
LEBUHRAYA Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjangkakan jumlah trafik harian berpotensi melebihi 160,000 kenderaan sehari menjelang hujung minggu ini susulan aliran pulang orang ramai selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut kenyataan WCE, kemuncak aliran trafik dijangka berlaku antara Sabtu hingga Ahad, apabila pengguna lebuh raya kembali ke Lembah Klang selepas cuti panjang, berakhirnya cuti persekolahan serta ketibaan awal Ramadan.
Kesesakan ketara dijangka berlaku dari pertengahan petang hingga lewat malam, khususnya di laluan menghala masuk ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Aliran Pulang Dijangka Lebih Padat
WCE memaklumkan berbeza dengan aliran keluar yang berlaku secara berperingkat sebelum perayaan, perjalanan pulang kali ini dijangka lebih padat memandangkan ramai perlu kembali kepada rutin harian menjelang awal Ramadan.
Sehubungan itu, pengguna disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.
Muat Turun Aplikasi WCE, Elak Waktu Puncak
Antara langkah yang dicadangkan:
- Muat turun aplikasi WCE App untuk maklumat trafik masa nyata dan paparan CCTV
- Bertolak awal pada waktu pagi bagi mengelakkan waktu puncak petang dan malam
- Pastikan baki Touch ‘n Go atau e-dompet mencukupi
Kiosk layan diri untuk tambah nilai disediakan di semua 14 plaza tol bagi mengelakkan kelewatan dan barisan panjang.
Kemudahan EV, R&R Disediakan
Bagi pengguna kenderaan elektrik (EV), kemudahan pengecas berkapasiti tinggi disediakan di:
- Plaza Tol Trong
- Plaza Tol Taiping Selatan
- Plaza Tol SAE
- Plaza Tol Assam Jawa
Pengguna juga digalakkan berehat di enam Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang beroperasi sepenuhnya:
- R&R Sungai Nyiur (arah utara dan selatan)
- R&R Bukit Kapar (arah utara dan selatan)
- R&R Sijangkang
- R&R Johan Setia
Jangan Guna Lorong Kecemasan
WCE turut mengingatkan penunggang motosikal supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kerana ia dikhaskan untuk kegunaan kecemasan termasuk pengurusan insiden dan kenderaan rosak.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid berkata, pihaknya komited memastikan perjalanan selamat dan lancar ketika penghujung musim perayaan serta menjelang Ramadan.
Sekiranya berlaku kecemasan, pengguna boleh menghubungi talian Infoline WCE di 1700-81-6600 untuk bantuan segera.
SUMBER: SinarHarian




