• UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI

PanduLaju.com.my

Tekan Pedal dan Jangan Stres

  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
You are here: Home / Autotainment / #TahukahAnda: Rahsia Ular Telan Manusia dalam Logo Alfa Romeo dan Kaitan Perang Salib

#TahukahAnda: Rahsia Ular Telan Manusia dalam Logo Alfa Romeo dan Kaitan Perang Salib

August 2, 2017 By Han Othman 3 Comments

1.7k
PERKONGSIAN
FacebookTwitter


WALAUPUN bukanlah jenama kereta Eropah terlaris di Malaysia dan dunia, kami yakin ramai bersetuju Alfa Romeo adalah antara pengeluar automotif yang berada dalam kelas tersendiri dan cukup disegani.

Ada pelbagai teori yang menyokong dakwaan tersebut. Ada kalangan peminat yang gilakan keunikan bunyi jentera-jentera Alfa Romeo. Ada juga yang sukakan sejarah, kejayaan di litar lumba, dan hubungan jenama itu dengan Enzo Ferrari serta kaitan pelumba-pelumba hebat seperti legenda 1930-an, Tazio Nuvolari dan Achille Varzi, dan juara dua kali Formula Satu (F1) 1950-an, Alberto Ascari.

BACA >>> Alfa Romeo Stelvio - Seindah Nama, Seseksi Rupa, Sehebat Kuasa

Alfa Romeo sangat sinonim dengan makna keghairahan dan soul. Tetapi kononnya alasan paling cool  untuk mencintai jenama itu ialah penampilan gril segitiga yang jika diperhatikan lebih dekat tersemat lencana dengan imej palang (salib?) di samping seekor ular, dengan julukan biscione sedang menelan seorang manusia. Apakah maksudnya?

biscione-logo-alfa-romeo
2017 Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio

LAMBANG DUKE MILAN

Tidak banyak pengeluar automobil yang meletakkan logo jenama dalam bentuk lencana logam seakan jata atau coat of arms. Antara pengeluar selain Alfa Romeo yang menampilkan lencana logam ialah Saab dengan imej kepala Griffin mengeluar api, yakni makhluk legenda dalam mitologi Mesir dan Parsi purba. Begitu juga logo Peugeot dengan imej singa  mendepangkan kaki yang sejarahnya dapat dijejak sehingga 1847.

Logo Alfa Romeo pula jika dijejaki mempunyai kaitan dengan bandar kelahiran jenama itu di Milan, Itali. Logo tersebut pernah menjadi lambang keluarga Visconti sebagai penguasa atau duke ibu kota itu pada abad 11 hingga 15 Masihi.

OTTONE VISCONTI

Menurut kisah legenda, semasa Perang Salib Kedua, Ottone Visconti (1207-1295) mencabar ketua Saracen (istilah orang Kristian yang merujuk kepada orang Islam pada zaman pertengahan), Voluce supaya bertarung yang ketika itu memakai baju dengan lengan tertera jata seekor ular sedang menelan seorang lelaki. Ottone menang sambil membawa pulang senjata dan lambang milik Voluce itu ke Milan untuk dijadikan simbol kepahlawanan keluarga Visconti. Simbol tu kemudian digunakan pada perisainya.

Ada kenyataan mendakwa imej lelaki ditelan ular biscione itu dimerahkan untuk menggambarkan orang Saracen, tetapi kemudian digantikan dengan kanak-kanak bagi menunjukkan kebaikan ular Visconti. Malah menurut sumber Alfa Romeo sendiri, dipetik Jalopnik, ular itu bukan menelan, sebaliknya mengeluarkan manusia sebagai simbol manusia baharu, kelahiran semula, dan disucikan.

Tetapi kalau kita melihat posisi dan gerak badan manusia (atau budak) pada mulut ular itu, ia tidak nampak seperti dikeluarkan, tetapi ditelan. Jadi tidak hairan orang ramai mengganggap ular itu sedang menelan mangsa.

BACA >>> Alfa Romeo Tipo B: Kereta Lumba Enzo Ferrari Sebelum Asaskan Ferrari Akan Dilelong

Imej biscione menelan kanak-kanak di stesen kereta api Centrale Milano.

Simbol tersebut kemudian digunakan walaupun keluarga Visconti sudah meninggal dunia dan digantikan keluarga Sforza sebagai penguasa Milan dengan meneruskan legasi lambang itu sebagai jata pemerintahan. Imej ular melingkar tersebut turut menjalinkan Milan dengan dua bandar di Poland menerusi perkahwinan Bona Sforza dan Raja Sigismund I.

Jika berjalan di Milan, anda akan perasan imej ular biscione pada jubin lantai, dinding stesen keretapi Milano Centrale, dan tembok kota Castello Sforzesco di pusat bandar. Menariknya, kadangkala muka lelaki yang sedang ditelan ular itu kelihatan tenang sahaja seakan pasrah dengan nasib diterima, tetapi kebiasaannya imej 'lelaki malang' itu tidak ditunjukkan muka.

Pada lambang Alfa Romeo, sebuah syarikat yang berakar umbi di pusat industri Milan, imej ular biscione berkongsi ruang dengan simbol salib merah dan latar belakang putih seperti yang terdapat pada bendera Milan.

BACA >>> Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio - Inilah SUV Paling Pantas di Nürburgring!

Tembok kota Castello Sforzesco jelas terpapar lambang ular biscione menelan seorang lelaki.

KONTROVERSI SALIB

Apakah itu simbol iluminati? Entahlah, anda mungkin boleh bertanya sendiri kepada jabatan perhubungan awam kumpulan misteri itu. Tetapi persoalannya, adakah peminat Alfa Romeo tahu rahsia sebenar di sebalik logo kereta idaman mereka itu?

Pendapat kami, ramai kalangan pembeli Malaysia tidak tahu rahsia di sebalik imej ular biscione menelan lelaki pada logo Alfa Romeo, dan kaitan simbol tersebut dengan Perang Salib Kedua. Namun apa yang pasti, simbol salib yang tertera di sebelah ular itu sedikit sebanyak menghalang populariti jenama tersebut di kalangan pembeli Islam. Situasinya sama seperti simbol tali leher bow pada logo Chevrolet yang disangka salib.

Tetapi di kalangan peminat kereta lama kategori rare, model-model Alfa Romeo sentiasa ada kelompok peminat tersendiri.

SUMBER: Road and Track | TheArtPostBlog

Related

1.7k
PERKONGSIAN
FacebookTwitter

Filed Under: Autotainment Tagged With: Alfa Romeo, autotainment, biscione, Itali, lambang Alfa Romeo, lencana Alfa Romeo, maksud logo Alfa Romeo, tahukah anda

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARIAN AUTO

Pilihan Ramai

  • Modenas Z15GT 2026 - Supermoped Buatan Malaysia Lancar dengan DNA Kawasaki!
    Modenas Z15GT 2026 - Supermoped Buatan Malaysia Lancar dengan DNA Kawasaki!
  • BSH Lancar Honda RS-X Winner Tricolor Edition dalam Unit Terhad, Harga RM10.2k!
    BSH Lancar Honda RS-X Winner Tricolor Edition dalam Unit Terhad, Harga RM10.2k!
  • XPENG P7 Disambut Hangat, 10 Ribu Tempahan 7 Minit, Jarak Lebih 700 km, 0-100 km/j 3.7 saat!
    XPENG P7 Disambut Hangat, 10 Ribu Tempahan 7 Minit, Jarak Lebih 700 km, 0-100 km/j 3.7 saat!
  • Cruiser Gaya Retro-Moden WMoto Bobbie 450s Lancar, Harga RM19,888
    Cruiser Gaya Retro-Moden WMoto Bobbie 450s Lancar, Harga RM19,888

PANDU UJI

Pandu uji Proton X50 2026 ke Melaka

#PanduUji: Proton X50 2026, Sesuai Kereta Pertama Pemandu Baru Dapat Lesen, Naik Taraf SUV

SEMPENA bulan patriotik, Proton menganjurkan sesi pandu uji bersama … [Baca Lagi...]

Pandu uji Chery Tiggo Cross KL-Terengganu

#PanduUji: Boleh ke Chery Tiggo Cross Ulang Alik KL-Terengganu Setangki Petrol Penuh?

BARU beberapa bulan dilancarkan, kenderaan utiliti sukan (SUV) … [Baca Lagi...]

Tunggang uji Yamaha NVX 2025 di SIC

#TunggangUji: Yamaha NVX 2025 Baharu Kini Boleh 'Downshift'!

WAKIL pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha … [Baca Lagi...]

2014 – 2025 © PanduLaju.com.my
🚀 XCII WebDev