TERAJU utama PROTON sekali lagi bertukar kerusi. Kali ini bakal pengganti Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali yang masih lagi menjadi tanda tanya bakal dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat automobil nasional itu. Sudah pastinya harapan umum menggunung tinggi supaya Proton di bawah teraju beliau dapat berada pada kedudukan sewajarnya dalam industri automotif tempatan selain mencipta nama di pasaran global.
Namun, ketika PROTON kini berdepan krisis kepercayaan di kalangan pembeli, apakah yang perlu pengganti beliau lakukan untuk membina semula jati diri PROTON? Cukupkah dengan sekadar suntikan modal berbilion ringgit? Bagaimana menyelesaikan masalah khidmat selepas jualan yang dikritik teruk pemilik PROTON? Masih mengulangi janji, polemik dan retorik lama?
Persoalannya, bagaimana hasil penyelesaiannya? Selesai atau tidak? Makin baik atau buruk? Sekarang, PanduLaju menyenaraikan beberapa penyelesaian 'kalau saya seorang CEO PROTON' dari sudut pandang orang-orang biasa. Penyelesaian ini mungkin nampak kurang serius dari segi angka dan data, tetapi sekurang-kurngnya mampu memberikan keputusan sebenar yang telus dan tulus.
1. SEDARI KELEMAHAN
Tanpa mengakui atau menyedari kelemahan diri, bagaimana kita mampu bangkit? Misalnya dalam peperangan, jika tahu kelemahan kita ialah tiada pasukan berkuda, bukankah seharusnya kita menumpukan kepada usaha menubuhkan pasukan berkuda?
Ketika pasukan lain sedar bahawa pasukan berkuda ialah asas kepada pasukan perang yang kuat, kenapa kita seorang sahaja yang masih berdegil mengatakan kita tidak perlukan pasukan berkuda? Sikap tidak sedar kelemahan menunjukkan keangkuhan diri yang tidak akan membawa kita ke mana-mana.
2. BELAJAR KEKUATAN LAWAN
Lawan kuat tidak semesti datang daripada kalangan mereka yang berstatus senior atau ternama. Dunia automotif sendiri menyaksikan puluhan nama ikon automobil sudah gulung tikar dan kini tinggal sejarah di muzium sejak beberapa dekad lalu akibat kedegilan mereka untuk berubah. Lebih teruk, sudahlah tidak sedar kelemahan diri, tetapi enggan pula belajar kekuatan lawan?
Persoalannya, siapakah lawan sebenar PROTON dalam pasaran tempatan? Anda mungkin sudah tahu jawapannya. Tetapi, apakah yang PROTON belajar daripada mereka? Jika ya, bagaimana pula hasil pembelajaran itu diadaptasikan untuk kemajuan diri?
3. SATU PENGURUS SATU KERETA PROTON
Kami tidak tahu apakah pengurus-pengurus atau orang besar PROTON memandu sendiri produk buatan mereka? Atau sekadar memandu uji ketika minggu pelancaran dan kemudian memuji mengatakan PROTON sudah menghasilkan produk bertaraf dunia.
Setiap pengurus WAJIB memandu sendiri kereta PROTON sebagai kereta rutin ke tempat kerja sekurang-kurangnya 5 tahun. Jika berdegil memandu kereta lain, anda dilarang melepasi pintu pagar pengawal. Tiada kompromi. Pandai-pandailah jalan kaki. Ketahuilah, setiap cacat cela yang anda hadapi ialah perkara sebenar yang turut dialami pemilik PROTON lain.
4. SATU PENGURUS SATU KERETA LAWAN
Selain pandu produk sendiri, setiap pengurus juga mesti pandu model kereta lawan utama mereka (jenama 'Adik'), termasuk lawan-lawan import lain. Pandu secara selang sehari selama 5 tahun.
Kenapa? Ini cara perbandingan sebenar yang telus. Bukan lagi cakap-cakap orang. Perhatikan selepas 3 atau 5 tahun, berapa kerap hendal pintu perlu ditukar? Berapa banyak hendal glove box patah? Tingkap kuasa masih berkuasa? Bagaimana pula butang audio, masih boleh on atau tidak? Berapa banyak pula bunyi aneh keluar dari celah-celah pintu dan papan pemuka?
5. HANTAR SENDIRI KERETA KE PUSAT SERVIS
Tiada lagi budak ofis atau kawan tolong hantarkan. Anda sendiri perlu turun ke pusat servis. Angkat telefon dan tetapkan janji temu. Ambil cuti dan hantar kereta pergi senggara. Rasai sendiri berapa lama kereta anda perlu diservis. Jangan lupa bertukar pusat servis, bukan hanya kekal di satu pusat servis sahaja. Lakukan juga kepada kereta lawan. Lihat bagaimana pusat servis mereka beroperasi?
Perhatikan tahap kecekapan dan keberkesanan servis diberikan. Lihat bagaimana mereka mengaturkan jadual penyenggaraan pelanggan yang datang? Apakah bengkel mereka selesa atau menyakitkan hati? Ada WiFi? Nasi lemak? Cuci kereta?
6. MASUK SEGMEN KENDERAAN KOMERSIL
Kami masih tertanya-tanya, kenapa Proton masih tidak mahu memasuki dunia kenderaan komersil dan masih tertumpu kepada segmen kenderaan massa?
Pembeli kenderaan komersil kurang cerewet dan tidak kiasu seperti pembeli kereta biasa. Asalkan produk tahan lasak dan alat ganti mudah (dan murah), mereka pasti setia dengan jenama itu. Mereka masih boleh bertolak ansur dengan faktor rekabentuk dan teknologi terkini.
Ada banyak jenis kenderaan komersil boleh dihasilkan. Van panel, van pelancongan, pikap, bas pelbagai saiz, jentera berat (lori, jentolak, jengkaut), enjin bot sangkut, forklift dan banyak lagi.
7. UPGRED PENGANGKUTAN AWAM
Banyak komplen diterima daripada pemandu teksi bahawa kereta PROTON tidak lasak kerana enjin cepat panas dan tidak sesuai untuk menampung tekanan bahan api NGV. Jadi, kenapa tidak bangunkan enjin khas untuk bahan api alternatif bagi kegunaan pengangkutan awam?
Rekaan dalaman mesti dikustomkan. Ruang but sepatutnya tidak terjejas dengan kehadiran tangki NGV, upholsteri mesti daripada kulit, manakala karpet lantai ialah vinil supaya mudah dibersihkan dan tahan lebih lama. Bukankah boleh diusulkan kepada Kerajaan supaya membangunkan kenderaan awam selain kereta seperti van dan bas mini? Jika Thailand gah dengan Tuk Tuk sebagai kenderaan awam paling efisien, tidak mustahil PROTON mampu hasilkan kenderaan yang lebih kurang sama tetapi lebih cantik dan selamat.
Lagi satu, sediakan juga pusat servis khas untuk pemandu pengangkutan awam ini. Jadi, PROTON dapat mengekalkan aliran tunai masuk.
8. MASUKI CABANG BIDANG LAIN
PROTON tidak boleh tersekat dalam konteks pembuatan kereta sahaja. Banyak lagi cabang dalam dan luar automotif yang boleh diterokai. PROTON boleh wujudkan kolej kemahiran dan institut pengajian tinggi (IPT) khas untuk bidang automotif, memiliki kompleks beli belah, menganjurkan siri sukan permotoran, kelas atau sekolah memandu, buka sirkit lumba berbayar dan lain-lain.
hafsham says
Saya harap pihak proton dapat ambil kritikan dan pandangan setiap pemilik kereta dibawah keluaran proton bertujuan memperbaiki kualiti dan kepercayaan pengguna khasnya yang sudah memiliki kereta proton sebabnya mereka inilah yang telah dahulu memberi 100% kepercayaan kepada pengeluar kereta tempatan. Sekiranya tindakan dua hala ini terbela,kemungkinan sambutan untuk kereta nasional tempatan lebih menggalakkan.
Lyana says
Komen no.5 dari Penulis...Hahaha x boleh belah... Betul. Pusat servis Proton memang menyakitkan hati, lembab, pekerja tak mahir.. lain rosak, lain diminta tukar...