
JENAMA kereta mewah, Porsche, dilaporkan sedang merancang untuk memperkenalkan beberapa model flagship baharu yang akan berada di atas barisan 911 dan Cayenne. Perkara itu dibayangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Michael Leiters ketika sidang media tahunan syarikat tersebut.
Langkah tersebut diambil ketika pengeluar kereta sport dari Jerman itu berdepan penurunan keuntungan operasi yang ketara tahun lalu. Bagi memulihkan prestasi kewangan, Porsche kini memberi tumpuan kepada model premium dengan margin keuntungan lebih tinggi.
“Kami sedang menilai model dan derivatif baharu yang akan berada di atas barisan kereta sport dua pintu sedia ada serta di atas Cayenne,” kata Leiters.
SUV Tiga Baris K1 Dijangka Jadi Flagship Baharu

Model yang bakal berada di atas Cayenne dipercayai ialah SUV tiga baris yang dikenali sebagai projek K1, yang pertama kali diumumkan Porsche pada 2022. SUV itu dijangka menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk dan akan hadir dengan pilihan enjin petrol serta plug-in hybrid.
Pada asalnya, K1 dirancang sebagai model elektrik sepenuhnya, namun perubahan strategi pembangunan menyebabkan Porsche menambah pilihan trenkuasa konvensional. Model tersebut dijangka dilancarkan sekitar hujung dekad ini, walaupun jadual asal pada 2027 mungkin berubah.
Pengganti 918 Spyder Mungkin Sedang Dibangunkan
Selain SUV baharu itu, Porsche juga dipercayai merancang model halo baharu yang akan berada di atas barisan kereta sport dua pintu mereka. Model tersebut berpotensi menjadi pengganti kepada hypercar 918 Spyder.
Beberapa petunjuk menunjukkan Porsche sedang menilai pelbagai teknologi enjin baharu termasuk rekaan enam lejang serta konsep enjin W18 tri‑turbo. Walaupun teknologi tersebut masih belum disahkan untuk produksi, ia memberi gambaran bahawa Porsche sedang meneroka pendekatan ekstrem bagi model prestasi tertinggi mereka.
Jika direalisasikan, model halo baharu itu bakal bersaing dengan hypercar generasi terkini daripada pesaing seperti Ferrari dan McLaren, sekali gus mengembalikan Porsche ke dalam segmen supercar paling eksklusif di dunia.
SUMBER: Car And Driver








