SIAPA yang tidak teringin mengubah suai atau memasang barang dan aksesori aftermarket selepas beli kereta baharu? Selain nampak cantik dipandang (mata sendiri 😅) dan menyerlahkan personaliti peribadi, ia juga memberikan satu perasaan 'feel good' kepada si tuan kereta.
Antara ubah suai paling banyak dilakukan pemilik kenderaan sebaik saja mendapat kunci, ialah menukar rim asal kepada rim sport mengikut saiz, paten dan jenama yang diminati. Tidak kurang juga pemilik yang terus saja mengubah saiz rim kepada lebih besar walaupun tayar masih baharu dan berbunga tebal, manakala rim pula masih berkilat.
Semua itu dilakukan supaya kereta mereka nampak lebih segak, kacak, seksi dan sporty (tambahlah lagi kalau ada). Paling ekstrem sudah tentu melibatkan ubah suai enjin, casis, ekzos, dan sistem suspensi. Rasa semacam sakit mati saja kalau kereta dibiarkan standard.
BACA >>> 11 Orang Ini Patut Beli Kereta Terpakai Saja! Jangan Nak 'Eksyen' Lebih Naa...
KURANGKAN HARGA RESALE VALUE?
Tetapi tahukah anda, semua ubah suai tersebut sebenarnya mengurangkan nilai jual semula (resale value, RV) kereta anda? Malah harga RV tersebut berkadar arus dengan seberapa banyak anda menukar komponen dan aksesori kereta anda. Semakin banyak yang diubah suai, maka semakin banyak pula berlaku susut nilai.
Kenapa jadi begitu? Bukankah ubah suai membuatkan kereta jadi semakin cantik dan berprestasi yang sepatutnya RV lebih tinggi?
Jawapannya mudah, tidak semua pembeli mempunyai minat dan cita rasa yang sama seperti anda. Anda mungkin minat rim sport Watanabe, tetapi tidak untuk bakal pembeli kereta anda. Begitu juga aksesori dan komponen lain. Sedar tidak sedar setiap pengubahsuaian tersebut akan mengecilkan potensi bakal pembeli kereta anda.
BACA >>> Ikut 10 Tip Beli Kereta Terpakai Ini untuk Elak Kena Tipu
Dalam artikel ini, kami akan berkongsi jenis aksesori dan barangan aftermarket, termasuk kemasan yang perlu anda elak untuk ditukar. Kecuali anda memang tidak pernah ada hasrat mahu menjual semula kereta itu:
Cat Warna Kustom: Menukar warna asal kereta dengan warna kustom (selain warna asal) memang menarik pandangan mata. Ia juga membuatkan kereta anda nampak unik sampaikan dari jauh pun semua orang boleh perasan. Tetapi, di pasaran kereta terpakai, jumlah pembeli yang meminati warna yang sama seperti anda tidak ramai.
Kit Badan: Sama kes seperti menukar warna kustom. Ramai pembeli menganggap tindakan pemilik menukar kit badan tulen sebagai menghilangkan nilai estetika dan originaliti kereta asal. Pembeli juga tidak suka kereta yang terlalu menarik perhatian umum. Setakat kahwinkan kit badan sama spesies mungkin boleh diterima lagi. Tetapi kalau sudah sampai peringkat kustom seperti roket hendak ke bulan, susahlah.
Modifikasi Enjin: Enjin kereta anda memang hebat sampaikan pecutan 0-100kmj mampu dibuat sepantas di bawah 5 saat. Tetapi kebanyakan bakal pembeli kereta anda ialah kalangan mereka yang memandu ulang-alik dari rumah ke tempat kerja sahaja. Bagi mereka, cukuplah sebuah kereta standard dengan spesifikasi kilang.
Lampu: Memasang lampu aftermarket, terutama dengan rekaan serba fancy sebenarnya satu idea yang teruk melainkan anda ada menyimpan lampu asal untuk dipasangkan semula jika mahu jual kereta nanti. Ramai orang tidak suka kereta mereka nampak fake.
Sistem Ekzos: Menukar sistem ekzos aftermarket memang membantu meningkatkan kuasa dan prestasi enjin selain memberikan deruman yang seronok didengar telinga. Tetap ingat, deruman itu cuma seronok untuk anda saja, tetapi tidak untuk bakal pembeli kereta anda. Faktanya, ramai pemilik kereta lebih sukakan kereta yang senyap dan tenang.
APAKAH ADA BARANG AFTERMARKET YANG BOLEH TAMBAHKAN HARGA RV?
Namun, bukan semua ubah suai tidak disukai bakal pembeli kerana ada sesetengahnya mampu menambah harga RV kereta anda. Misalnya seperti di bawah:
BACA >>> Menjawap Persoalan Ya atau Tidak Kos Senggara Kereta Terpakai Tinggi?
Filem Cermin Gelap (tinted): Berbanding kereta cermin asal yang kosong, pembeli kereta terpakai lebih cenderung memilih kereta yang ada cermin gelap, lebih-lebih lagi yang berjenama. Namun itu tidaklah terlalu banyak mempengaruhi nilai RV keseluruhan. Cuma potensi untuk kereta anda dibeli lebih tinggi.
Suspensi: Sistem suspensi aftermarket mampu menambah baik aspek pemanduan dan pengendalian kereta. Ramai pembeli bersetuju dengan hal ini. Walaupun komponen ini mungkin tidak meningkatkan harga RV kereta ada, tetapi ia tidak juga jadi penyebab kereta anda susut nilai.
Tetapi janganlah sampai kepada tahap koil absorber dipotong untuk lowered supaya kereta nampak rendah hingga perlu dipandu senget setiap kali melintas bonggol jalan dan menjejaskan keselesaan.
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah Caranya Beli Kereta Terpakai yang Berbaloi... (13 Tip)
Bar Stabiliser: Ini lebih kepada kosmetik. Ada atau tiada sebenarnya tidak banyak mempengaruhi harga RV kereta anda. Ini kerana pembeli ada pilihan sama ada mahu kekalkan atau tanggalkan saja aksesori tambahan tersebut. Kalau ada nampak cantik, kalau tiada pun ok saja.
KESIMPULAN
Seperti disebut pada mukadimah, semakin banyak pengubahsuaian dibuat, maka semakin rendah harga RV kereta anda. Ataupun, anda mungkin dapat jual pada harga pasaran, tetapi mengharapkan kereta itu dijual ribuan ringgit lebih mahal (berdasarkan nilai aksesori yang sudah dilaburkan), ia akan jadi mimpi ngeri.
Faktanya, kereta yang diubah suai memiliki kelompok pembeli yang lebih terhad, dan anda sepatutnya fokus kepada ahli-ahli kelab kereta jenama sama dan grup kaki bikin.
Dalam hal RV, kata-kata keramat, 'Standard Itu Indah' memang ada kebenarannya. 😀
Leave a Reply