lebih rendah dan suntikan bahan api lebih tepat daripada sistem commonrail tekanan tinggi.
Hasilnya, Isuzu dapat meningkatkan 10 peratus kuasa menerusi enjin baharu ini yang menghasilkan kuasa 148hp @ 3,600rpm, manakala tork ditingkatkan 9 peratus, iaitu 350Nm @ 1,800rpm - 2,600rpm berbanding trenkuasa terdahulu.
Unit enjin RZ4E baharu ini juga mengurangkan 37 peratus isu kehilangan tenaga mekanikal menerusi pengurangan geseran komponen dalaman. Dilengkapi sistem Kitaran Semula Gas Ekzos (EGR) dan penapis minyak eko, enjin kali ini mampu memberikan penambahbaikan kecekapan bahan api hingga 19 peratus berdasarkan ujian dilakukan di Thailand. Malah, pembebasan C02 dan N0x juga lebih rendah.
KURANG GESERAN, TAHAN LAMA, ENJIN LEBIH BERSIH
Pengurangan geseran dalaman dapat memastikan komponen tekanan tinggi lebih tahan lama injektor, con-rod, pelaras injap, blok silinder dan head yang setiap satu direka semula dan diperkukuh bagi memastikan prestasi dan daya tahan bertambah, sekali gus merendahkan kos selenggara.
Sistem suntikan commonrail baharu turut dikemas kini. Rekabentuk baharu ini menyediakan pengatoman bahan api lebih baik yang membolehkan jumlah suntikan lebih terperinci. Hasilnya, pembakaran jadi lebih bersih, menjimatkan minyak, prestasi enjin menjadi lebih baik, pembebasan ekzos lebih rendah dan juga pengurangan gegaran serta bunyi bising.
Penambahbaikan penting lain ialah pengurangan berat enjin yang 56kg lebih ringan berbanding unit 4JK1 2.5-L sebelum ini. Selain menguranngkan berat jentera, ia turut menambah kapasiti beban muatan, manakala pengendalian kini lebih mantap.
Enjin 1.9L dipadankan transmisi 6-kelajuan baharu, sama ada manual dan automatik yang dibangunkan khas untuk D-Max baharu. Transmisi baharu ini menawarkan nisbah gear lebih rapat untuk fiil pemanduan lebih responsif, terutama ketika memandu dalan julat halaju pertengahan.
Ini membolehkan pemandu memotong kenderaan depan dengan lebih pantas. Dua nisbah gear paling tinggi pula memberikan fiil lonjakan yang lebih selesa.
D-Max 1.9L Ddi Blue Power akan dilancarkan di Malaysia pada 18 September ini. Maklumat lanjut boleh layari laman Facebook rasmi ISUZU.DMax.Malaysia atau www.isuzu.net.my/pickup/.
Leave a Reply