NISSAN mengesahkan membawa masuk 370Z 50th Anniversary Edition untuk pasaran Amerika Syarikat sebagai model 2020 yang diilhamkan berasaskan jentera lumba ikonik, Datsun 240Z #46 pasukan Brock Racing Enterprise (BRE).
Berasaskan varian Sport, 370Z 50th Anniversary Edition menampilkan dua pilihan warna: latar badan putih dengan kemasan merah, dan perak dengan kemasan hitam. Kedua-dua varian menggunakan seragam daripada jentera 240Z dipandu pasukan BRE pada 1970.
BACA >>> 15 Kereta Sport Terbaik Pernah Dihasilkan Jepun
Ini dapat dilihat pada strip sisi signatur, dan warna aksen kontras pada bonet, bumbung, but, cermin sisi dan pilar A. Juga sedikit garis dekal melintang sepanjang sisi atas badan.
Lencana Edisi Aniversari ke-50 pula dapat dilihat dari depan hingga hujung belakang, sayap depan, kerusi, konsol tengah dan beberapa bahagian lain. Rim juga direka unik untuk model ini dengan perincian merah.
BACA >>> 5 Kereta Hebat Dikuasakan Enjin Legenda Nissan RB
Di sebalik bonet terbenam enjin 3.7L V6 berkuasa 332hp @7,000rpm dan tork 366Nm @ 5,200rpm dengan pilihan transmisi manual 6-kelajuan dan automatik 7-kelajuan, termasuk dibekalkan ciri padanan-rev automatik untuk kedua-dua varian.
Jentera ini dilengkapkan sistem suspensi double-wishbone di depan, dengan arm aloi tempa ringan dan damper respon tinggi dipertingkat, manakala belakang menggunakan suspensi multi-link ringan dan kuat baharu. Daya kilas di kekang diferensial gelincir terhad (LSD) untuk lebih kelancaran ketikan melayan selekoh. Menyerikan lagi model ini ialah rim aloi ringan Rays yang dibalut tayar Bridgestone Ptenza S007.
Berat 370Z 50th Anniversary Edition ialah 1,536kg untuk manual dan 1,550kg (automatik).
Ruang kabin diberikan stereng balutan Alcantara berserta tab lumba, ada trim sulaman khas, upholsteri kulit spesial dan kerusi elektrik 4 tetapan dengan fungsi pemanas. Sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara menjadi sumber hiburan terbaik buat pemandu dan penumpang, manakala segala instrumen kekal berhubung dengan kolum stereng. Jadi tiada masalah untuk menikmati muzik kegemaran walaupun ketika asyik melayan selekoh.
BACA >>> Nissan GT-R NISMO Baharu dengan Kemas Kini Gaya Lumba, dan Lebih Kuasa
Harga belum disahkan, tetapi menarik untuk diketahui sama ada 370Z 50th Anniversary Edition ini akan dijual lebih murah daripada 370Z Nismo atau sebaliknya. Pasaran Jepun juga akan mendapat edisi ulang tahun ke-50 ini, tetapi berasaskan model basis dengan pemanduan kanan (RHD), Fairlady Z.
Leave a Reply