MUSIM perlumbaan Michelin 24H Series European 2025 bakal melabuhkan tirainya hujung minggu ini (26–28 September) di Circuit de Barcelona-Catalunya.
Pasukan Malaysia Viper Niza Racing kini dalam perebutan kedudukan tiga teratas keseluruhan bagi kategori GT3-AM Class.
Barisan Pemandu Serba Lengkap
Pasukan ini tampil dengan kekuatan penuh apabila menurunkan lima pemandu: Douglas Khoo, Dominic Ang, Melvin Moh, Aaron Lim dan Afiq Yazid. Mereka akan memandu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang sebelum ini pernah menghadiahkan kemenangan kepada pasukan.
Kedudukan semasa menyaksikan Viper Niza Racing berada di tempat ketiga bersama Hofor Racing, dibayangi rapat Continental Racing (kedua) serta pendahulu Juta Racing. Perbezaan hanya lapan mata antara tiga pasukan teratas menjadikan perlumbaan ini penentu kejuaraan.
Dengan 20 mata ditawarkan selepas 12 jam pertama dan 40 mata penuh pada penamat, keputusan akhir hanya akan diketahui apabila bendera penamat dikibarkan.
Musim Sulung Penuh Cabaran
Walaupun terlepas pusingan pembukaan di Mugello, Viper Niza segera mencipta impak pada penampilan pertama di 12 Jam Spa-Francorchamps dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam keseluruhan, keempat dalam GT3 dan naib juara GT3-AM.
Namun, cabaran di 12 Jam Misano terhenti lebih awal akibat masalah keretakan pada tangki minyak. Pasukan kemudian bangkit semula di 12 Jam Paul Ricard dengan kedudukan kelapan keseluruhan serta tempat ketiga dalam GT3-AM.
Cabaran 24 Jam di Litar Catalunya
Perlumbaan penutup musim ini lebih getir, 24 jam penuh di litar sepanjang 4.657km dengan 14 selekoh yang sinonim dengan perlumbaan MotoGP dan Formula 1.
Dua muka baharu, Aaron Lim dan Afiq Yazid, memperkuatkan barisan pemandu. Lim bukan asing dalam arena lumba, pernah mewakili Malaysia di A1 Grand Prix, meraih podium dalam Lamborghini Super Trofeo Asia, serta menjuarai beberapa perlumbaan ketahanan di rantau ini.
Afiq pula hadir dengan reputasi besar, juara empat kali Lamborghini Super Trofeo Asia, pernah menang di World Final 2018 serta beraksi dalam Asia Le Mans Series bersama jentera LMP2. Pengalaman hampir dua dekad menjadikannya aset berharga buat pasukan.
Fokus, Strategi & Konsistensi
Ketua pasukan merangkap pemandu, Douglas Khoo, menegaskan matlamat utama ialah podium kejuaraan:
“Kami mahu menamatkan musim ini dalam kedudukan tiga terbaik. Ini satu pencapaian besar untuk tahun pertama kami di European Series, lebih manis kerana dilakukan dengan barisan pemandu 100% Malaysia. Perlumbaan 24 jam ini menuntut kepantasan, konsistensi, strategi dan disiplin, kehadiran Aaron dan Afiq pasti beri kelebihan.”
Viper Niza Racing kini mendapat sokongan rakan teknikal dan penaja termasuk Motul, Endless & Momentum Autoparts, jenama jam rasmi IWC, serta Jen Orchard Gateway Hotel Singapura.
Leave a Reply