BEKAS Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini berusia 99 tahun, membuktikan bahawa umur hanya sekadar angka dan tidak menghalang beliau untuk memandu laju dalam Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Perkara tersebut dikongsikan menerusi akaun Youtube peribadinya, memaparkan beliau sedang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV), model Audi Q5 dengan kelajuan mencapai lebih 150kmj.
Pada awal video berdurasi tiga minit 14 saat itu, terlihat Dr. Mahathir duduk di kerusi penumpang hadapan sambil dibawa mengelilingi litar oleh Pengerusi SIC, Tan Sri Mohamed Azman Yahya.
Setelah selesai melihat kawasan litar dan fasiliti SIC, Dr. Mahathir kemudian memandu SUV tersebut sambil berkongsi sejarah pembinaan SIC yang ditubuhkan pada 1998.
Disebabkan Malaysia tidak mempunyai banyak tarikan pelancongan pada ketika itu, maka perlumbaan seperti Formula 1 telah dianjurkan bagi membawa masuk pelancong dari negara lain.
Malaysia juga sekaligus menjadi negara kedua di Asia yang menganjurkan perlumbaan Formula 1 selepas Jepun.
SUMBER: Kosmo
Leave a Reply