PEN istimewa untuk jenama istimewa. Inilah dilakukan Graf von Faber-Castell apabila memperkenalkan set pen atau instrumen alat tulis sempena ulang tahun Bentley ke-100, 10 Julai ini. Ada dua set pen edisi istimewa diperkenalkan yang setiap satu dihadkan 100 unit sahaja.
Syarikat Graf von Faber-Castell memiliki sejarah panjang lebih 250 tahun dalam pembuatan alat tulis dan aksesori eksklusif. Ini tahun kedua syarikat dari Jerman itu bekerjasama dengan Bentley selepas mengeluarkan koleksi pertama pada 2018.
BACA >>> Pemilik Bentley Bentayga Guna Cap Jari untuk Simpan Barang
TRIBUT KEPADA W.O. BENTLEY
Set pen Mulsanne W.O. Edition by Mulliner ialah tribut khas kepada kereta terakhir sentuhan Walter Owen Bentley selaku pengasas jenama automotif British itu, manakala set pen Continental GT Number 9 Edition by Mulliner diilhamkan daripada sejarah Bentley dalam perlumbaan klasik dan jentera kemenangan nombor 9.
Menurut rancangan Bentley, setiap kereta yang dikeluarkan tahun ini akan dilengkapi pakej Centenary Specification, berupa sulaman khas pada kerusi, logo Centenary Gold dan perincian lain.
Kemasan emas pada Centenary Specification inilah yang dijadikan ilham koleksi pen istimewa buatan Graf von Faber-Castell sempena ulang tahun Bentley ke-100.
Tiga produk set Limited Edition Centenary terdiri daripada: pen jenis dakwat basah (fountain), roler dakwat basah (rollerball) dan mata bebola (ballpoint) yang mana semua berwarna hitam sebagai simbolik kepada kereta sport zaman dahulu.
BACA >>> Hyundai Group Lantik Pereka Lambo, Bentley Sebagai Ketua Pereka Baharu
Berdasarkan gambar, perincian dan rekaan dihasilkan jelas menyerlahkan prestij tersendiri ibarat sebuah Bentley versi pen.
Mereka yang berminat dengan set pen berkenaan boleh mendapatkannya di pusat jualan Graf von Faber-Castell serata dunia, pusat beli belah sama ada atas talian atau pengedar Bentley bermula 1 Julai ini. Jika terlepas, ada lagi koleksi instrumen alat tulis Graf von Faber-Castell for Bentley bakal dikeluarkan September nanti.
Berikut harga pen istimewa berkenaan:
- Fountain pen: £530 (RM2,781)
- Rollerball pen: £490 (RM2,571)
- Ballpoint pen: £450 (RM2,361)
Walaupun harga mencecah ribuan ringgit untuk sebatang pen, nilai tersebut sebenarnya berpadanan dengan jenama Bentley itu sendiri, termasuk status pemiliknya.
BACA >>> Bentley Bentayga Speed (2020) Kini SUV Terpantas Dunia
Leave a Reply