TIGA kereta buatan Jerman iaitu Mercedes-Benz, Porsche dan Volkswagen menggunakan corak tartan pada bahagian dalam kereta.
Satu yang unik kerana corak tartan yang bersilang merupakan warisan dari Scotland.
Edisi khas 911 (992) Turbo 50 Years yang dipaparkan sebelum ini juga menggunakan corak tartan dan bagaimana Porsche dari Jerman bertemu dengan Scotland?
Kisahnya bermula apabila Ketua Pereka Porsche, Anatole Lapine memakai seluar bercorak tartan.
Diinspirasi dari citarasa beliau yang berani, kakitangan Porsche membuat keputusan untuk meneroka bagaimana corak klasik tersebut boleh menambah gaya unik pada kereta buatan mereka.
Untuk makluman, tartan sebenarnya mempunyai corak tersendiri mengikut warisan keluarga.
Di dalam tugasan tersebut, pengeluar tradisional Scotland tidak dapat memenuhi ketahanan yang diperlukan untuk digunakan di dalam kereta.
Maklumlah, balutan dalaman kereta memerlukan ketahanan tinggi yang sentiasa disentuh, terdedah kepada cuaca dan tidak semudah membasuh pakaian.
Cabaran itu diatasi apabila penggaya Porsche, Dorothea Müller-Goodwyn berjaya menemui pembekal yang terletak 50 kilometer (km) dari Weissach iaitu syarikat Berger di Dettingen unter Teck.
Berbalik kepada seluar Anatole Lapine, corak yang digunakan ialah hijau dan hitam yang diinspirasi dari tartan Black Watch.
Corak tartan akhirnya menjadi kenyataan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa (IAA) 1973 di Frankfurt apabila Porsche mempertontonkan model konsep 911 RSR Turbo dengan bahagian tengah dan sisi kerusi dibaluti tartan Black Watch.
Setahun kemudian sebuah 911 Turbo No.1 diserahkan kepada Louise Piëch dalam warna perak dan dalaman yang dibaluti kulit merah bata dan bahagian tengah kerusi corak tartan McLaughlin.
Logo Porsche pada pintu juga berlatarbelakangan corak sama. Nama warisan dengan corak tartan merah dan biru startan ini juga boleh dieja sebagai MacLachlan.
Pada 1974, Anatole Lapine dan kakitangan beliau menambah satu lagi corak iaitu Mackenzie dengan warna perang, merah, biru, putih dan hijau zaitun.
Walaupun fabrik tartan digantikan dengan corak dan bahan lain, sejarah 50 tahun lalu memulakan hubungan di antara Porsche dan tartan.
Satu lagi fakta, Anatole Lapine bukan warga Scotland tetapi dilahirkan di Latvia! Terasa pelik apabila corak berkotak dan tidak ada kaitan dengan Jerman digunakan pada Porsche namun berjaya mewujudkan identiti tersendiri.
Sekadar berkongsi, Proton menggunakan corak songket sebagai elemen gayaan dan turut membangkitkan identiti tradisional.
Leave a Reply