NISSAN Juke ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) unik yang berjaya membuka mata banyak pengeluar tentang nilai pasaran model itu. Bayangkanlah dengan bentuk di luar kelaziman, tetapi mampu menambat ramai hati pengguna. Juke ialah keajaiban kedua buat Nissan selepas Qashqai yang begitu popular di Eropah.
Berapakah jualan Juke? Sudah 1 juta unit sejak dilancarkan pada 2010. Jumlah itu cukup besar untuk SUV kompak tanpa sebarang legasi diwarisi. Selepas Juke, Nissan mengeluarkan satu lagi model SUV kompak, diberikan nama Kicks, tetapi Juke tidak ditamatkan pengeluaran.
Rupa-rupanya Nissan ada satu lagi rancangan. Juke bakal hadir dengan model pengganti dan akan didedahkan secara rasmi bulan depan. Juke kini berada dalam fasa akhir ujian dan sudah dibawa ke trek ujian Millbrook di Britain.
BACA >>> #GMS2018: Nissan Juke (2018) Versi Facelift Kini Bergaya Crossover, Ekstra Personaliti
GRIL V-MOTION, BUMBUNG LANDAI
Sebelum pendedahan rasmi, Nissan mendedahkan serba-sedikit mengenai SUV unik ini. Melihat foto rasmi dikongsikan, jelas Juke masih kekal dalam segmen SUV kompak dan paling penting, masih kekal dengan bentuk bentuk bumbung landai ke belakang.
Dari depan, Juke masih setia dengan identiti dua lampu iaitu tirus di atas dan besar di bawah. Awalnya, identiti seperti ini nampak janggal sebelum ia dihangatkan model rakan sekutu, Mitsubishi Xpander.
Jika diamati dari dekat, rekabentuk depan Juke mirip Livina baharu seperti gril V-Motion dan lampu tirus. Cuma apa yang membezakan Juke dan Livina ialah lampu bulat pada bampar, manakala lampu belakang berbentuk V ala Nissan Qashqai baharu.
TEKNOLOGI PROPILOT
Di sebalik seragam penyamaran, Nissan berkongsi maklumat rasmi Juke seperti rim 19 inci, penggunaan teknologi ProPILOT dan saiz yang lebih besar untuk keselesaan pemandu dan penumpang. Jaminan Nissan, walaupun Juke semakin 'matang', SUV ini tetap hadir dengan karakter keseronokan memandu.
Kepada mereka yang tertanya sama ada Juke bakal dipasarkan di sini atau tidak, sukar untuk memberi jawapan. Namun wakil pengedar rasmi Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sudah mengesahkan Nissan Kicks akan dijual di sini.
Jika ada yang pernah terserempak dengan Juke generasi pertama atas jalan, itu sebenarnya unit yang dibawa masuk pengimport bebas. Harga unit rekon tersebut mencecah lebih RM100,000.
BACA >>> 5 Fakta Pantas: Nissan Livina (2019) Lancar di Indonesia, ke Malaysia Tahun Ini (Mungkin)
Leave a Reply