DARIPADA momen cinta di lebuh raya hingga warna-warni kehidupan harian, rakyat Malaysia membuktikan bakat dan kreativiti masing-masing dalam edisi pertama Volkswagen Shutter Stories, iaitu pertandingan fotografi yang julung kali dianjurkan wakil pengedar rasmi kenderaan Volkswagen di Malaysia, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dengan kerjasama Fujifilm Malaysia.
Pertandingan itu membuka ruang kepada peminat fotografi untuk berkongsi interpretasi terhadap lima tema utama: VW Love, VW Adventure, VW People, VW Motion dan VW Life & Colours. Dua daripada lima gambar wajib memaparkan model kenderaan Volkswagen bagi meraikan keunikan jenama tersebut dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Hasanul Asyraf Menang Kamera RM7,000, Kontrak Jurufoto VPCM

Pemenang hadiah utama, Hasanul Asyraf Hanafi, 35, bukan saja membawa pulang kamera dan lensa Fujifilm bernilai RM7,000, tetapi turut diberi peluang mengikuti program bimbingan bersama jurufoto profesional Aaron Lee selain menerima kontrak setahun sebagai jurufoto rasmi VPCM.
Peluang tersebut bakal membuka laluan untuk anak muda itu mengasah kemahiran fotografi dalam dunia automotif dengan lebih mendalam.
Tempat kedua dimenangi Kelvin Ooi, 23, yang menerima kamera Fujifilm Instax Mini 99 lengkap dengan filem bernilai RM1,200, manakala tempat ketiga, pelajar MMU, Neeventhaa Perabagaran, 19, membawa pulang kamera Instax Pal dan barangan eksklusif Volkswagen bernilai RM588.
Lebih Sekadar Kereta, Volkswagen Rai Emosi dan Perjalanan Hidup
Pengurus Jenama VPCM, Charles Lim berkata;
Volkswagen bukan sekadar pengeluar kereta. Ia tentang hubungan, gaya hidup dan kenangan yang terhasil sepanjang perjalanan kita.
"Melalui Shutter Stories, kami mahu meraikan rasa cinta, semangat pengembaraan dan kehidupan yang diabadikan rakyat Malaysia dalam bentuk visual memukau."
Menurutnya, lebih 30 penyertaan diterima dengan pelbagai kisah menyentuh hati daripada ekspresi kasih sayang, kegembiraan keluarga hingga keriangan pengembaraan bersama Volkswagen.
Fujifilm: Tangkap Momen, Cerita yang Kekal Abadi
Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Bahagian Pengimejan Elektronik dan Instax, Fujifilm Malaysia, Thomas Kwan berkata, kolaborasi itu sejajar falsafah Fujifilm dalam menyampaikan kisah yang memberi inspirasi.
Kami dapat melihat bagaimana peserta mentafsir semangat Volkswagen dalam perspektif yang cukup unik dan menyentuh emosi. Ia gabungan teknologi, kreativiti dan ekspresi peribadi yang membanggakan," katanya.
Lensa Rakyat, Cerita Malaysia
Pertandingan Volkswagen Shutter Stories terbuka kepada semua warganegara dan penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas, dengan kriteria penyertaan yang menekankan kreativiti, naratif visual dan kaitan dengan tema-tema utama diberikan.
Dengan kejayaan edisi sulung itu, tidak mustahil Volkswagen bakal menjadikan Shutter Stories sebagai acara tahunan — bukan saja untuk menghargai peminat setia jenama tersebut, tetapi juga untuk terus menghubungkan emosi, estetika dan pengalaman sebenar rakyat Malaysia.
Maklumat lanjut boleh layari: www.volkswagen.com.my
Leave a Reply