
JENAMA motosikal, MV Agusta memperkenalkan model travel enduro terbaharunya iaitu Enduro Veloce bagi model tahun 2026, dengan harga sekitar 19,900 euro (kira-kira RM91,100) di pasaran Itali. Motosikal ini dibangunkan untuk segmen adventure touring dengan menampilkan komponen premium, teknologi elektronik canggih serta pakej kelengkapan lengkap sebagai standard.
Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Nero Intenso/Grigio Antracite dan Bianco Perlato RC/Blu Nordico.
Konsep Lengkap Dari Kilang

Berbeza dengan kebanyakan motosikal adventure yang dijual dalam spesifikasi asas sebelum ditambah aksesori, MV Agusta memilih pendekatan berbeza dengan menawarkan Enduro Veloce dalam pakej lengkap terus dari kilang.
Ini bermakna pelbagai komponen penting serta kelengkapan touring sudah dipasang secara standard tanpa perlu membeli pakej tambahan. Antara kelengkapan yang diberikan termasuk kotak sisi aluminium bersama rangka pemasangan, crash bar, lampu kabus serta center stand.
Enjin Tiga Silinder 931cc

Kuasa Enduro Veloce datang daripada enjin tiga silinder sebaris berkapasiti 931cc yang menghasilkan sekitar 124 hp pada 10,000 rpm serta tork maksimum 102 Nm pada 7,000 rpm.
Enjin ini direka bagi memberikan keseimbangan antara prestasi tinggi di jalan raya dan keupayaan tunggangan jarak jauh.
Sistem Elektronik Lengkap

Motosikal ini turut dilengkapi pelbagai sistem bantuan tunggangan moden termasuk unit pengurusan inersia enam paksi (IMU) yang menyokong fungsi cornering ABS.
Antara ciri elektronik yang disediakan termasuk:
- Empat mod tunggangan termasuk mod boleh ubah suai
- Lapan tahap traction control serta mod nyahaktif
- Quickshifter dua hala (up & down)
- Wheelie control
- Kawalan brek enjin
- Pelarasan respons enjin
- Tiga tahap sensitiviti pendikit
- Tiga peta enjin – Low, Medium dan High
- Cruise control
- Suspensi Sachs & Brek Brembo

Bahagian suspensi menggunakan fork hadapan Sachs boleh laras sepenuhnya manakala belakang menggunakan monoshock boleh laras dengan jarak perjalanan suspensi 210 mm di kedua-dua bahagian.
Enduro Veloce menggunakan rim jejari bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sesuai untuk kegunaan off-road serta perjalanan jarak jauh. Sistem brek pula menggunakan kaliper Brembo Stylema empat piston monobloc bersama cakera 320 mm di bahagian hadapan.
Dimensi dan Berat

Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai berat kering sekitar 235 kg dan meningkat kepada kira-kira 250 kg apabila diisi penuh bahan api.
Tangki bahan api berkapasiti 20 liter membantu memberikan jarak perjalanan lebih jauh, manakala ketinggian tempat duduk boleh dilaras antara 850 mm hingga 870 mm.
Paparan TFT 7 Inci

Maklumat tunggangan dipaparkan melalui skrin TFT-LCD bersaiz tujuh inci yang turut menyokong sambungan telefon pintar menerusi aplikasi MV Agusta Ride.
Sistem ini membolehkan navigasi dipaparkan terus pada skrin serta menyediakan fungsi keselamatan seperti sistem anti-kecurian.
Pesaing Dalam Segmen
Dalam segmen travel enduro kelas pertengahan hingga premium, Enduro Veloce dijangka bersaing dengan beberapa model adventure popular seperti Ducati DesertX, Triumph Tiger 900 Rally Pro, Honda Africa Twin, KTM 890 Adventure R serta BMW F900 GS Adventure.







