MASA dinanti-nanti akhirnya tiba apabila Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menjemput wakil media bagi sesi pandu uji Mitsubishi Outlander ke Johor Bahru.
Tim editorial Pandulaju turut diundang bagi merasai kehebatan dan pengalaman pemanduan model SUV ini.
Ya, sememangnya saya berasa tidak sabar mahu memandu uji model ini. Mana tidaknya, lihat saja rekaan luaran sudah mampu membuatkan anda geram.
Sebelum mengulas lebih lanjut mengenai pengalaman pemanduan, lebih baik saya nyatakan lima sebab kenapa anda perlu beli Mitsubishi Outlander.
1.) PROMOSI HARGA PENGENALAN
Bagi anda yang menempah sebelum 31 Mei 2016, MMM berikan harga pengenalan secara eksklusif iaitu RM166,720 (atas jalan tidak termasuk insurans). Ya, hanya untuk masa terhad sahaja.
2.) REKABENTUK YANG MANTAP
Melihat keseluruhan tubuh badan Outlander, ia boleh membuatkan anda tak tidur malam. Bukan saja didatangkan dengan rekaan yang menarik dan maskulin, bahagian hadapan turut mengaplikasikan konsep Dynamic Shield, yang juga pertama dibawa masuk MMM.
Tambahan apabila bergerak di jalan raya, sememangnya tampak bergaya dan segak. Begitu juga pada bahagian belakang.
Antara ciri menarik Outlander adalah bumbung panoramik, lampu hadapan LED bersama lampu siang dan sistem kemasukan tanpa kunci. Lebih tampak garang, ia dipadankan dengan rim aloi dua-ton bersaiz 18 inci.
3.) 7 BEG UDARA
Tahukah anda Mitsubishi Outlander memiliki tujuh beg udara. Memandangkan Nissan X-Trail adalah pesaing terdekat Outlander, Mitsubishi menempatkan tujuh beg udara untuk aspek keselamatan.
Untuk makluman, Outlander adalah satu-satunya model SUV yang mempunyai tujuh beg udara.
Masih tidak cukup? Jangan risau kerana Outlander turut memiliki Bantuan Mula Daki (HSA), Bantuan Brek (BA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Stabiliti Aktif (ASC) dan Agihan Brek Elektronik (EBD).
4.) SISTEM PINTAR 4WD
Outlander didatangkan dalam varian pacuan empat roda (4WD) yang dijana unit enjin 2.4L MIVEC. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 165hp pada 6,000rpm dan tork puncak 222Nm (4,100rpm).
Bagi memberikan pengalaman pemanduan berbeza, Outlander menawarkan sistem 4WD Outlander yang mempunyai tiga mod berbeza iatu ECO, Auto dan Lock.
Mod 4WD ECO menawarkan pemanduan yang santai dan menjimatkan penggunaan bahan api. Ia turut menyumbang kepada penjimatan bahan api. Menurut ujian MMM, Outlander mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 12.8km per liter.
5.) RUANG KABIN LUAS
Umum ketahui Outlander adalah model SUV dengan tujuh tempat duduk. Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Okazaki, Jepun itu memiliki ruang kabin yang luas. Jika mahukan ruang kabin lebih besar, turunkan saja tempat duduk di barisan ketiga.
Kalau setakat nak berehat atau tidur yang selesa, Outlander mampu melakukan dengan melipatkan secara rata kesemua kerusi belakang.
Cuma terasa agak panas sekiranya anda duduk di bahagian belakang memandangkan ia tidak memiliki corong penyaman udara di bahagian belakang. Apatah lagi jika anda duduk di kerusi pada barisan ketiga.
Mungkin MMM boleh mengambil kira faktor ini sekiranya Outlander menjadi model pemasangan (CKD) di Malaysia.
PENGALAMAN PEMANDUAN:
Sepanjang mengemudi Mitsubishi Outlander ke Johor Bahru, kami singgah sebentar di Port Dickson untuk makan tengah hari. Bergerak ke Port Dickson memerlukan Outlander merentasi pelbagai laluan berbeza termasuk kawasan kampung dan lebuh raya.
Ketika di laluan lebuh raya, ia memberikan prestasi yang mengagumkan, terutamanya memandu dalam keadaan santai. Cuma ia perlu bekerja keras ketika mahu memotong kenderaan atau memecut laju.
Apa yang saya ‘ghairah’ adalah ketika di kawasan kampung. Melalui laluan berselekoh di kawasan kampung nyata memberi peluang Outlander untuk beraksi dan menunjukkan taringnya yang sebenar.
Cuma kotak gear CVT pula terasa sedikit mengaum saat pedal minyak ditekan secara agresif ketika mahu memecut laju.
Walau bagaimanapun, sekiranya ada seseorang yang mementingkan paras rupa, ruang kabin luas, Mitsubishi Outlander adalah pilihan terbaik. Harus ingat, model ini bakal bersaing dengan Nissan X-Trail dan Honda CR-V. Mana satu harus dijadikan pilihan, tepuk dada tanya selera.
SPESIFIKASI:
Mitsubishi Outlander
ENJIN 2.4 MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve Timing Electronic Control)
TRANSMISI Automatik 6-kelajuan
KUASA MAX 165hp @ 6,000rpm
TORK MAX 222Nm @ 4,100rpm
HARGA RM166,720
Shah says
Adakah yang latest next edition akan keluar yang econ di belakang?
ABG GYL says
Kami ada dimaklumkan oleh Mitsubishi di mana latest version mungkin akan ada penghawa dingin belakang