Pada Oktober lalu, Porsche Malaysia telah mengadakan satu konvoi kenderaan elektrik (EV), Porsche Taycan yang melibatkan tiga varian berbeza iaitu dua unit Taycan (varian asas), satu unit Taycan 4S, dan satu unit Taycan 4S Cross Turismo.
Kumpulan saya terdiri daripada empat orang individu yang merupakan rakan media lain dan kami akan memandu Taycan 4S sepanjang konvoi tersebut. Jarak perjalanan pula dianggarkan sejauh 234km bersamaan 2 jam 34 minit dengan empat perhentian (checkpoint) berbeza iaitu di Shell Kampung, Temiang, Toruto Cafe, dan Shell HPC Temerloh untuk melakukan pertukaran pemandu sebelum tiba ke destinasi utama di Gambang, Pahang.
Pengalaman pemanduan kali ini juga agak sedikit mencabar kerana kami terpaksa memandu dalam cuaca buruk dengan hujan lebat dan tidak berhenti bermula dari The Saujana Hotel Kuala Lumpur sehingga melepasi sempadan Maran, Pahang.
Bagaimanapun, ia menjadi satu peluang untuk menunjukkan kemampuan EV daripada Porsche ini ketika meredah jalan yang licin, jalan yang berlopak, dan kawasan banjir. Terdapat tiga perkara utama yang menjadikan saya yakin untuk memandu kenderaan ini walaupun keadaan jalan dan cuaca sangatlah teruk.
Suspensi
Untuk pengetahuan umum, Porsche Taycan ini dilengkapi Adaptive Air Suspension di mana ia membantu pemandu untuk mengharungi pelbagai jenis jalan dengan mengubah ketinggian pada chasis kenderaan secara automatik atau manual. Terdapat juga kemudahan GPS Smart Lift yang mampu diakses melalui dua cara iaitu menerusi paparan panel atau menggunakan Porsche Communication Manager yang terdapat di paparan infotainmen kenderaan.
Kemudahan GPS Smart Lift ini juga membantu mengubah ketinggian chasis kenderaan secara automatik apabila melalui jalan yang telah dipilih menerusi dua cara akses tersebut. Berikut merupakan ketinggian bagi setiap level chasis yang tersedia:
- Lift: Naik sehingga 30mm
- Normal: Ketinggian asal
- Lowered: Turun 10mm
- Low: Turun 22mm
Ketinggian asal untuk Porsche Taycan 4S ini adalah 1,379mm pada level chasis normal, jadi apabila ia diubah pada level lift atau low maka ia juga akan mempengaruhi ketinggian asal kenderaan tersebut.
Dalam konvoi itu, kami terpaksa melalui satu jalan banjir dengan ketinggian air dianggarkan separuh tayar kenderaan dan ia merupakan peluang untuk mencuba teknologi suspensi Porsche itu. Hasilnya, kami dapat meneruskan perjalanan dan berjaya meredah jalan banjir tersebut tanpa sebarang masalah teknikal EV.
Mod Pemanduan
Terdapat empat pilihan mod pemanduan untuk Porsche Taycan 4S ini iaitu Range, Normal, Sport, dan Sport Plus. Sepanjang perjalanan dari KL menuju Gambang, kami hanya mengaktifkan mod pemanduan Sport Plus bagi memastikan tahap pemanduan kekal berkualiti dan berprestasi tinggi.
Menurut Porsche sendiri, mod Sport Plus ini menjanjikan prestasi pemanduan yang maksimum dengan keseimbangan darisegi kelajuan dan aerodinamik pada kenderaan.
Walaupun kenderaan ini tidak mempunyai mod Wet yang membantu meningkatkan kawalan kenderaan pada permukaan jalan basah dan licin tetapi tidak dinafikan penggunaan mod Sport Plus ini juga meningkatkan kenyakinan sewaktu memandu pada musim tengkujuh.
Berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri, ketika memandu dalam mod Sport Plus ini ia memberikan kawalan stereng yang baik kerana ia tidak mudah terpusing atau hilang kawalan apabila melanggar permukaan lopak air, malah ia juga tidak terlalu keras apabila membawa kenderaan pada kelajuan 120-140kmj di selekoh tajam. Ditambah dengan Porsche Electric Sport Sound yang menghasilkan bunyi seakan-akan membawa kenderaan ICE.
Justeru dengan bantuan pengekalan lorong (LKA) juga membantu meningkatkan lagi keselamatan ketika memandu walaupun tahap penglihatan saya menjadi rendah akibat hujan yang lebat. Tolakan atau tarikan stereng juga lebih lancar dan lembut berbanding dengan EV lain yang turut mempunyai sistem LKA yang pernah saya pandu sebelum ini.
Tayar
Pemilihan tayar kenderaan juga tidak boleh dipandang remeh terutama apabila memandu jentera berkuasa tinggi seperti Porsche Taycan 4S ini. EV daripada Porsche ini menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4 245/45 dengan rim aloi bersaiz 20 inci.
Tidak hairanlah pemanduan EV kali ini sangat baik dan lancar kerana ia menggunakan rim dan tayar yang bersaiz agak besar yang mampu meningkatkan lagi kestabilan kenderaan ketika mengharungi pelbagai jenis jalan biarpun dalam keadaan hujan lebat.
Sebagai maklumat tambahan, tayar ini menjanjikan pemanduan yang senyap dan menggunakan teknologi ‘Dynamic Response’ yang boleh memberikan cengkaman kuat dalam keadaan jalan basah termasuklah jarak brek yang lebih baik. Malah, ia juga direka lebih tahan lasak dan mampu memberikan perlindungan daripada kesan haba akibat perjalanan jarak jauh.
Lebih menarik lagi, rekabentuk corak bunga pada tayar ini diilhamkan daripada perlumbaan Formula E, dimana corak alur tayar ini boleh mengeluarkan air dengan berkesan daripada permukaan sentuhan, lantas mengurangkan risiko penyatahan air dan memberikan keselamatan dalam apa jua keadaan cuaca.
Berikut perincian untuk Porsche Taycan 4S dengan 'Performance Battery Plus'
- Dimensi keseluruhan: 4,963 panjang, 1,966 lebar, 1,379 tinggi, dan 2,900 jarak roda.
- WLTP: 20.9-17.8kWj/100km.
- Bateri: Dikuasakan bateri voltan tinggi (800V).
- Kapasiti cas maksimum (DC) adalah 320kW dengan 10-80% hanya 18 minit, manakala AC hanya kW dengan 0-100% selama 11 jam.
- Transmisi kelajuan tunggal pada bahagian gandar depan, manakala transmisi dua kelajuan pada gandar belakang.
- Sistem pemanduan menggunakan pacuan semuda roda (AWD) dilengkapi Porsche Traction Management (PTM).
- Output kuasa 380kW (517PS), manakala overboost dengan launch control pula mampu menghasilkan 440kW (598PS).
- Tork maksimum adalah sebanyak 710Nm dengan launch control.
- Kelajuan maksimum mampu mencecah 250kmj dengan 0-100kmj hanya 3.7 saat.
- Sistem brek menggunakan kaliper monoblok 6-piston bahagian depan, manakala kaliper monoblok 4-piston bahagian belakang.
- Kapasiti but belakang 407L, manakala but depan 84L.
Leave a Reply