
TOYOTA menambah ahli baharu yang versatil ke dalam barisan kenderaan elektrik bateri BEV menerusi pengenalan Toyota bZ Woodland 2026.
Model ini direka khusus untuk pemandu yang inginkan prestasi sebuah kenderaan elektrik namun dalam masa yang sama memerlukan keupayaan untuk aktiviti luar yang lebih lasak.
Toyota bZ Woodland dijangka mula tiba di rangkaian pengedar Toyota di Amerika Syarikat pada Mac 2026 dengan harga jualan bermula dari 45,300 dolar (RM176,671).
Rangkaian Kuasa dan Prestasi

Toyota bZ Woodland 2026 dilengkapi sistem pacuan semua roda AWD standard yang menggunakan motor elektrik pada eAxle hadapan dan belakang.
Gabungan sistem ini menghasilkan output bersih sebanyak 280 kW (375 ps) sekali gus menjadikannya model bZ paling berkuasa setakat ini. Dari segi prestasi pecutan, SUV ini mampu memecut dari 0 ke 96 km/j dalam tempoh hanya 4.4 saat.

Untuk pemanduan di laluan mencabar, bZ hadir dengan sistem X-MODE yang berfungsi mengoptimumkan kawalan brek dan penghantaran kuasa ke roda.
Terdapat juga ciri Grip Control yang bertindak melaras kuasa motor pada kelajuan rendah bagi mengekalkan momentum dan kestabilan di atas permukaan jalan yang tidak rata atau licin.
Keupayaan Jarak dan Pengecasan

bZ Woodland 2026 menggunakan bateri litum-ion dengan kapasiti 74.7 kWj.
Mengikut anggaran EPA, bZ Woodland mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 452 km bagi varian standard. Bagaimanapun, jika pembeli memilih pilihan all-road, jarak pemanduan adalah sekitar 418 km.
Sistem pengecasan bZ Woodland kini lebih pantas dan fleksibel dengan penggunaan port North American Charging System NACS yang memberikan akses kepada ribuan stesen pengecasan pantas DC.

Di dalam keadaan ideal, pengecasan pantas DC membolehkan tahap bateri bertambah dari 10 peratus ke 80 peratus dalam masa sekitar 30 minit.
Toyota turut menyertakan ciri Battery Pre-conditioning untuk memastikan bateri berada pada suhu optimum sebelum pengecasan bermula bagi memendekkan waktu menunggu.
Rekabentuk Luaran dan Praktikaliti

bZ Woodland 2026 membawakan kelainan pada gaya bZ4X sedia ada dengan penambahan overfender hitam yang lasak pada bahagian hadapan jenis hammerhead Toyota.
Model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 213 mm, selain hampir 152 mm lebih panjang dan hampir 25 mm lebih tinggi di bahagian belakang berbanding model bZ standard (bZ4X).

Dimensi yang lebih besar ini memberikan ruang kargo yang sangat luas mencecah 2,104 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Sebagai tambahan kepada praktikaliti, ia turut dilengkapi rel bumbung standard untuk memudahkan pemasangan rak basikal atau bagasi serta mempunyai kapasiti tunda sehingga 1,587 kg.
Ruang Dalaman dan Teknologi

Kabin bZ Woodland menawarkan ruang yang luas untuk semua penumpang dengan penggunaan kemasan SofTex pada tempat duduk. Papan pemuka didominasi oleh skrin sentuh Toyota Audio Multimedia bersaiz 14 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Di antara ciri standard lain termasuk dua pengecas peranti Qi tanpa wayar, lampu ambien yang boleh dilaras, dan sistem kunci digital.
Bagi varian Premium, pembeli akan menerima tambahan sistem audio JBL 9 pembesar suara, bumbung kaca panoramik tetap, serta fungsi memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin sisi.

Ciri Keselamatan Canggih
Keselamatan pemandu dan penumpang diutamakan menerusi pakej Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi sistem pra-pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki, kawalan jelajah radar dinamik penuh, amaran keluar lorong, dan bantuan pengesan lorong.
Ciri tambahan seperti Monitor Pandangan Panoramik dan Monitor Multi-Terrain memudahkan pemandu melihat kawasan persekitaran ketika melalui laluan sempit atau off-road.

Toyota juga memberikan perhatian khusus kepada keselamatan bateri dengan sistem pemantauan berlapis untuk voltan, arus dan suhu bagi mengelakkan pemanasan melampau.
Sistem penyejukan rintangan tinggi turut digunakan bagi mencegah risiko litar pintas walaupun ketika pemanduan laju atau pengecasan pantas yang kerap.

Spesifikasi Utama Toyota bZ Woodland 2026
- Rangkaian Kuasa: Motor elektrik berkembar AWD
- Kuasa Maksimum: 280 kW (375 ps)
- Pecutan 0 ke 96 km/j: 4.4 saat
- Kapasiti Bateri: 74.7 kWj
- Jarak Pemamnduan (EPA): 452 km (418 km dengan tayar all-road)
- Masa Pengecasan DC (10-80%): Sekitar 30 minit
- Jarak Kelegaan Tanah: 213 mm
- Kapasiti Tunda: 1,587 kg
- Ruang Kargo Maksimum: 2,104 liter
- Rim: Aluminium 18 inci dengan penutup aero
- Sistem Infotainmen: Skrin sentuh 14 inci dengan 6 atau 9 pembesar suara JBL
- Ciri Keselamatan: Toyota Safety Sense 3.0, BSM, RCTA, Safe Exit Alert
- Pilihan Warna: Stepping Stone, Halo, Steel, Pavement, Raven Black, Trueno Blue































