SELEPAS mendedahkan rekabentuk luaran minggu lalu, Kia menyiarkan pula lakaran rasmi baharu rupa dalaman kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil serba baharu jenama itu.
Ruang tengah papan pemuka terpampang unit infotainment 10.25 inci dengan skrin sentuh dan butang fizikal yang memberikan beberapa akses kabin seperti kawalan penyaman udara, audio, konektiviti telefon pintar dan lain-lain.
BACA >>> Kia Dedah Imej Pertama SUV Kecil Baharu Khas untuk Pembeli Muda
Rekaan stereng multifungsi mirip seperti Stonic dengan gabungan tolok meter tradisional untuk spidometer dan takometer, dan paparan digital. Kawalan tingkap kuasa dan cermin sisi diletakkan pada pintu pemandu.
Ruang dalaman dikemaskan dengan trim metalik dan kemasan gentian karbon pada permukaan berbeza, termasuk bar genggam di sebelah kerusi penumpang.
"Kami menumpukan kepada merekabentuk kabin yang berbeza daripada model lain dalam segmen SUV kecil, dengan rasa rekabentuk yang dalam dan kaya," kata Ketua Gaya Kia, Byung Chul Juh.
"Model terbaharu kami akan menawarkan lebih ketenangan dan kepuasan kepada pelanggan, dengan rekaan dalaman berkualiti premium yang diperoleh daripada perincian rekabentuk sofistikated," katanya lagi.
Lakaran didedahkan ialah varian automatik dalam aturan sekuensial, yang juga disediakan mod pemanduan off-road seperti dilihat pada satu tombol berdekatan gear. Ia turut dilengkapkan ciri kawalan turun bukit, pengunci diferensial dan mungkin beberapa fungsi lain yang membantu SUV ini meredah pelbagai cabaran rupa bumi.
Kerusi depan memiliki fungsi pengudaraan dan pemanasan (termasuk roda stereng), sensor parkir dan fungsi mula-henti yang turut termasuk dalam pakej bersama teknologi pencahayaan kabin, Sound Mood Lighting yang akan mengubah cahaya kabin mengikut irama muzik dimainkan.
BACA >>> #PanduUji: Kia Picanto yang Kecil-Kecil Cili Padi, Memang Menyengat!
Kia dijangka mendedahkan SUV kecil baharu ini dalam masa beberapa minggu akan datang. Ia juga dijadualkan berada di pasaran Korea Selatan pada separuh kedua tahun ini sebelum pelancaran global tidak lama selepas itu.
Leave a Reply