WMOTO Malaysia secara rasmi memperkenalkan dua model terbaharu, WMoto Island 150 dan WMoto Hawk 200i, sempena majlis Tahun Baru Cina Mforce Lou Sang Dinner 2026 di M Resort & Hotel.
Pelancaran itu menandakan kemasukan WMoto ke pasaran Malaysia bagi tahun pertama 2026, dengan tawaran merangkumi segmen skuter premium 150cc dan motosikal dwiguna 200cc bagi memenuhi keperluan penunggang bandar serta pengguna yang mahukan keupayaan lebih versatil.
i. WMoto Island 150: Skuter Premium untuk Tunggangan Harian

WMoto Island 150 direka untuk meningkatkan pengalaman tunggangan harian dengan gabungan gaya moden, keselesaan optimum dan teknologi terkini.
Model itu menandakan kemasukan rasmi WMoto dalam segmen skuter premium 150cc.
WMoto Island 150 ditawarkan pada harga RM6,688 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), dan boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.
Pilihan Warna
- Aura Black (Hitam)
- Action Blue (Biru)
- Prime Grey (Kelabu)
Enjin, Prestasi

WMoto Island 150 dikuasakan enjin 4-lejang 4-injap silinder tunggal 150cc penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) yang memberikan output kuasa 11.5kW (15,4hp) @ 8,500rpm, dan tork 14.2Nm @ 6,500rpm.
Skuter itu dilengkapi transmisi automatik CVT pacuan tali sawat dengan ciri penghidup elektrik yang menawarkan pecutan lancar dan tunggangan selesa di bandar, manakala kapasiti tangki bahan api 9 liter.
Dimensi, Pengendalian
- Dimensi panjang 1,940mm, lebar 745mm, dan tinggi 1,130mm, manakala jarak roda 1,315mm
- Jarak tinggi bumi 136mm
- Tinggi pelana 764mm
- Berat kering 137kg
Sistem suspensi terdiri dipasangkan fork hibraulik di depan, dan absorber spring dengan damper redaman (belakang).
Bahagian roda menggunakan tayar 110/70-14 M/C (depan) dan 130/70-13 M/C (belakang), manakala sistem brek jenis cakera di depan dan belakang berserta Sistem Brek-Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Ciri, Teknologi
WMoto Island 150 hadir dengan pelbagai ciri moden, seperti:
- Lampu LED penuh dengan lampu siang (DRL)
- Paparan meter digital interaktif
- Sistem tanpa kunci
- Tongkat sisi dengan suis keselamatan
- Visor angin
- Ruang simpanan depan
- Port pengecas USB Type-A danType-C
- Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
- Peg kaki pembonceng boleh lipat
- Pelana antigelincir
- Cangkuk barang (kapasiti beban sehingga 5kg)
Skuter tersebut menggunakan bateri 12V 8.6Ah dan mampu membawa muatan sehingga 158kg, sekali gus sesuai dijadikan rakan tunggangan harian.
ii. WMoto Hawk 200i: Jentera Lasak untuk Bandar, Off-Road Ringan

WMoto Hawk 200i dibangunkan sebagai motosikal dwiguna (dual-purpose) dan berkeupayaan tinggi, yang sesuai untuk kegunaan bandar, termasuk laluan off-road ringan.
Model itu menandakan pengembangan WMoto dalam segmen motosikal versatil 200cc, dan ditawarkan pada harga RM7,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
WMoto Hawk 200i kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.
Pilihan Warna
- Obsidian Black (hitam)
- Extreme Red (merah)
Enjin, Trenkuasa
WMoto Hawk 200i dikuasakan enjin 4-lejang 2-injap silinder tunggal 200cc SOHC penyejukan cecair dengan output kuasa 12kW (16hp) @ 8,000rpm, dan tork 15.7Nm @ 7,000rpm.
Motosikal itu menggunakan sistem transmisi klac manual 5-kelajuan dengan pacuan rantai, manakala kapasiti tangki bahan api 8 liter.
Casis, Suspensi dan Brek
- Dimensi panjang 2,090mm, lebar 880mm dan tinggi: 1,180mm, manakala jarak roda 1,360mm
- Tinggi pelana 830mm
- Jarak tinggi bumi 260mm
- Berat basah 132kg
Sistem suspensi dipasangkan fork terbalik (USD) di depan dan monoshock di belakang, manakala sistem brek menggunakan brek cakera di depan dan belakang dengan ABS boleh nyah aktif (depan).
Bahagian roda menggunakan tayar 90/90-19 (depan) dan 110/90-17 (belakang), serta dipadankan rim jejari untuk ketahanan dan kebolehsuaian atas pelbagai permukaan jalan.
Kelengkapan, Praktikaliti

Antara ciri ditawarkan WMoto Hawk 200i ialah:
- Panel meter digital interaktif
- Lampu depan dan lampu signal LED
- Lampu siang (DRL) terbina dalam
- Lampu belakang jenis mentol
- Port pengecas USB Type-A
- Sistem kunci mekanikal
- Gad tangan
- Pelindung hendal
- Tayar dwiguna
- Pelana antigelincir
Waranti, Sokongan Selepas Jualan
Setiap pembelian WMoto Island 150 atau WMoto Hawk 200i didatangkan dengan waranti pengeluar dua [2] tahun atau 20,000km (mana satu tiba dulu), termasuk akses kepada pembelian alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.












































