BERBEZA dengan pilihan pembeli kereta di Eropah yang pelbagai dan 'meriah' daripada model supermini, kompak hingga sedan saiz pertengahan, sebaliknya penduduk Amerika Syarikat (AS) lebih sukakan model segmen kompak dan saiz-pertengahan. Buktinya dapat dilihat pada 10 kereta paling laris di Amerika Syarikat 2015 seperti disenaraikan di bawah.
Ironinya, enam daripada 10 model terlaris ialah jenama Jepun dan dua lagi daripada Korea. Cuma dua model AS memasuki carta terlaris, yakni Ford dan Chevrolet, manakala jenama Eropah langsung gagal menawan hati rakyat negara itu. Ini mungkin disebabkan pengeluar Eropah yang banyak bertumpu kepada penghasilan model rekabentuk kompak dengan kapasiti enjin kecil. Lagipun pembeli AS seperti kita sedia maklum sangat sukakan kereta bersaiz besar, terutama bahagian bonet seperti mana kereta-kereta otot (muscle car).
Industri automobil AS agak suram tahun lalu, tetapi diramalkan kembali pulih tahun ini berikutan kejatuhan harga minyak global. Senarai di bawah ialah kereta paling laris di AS, tidak termasuk model crossovers, trak pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
1. TOYOTA CAMRY (429,335 TERJUAL)
Datang bersama enjin 4-silinder 2.5L berkuasa 178hp, Toyota Camry menawarkan transmisi automatik 6-kelajuan. Rekaan hadapan kereta menampilkan gril besar dan lampu tirus, manakala ciri dalaman diberikan gaya kontemporari dengan kemasan material berkualiti. Audio pengaktifan-suara ialah sebahagian sistem infotainment Entune dengan paparan sentuh 6.2-inci.
Camry juga memiliki kamera pandang belakang dan sistem amaran untuk tukaran lorong, potensi perlanggaran dan lalulintas lintas-belakang. Dengan harga bermula AS$22,970 (RM89,976), pengguna Camry amat sukakan kawalan infotainment yang interaktif, pengendalian seimbang, kesenyapan kabin dan ruang tempat duduk belakang luas.
2. TOYOTA COROLLA (363,332 TERJUAL)
Toyota Corolla menawarkan enjin 4-silinder 1.8L dengan janaan kuasa 132hp dan paduan transmisi manual 6-kelajuan sebagai ciri standard. Profil hadapan menampilkan lampu utama sedikit lebar berbanding Camry, manakala ruang dalaman menghidangkan kemasan papan pemuka bermutu tinggi daripada material sentuh-lembut berserta kerusi hadapan suportif.
Sebalinya, sistem infotainment Entune dengan paparan sentuh 6.1-inci dan kamera pandang belakang ialah opsyen. Antara ciri Corolla paling disukai ialah sistem infotainment mudah-guna, ruang letak kaki (legroom) luas untuk penumpang belakang dan penggunaan bahan api menjimatkan. Harga Corolla bermula serendah AS$16,950 (RM66,395).
3. HONDA ACCORD (355,557 TERJUAL)
Honda membekalkan model asas Accord dengan enjin 4-silinder 2.4L berkuasa 185hp dalam transmisi manual 6-kelajuan. Gril hadapan direka tipis dengan lampu utama bersegi, manakala gaya dalaman diadun ringkas dan menarik bersama upholsteri fabrik berkualiti tinggi.
Sistem infotainment memuatkan paparan 8-inci dengan HondaLink Pandora dan fungsi permesejan bebas tangan. Sistem amaran tukar lorong dan perlanggaran hadapan juga disediakan bersama kamera bantuan titik-buta, LaneWatch di bahagian penumpang hadapan.
Pemilik sukakan pengendalian tangkas, penggunaan bahan api menjimatkan dan ruang kerusi belakang yang luas dengan harga munasabah bermula AS$22,205 (RM86,980).
4. HONDA CIVIC (335,384 TERJUAL)
Honda Civic menampilkan enjin 4-silinder 1.8L yang menghasilkan kuasa 143hp dengan transmisi manual 5-kelajuan. Profil kompak, rekaan hadapan sporty dan belakang kontot nyata menyerlahkan rekabentuk Civic, bersama kemasan kabin daripada material sentuh-lembut dan selesa berserta kerusi hadapan suportif.
Sambungan Bluetooth dan kamera pandang belakang menjadi ciri standard, manakala sistem Display Audio dan LaneWatch ialah pilihan. Civic disukai ramai kerana kecekapan bahan api, kelancaran transmisi dan persembahan material dalaman berkualiti tinggi. Harga bermula AS$18,290 (RM71,644).
5. NISSAN ALTIMA (333,398 TERJUAL)
Nissan Altima membariskan enjin 4-silinder 2.5L berkuasa 182hp dengan transmisi CVT. Rekabentuk luaran cukup sinonim dengan model Nissan lain, iaitu gril krom terbuka luas dan rekaan lampu utama bergaya, manakala kemasan kabin bergaya moden bersama adunan permukaan lembut-sentuh. Kerusi hadapan Zero Gravity ilham-NASA meminimumkan keletihan ketika memandu jauh.
Anda boleh beli Altima dengan opsyen sistem infotainment NissanConnect bersama paparan sentuh 5-inci dan integrasi telefon pintar, atau paparan sentuh 7-inci dan navigasi. Opsyen lain ialah pantauan titik-buta, amaran tukaran lorong, pengesanan lalulintas lintas-belakang dan kamera pandang belakang.
Antara kegemaran pemandu mengenai model ini ialah tahap penjimatan minyak yang hebat, pengendalian sporty, keselesaan kerusi hadapan dan rekaan menarik ruang dalaman. Harga Altima bermula pada AS$22,300 (RM87,352).
6. FORD FUSION (300,170 TERJUAL)
Di bawah bonet model asas Ford Fusion ialah enjin 4-silinder 2.5L dengan kuasa 175hp dan transmisi 6-kelajuan. Luaran menampilkan lampu utama tipis yang bersambungkan garis sisi badan dari bucu lampu belakang. Kerusi boleh diupgred kepada kemasan kulit atau fabrik kitar semula.
Ruang dalaman standard Fusion memuatkan kawalan suara SYNC MyFord yang datang dengan bacaan teks audibel dan Bluetooth serta kamera pandang belakang, manakala ciri SYNC MyFord Touch yang memuatkan skrin sentuh, bantuan parkir selari dan sensor parkir belakang ialah opsyen tambahan.
Fusion disukai kerana rekaan kabin kontemporari dengan kemasan material bermutu, keluasan ruang but dan kabin penumpang, enjiin berkuasa dan pengendalian sporty. Harga bermula AS$22,500 (RM88,135).
7. HYUNDAI ELANTRA (241,706 TERJUAL)
Hyundai Elantra standard tampil bersama enjin 4-silinder 1.8L berkuasa 145hp dan transmisi manual 6-kelajuan. Lampu utama direka lebar dan tirus mengikut pinggir atas bonet, manakala ekor lampu belakang bersambung dengan garis pinggir tepi badan kereta.
Ciri kabin menggabungkan permukaan keras dan lembut-sentuh, serta kerusi daripada material kulit dengan sistem penghabaan. Radio satelit dan enam pembesar suara ialah standard, sebaliknya sistem audio sentuh 4.3 inci, sistem infotainment sentuh 7-inci, Bluetooth dan kamera pandang belakang ialah opsyen.
Ciri terbaik Elantra ialah desain dalaman menarik, penjimatan bahan api dan ruang kargo luas. Harga bermula AS$17,250 (RM67,570).
8. CHEVROLET CRUZE (226,602 TERJUAL)
Enjin standard model asas Chevrolet Cruze ialah 4-silinder 1.8L yang menjana kuasa 138hp dengan transmisi manual 6-kelajuan. Lampu utama dan belakang direka bersegi, tetapi masih bergaya. Bukaan iang udara diposisikan atas dan bawah pada gril hadapan.
Desain kabin cukup menarik dan juga senyap, manakala konsol tengah dan papan pemuka menggunakan material plastik keras yang bertekstur. Ciri kawalan bebas tangan siap bina, WiFi dan OnStar ialah standard, dan beberapa varian menampilkan pantauan titik-buta, amaran lalulintas lintas belakang, kamera pandang belakang, Siri Eyes Free dengan kawalan suara bagi iPhones dan sistem infotainment kawalan suara MyLink dengan paparan sentuh 7-inci.
Menurut pemilik, Cruze ialah sebuah sedan yang menyeronokkan dengan keseimbangan pengendalian, penggunaan bahan api ekonomi dan ruang but luas. Harga Cruze bermula AS$16,170 (RM63,340).
9. HYUNDAI SONATA (213,303 TERJUAL)
Model standard dinadikan enjin 4-silinder 2.4L berkuasa 185hp dan transmisi automatik 6-kelajuan. Desain lampu utama tipis dan melebar yang memanjang di sepanjang pinggir tepi bonet, manakala gril berkilat dilengkapi bukaan liang yang ternganga luas.
Rekabentuk elegan ruang dalaman dikemaskan dengan upholsteri fabrik. Ruang penumpang belakang memang luas, manakala penumpang dihiburkan sistem infotainment dengan paparan sentuh 5 dan 8-inci berserta sistem telematik berasaskan langganan, Blue Link yang menyediakan bantuan kecemasan dan tempat-tempat menarik daripada carian Google menerusi sambungan telefon pintar.
Opsyen ciri keselamatan menawarkan pantauan titik-buta, amaran perlanggaran hadapan, amaran tukaran lorong, sensor parkir belakang dan kamera pandang belakang. Apa yang disukai pemilik Sonata ialah tahap kesenyapan kabin dan kualiti material yang bermutu tinggi. Harga Sonata bermula AS$21,150 (RM82,847).
10. NISSAN SENTRA (203,509 TERJUAL)
Model asas Nissan Sentra memuatkan enjin 4-silinder 1.8L dengan hamburan kuasa 130hp dan transmisi manual 6-kelajuan. Desain lampu utama dan belakang menyerlahkan identiti tipikal Nissan, iaitu bukaan gril luas berkrom . Gaya kabin tampil ringkas yang diadunkan material serba mewah bersama kerusi fabrik berkualiti.
Ciri dalaman dilengkapi sistem infotainment dengan paparan sentuh 5.8-inci, lapan pembesar suara Bose, navigasi dan kamera pandang belakang. Sentra menjadi kesukaan pemiliknya kerana ciri bahan api yang ekonomi dan pilihan CVT bersama praktikaliti keluasan kerusi dan but. Harga bermula AS$16,530 (RM64,750).
fahad says
malaysia agungkan kn honda..USA, Jepun, dan dunia pilih toyota