SISTEM pelayan (server) bagi inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) kini dipertingkat hingga mampu memproses lebih 30,000 transaksi seminit, sekali gus mengelakkan gangguan teknikal seperti pernah berlaku ketika pelaksanaan awal Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting kerana program BUDI95 melibatkan jumlah penerima jauh lebih ramai berbanding SARA.
Kita hendak elak masalah dihadapi ketika pelaksanaan awal SARA. Kapasiti server BUDI95 kini jauh lebih besar.
”SARA itu sebenarnya dirangka untuk kumpulan lebih kecil, jadi server hanya boleh memproses sekitar 3,000 transaksi seminit. Tetapi untuk BUDI95, sistem ini ditingkatkan hingga 10 kali ganda, maknanya lebih 30,000 transaksi seminit.”
Kapasiti Pelayan 10 Kali Ganda Lebih Besar
Peningkatan kapasiti pelayan itu membolehkan transaksi subsidi petrol berjalan lancar tanpa gangguan, walaupun ketika waktu puncak. Sistem baharu itu juga direka untuk menyokong lebih ramai penerima BUDI95 pada masa depan.
Anwar berkata, penambahbaikan itu sebahagian usaha Kerajaan memperkukuh tadbir urus, memastikan kelancaran pelaksanaan subsidi bersasar dan memastikan manfaat sampai kepada rakyat yang benar-benar layak.
Tak Perlu Risau Gangguan Sistem
Peningkatan sistem pelayan itu memberi keyakinan proses penyaluran subsidi petrol melalui BUDI95 dapat dilakukan secara lebih cekap, telus dan menyeluruh.
Dengan kapasiti 10 kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini, rakyat tidak perlu risau mengenai gangguan teknikal ketika membuat tuntutan subsidi.
SUMBER: BeritaRTM
Leave a Reply