BARU-baru ini, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) mengadakan sesi Test Track bersama rakan media lain untuk melihat kemampuan maksimum yang ada pada kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik, Proton e.MAS 7 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Untuk perbandingan kali ini, Proton juga menyediakan sebuah lagi SUV elektrik jenama lain dan saya akan gelarkan ia sebagai jenama X atas sebab-sebab tertentu. Mesti anda tertanya-tanya, jenama X tu brand dari mana? Sebagai clue, jenama X ini juga merupakan jenama dari China dan telah dilancarkan dalam pasaran Malaysia dan menjadi salah satu pesaing e.MAS7 dalam kelas SUV elektrik segmen-C.
Seperti yang anda tahu, SUV elektrik dari Proton ini mempunyai dua pilihan varian namun untuk pandu uji kali ini kami hanya menggunakan varian Premium sahaja sepanjang Test Track berlangsung. Untuk perbandingan di antara dua varian ini, sila baca dan klik di sini.
Litar yang digunakan untuk Test Track ini diadakan di Proton Centre of Excellent (COE), Shah Alam. Berikut perincian berkenaan litar yang digunakan:
- Jenis litar: Semi High Speed
- Berbentuk Oval
- Mempunyai dua laluan lurus dan dua selekoh condong 42"
- Panjang litar 1,800 meter dengan tiga lorong
- Had kelajuan
- Lorong rendah: 60kmj
- Lorong tengah 60-100kmj
- Lorong tinggi: 100-130kmj
Terdapat empat jenis ujian yang akan dilakukan iaitu:
- Ujian memandu dalam litar (dua pusingan)
- Ujian selekoh dengan sistem keselamatan ADAS
- Ujian 'Staggered Gate'
- Ujian 0-100kmj
Ujian Memandu Dalam Litar (dua pusingan)
Pusingan pertama, saya mengendalikan e.MAS 7 dengan menggunakan mod pemanduan dan pedal brek Comfort. Secara keseluruhannya, pemanduan terasa sangat stabil walaupun berada pada lorong kedua litar dengan kelajuan 100-130kmj.
Namun setelah saya menukar mod pemanduan dan pedal brek kepada Sport pada pusingan kedua, saya dapat merasakan perubahan yang agak ketara darisegi bunyi yang sedikit kuat, pikap lebih sensitif, dan kemampuan 0-100kmj yang lebih pantas.
Menurut Proton, kemampuan 0-100kmj yang boleh dicapai adalah 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175kmj. Namun, apabila saya memandu dengan mod Sport ini, saya hanya mencapai 152kmj ketika laluan lurus dan berada pada kelajuan 120kmj ketika berada di lorong kedua selekoh condong.
Apa yang menarik ketika melalui selekoh tersebut? Saya dapat merasakan pemanduan yang dinamik dan stabil walaupun kedudukan pemandu agak sedikit tinggi berbanding SUV jenama X. Ditambah dengan sistem ADAS yang tidak terlalu sensitif walaupun kedudukan e.MAS 7 sedikit terkeluar daripada lorong memandu.
Untuk pengetahuan anda, berat e.MAS 7 Premium adalah 1,765kg iaitu 103kg lebih berat berbanding varian Prime (1,662kg). Walaupun berat adalah 1.7 tan sahaja tapi ia mampu kekal stabil dan mudah dikawal ketika melalui selekoh condong, seakan-akan berat kenderaan itu melebihi 2 tan.
Apa beza dengan SUV jenama X pula? Saya boleh simpulkan bahawa jenama X ini mempunyai kawalan stereng yang lebih lembut yang membuatkan saya kurang yakin membawa pada kelajuan melebihi 100kmj ketika selekoh condong. Malah, sistem keselamatan kenderaan ini juga terlalu sensitif sehingga mengakibatkan saya hampir hilang kawalan akibat brek keselamatan hidup secara tiba-tiba semasa melalui selekoh condong pada pusingan pertama.
Ujian Selekoh dengan Sistem Keselamatan ADAS
Selekoh dalam ujian ini pula tidak sama dengan selekoh condong tadi kerana ia adalah selekoh jalan rata yang berbentuk separuh bulatan dan mempunyai halangan kon pada hujung jalan.
Untuk ujian kedua ini, ia lebih memfokuskan kepada keupayaan kenderaan mengelak halangan ketika memandu di jalan berselekoh. Sebagai gambaran, adakah anda teringat video X50 yang viral kerana sempat mengelak kereta yang berhenti secara tiba-tiba di lebuhraya? Ya, salah satu ciri daripada sistem ADAS iaitu Autonomous Emergency Braking (AEB) berfungsi untuk memberhentikan kenderaan atau mengelak ke lorong lain secara automatik.
Ketika melalui selekoh itu, saya membawa pada kelajuan 70-80kmj dengan pusingan stereng pada kedudukan pukul 10. Sebelum melalui halangan tersebut, bunyi amaran telah aktif dan saya dapat rasakan kenderaan diperlahankan dan stereng berpusing secara automatik walaupun tangan saya masih memegang stereng. Tindak balas itu berlaku dalam beberapa saat, namun ia sangat smooth dan tidak menyebabkan badan saya beranjak dengan kuat.
Berbeza dengan SUV jenama X, ketika berada dalam keadaan sama, sistem itu seperti tidak berfungsi dan berkemungkinan ia tidak mengesan sebarang situasi yang bahaya tetapi saya masih boleh mengelak halangan dengan baik.
Ujian 'Staggered Gate'
Bagi yang tidak tahu, ujian ini mempunyai persamaan dengan Slalom Test yang menumpukan sepenuhnya pada kawalan stereng dan kemampuan suspensi kenderaan untuk bergerak kiri ke kanan secara agresif.
Saya boleh katakan kawalan stereng dari Proton sangat baik seperti yang diakui rakyat Malaysia kerana ia terbukti sangat solid serta tidak terlalu keras atau terlalu lembut ketika melakukan sebarang tolakan atau tarikan.
Rekabentuk stereng dua jejari e.MAS 7 ini juga sebiji sama seperti Geely E5 yang tidak terlalu bulat, seakan-akan berbentuk petak dilengkapi butang kawalan pada bahagian kiri dan kanan yang minimalis.
Darisegi suspensi yang digunakan pula, bahagian depan menggunakan MacPherson Independent Suspension dan Multilink Independent Suspension pada bahagian belakang. Ditambah saiz tayar Goodyear yang agak besar untuk sebuah SUV iaitu 235/50 dengan rim 19 inci.
Suspensi yang baik ini menjadikan pemanduan lebih stabil dan olengan badan yang tidak terlalu kuat yang boleh membawa kepada kawalan kenderaan lebih cermat.
Ujian 0-100kmj
Secara jujurnya dalam ujian ini, saya tidak dapat merasakan perbezaan yang ketara di antara e.MAS 7 dan jenama X. Seperti yang saya jelaskan pada ujian pertama tadi, 0-100kmj e.MAS 7 hanya mengambil masa 6.9 saat, manakala untuk jenama X ini pula mengambil masa 7.3 saat.
Jika dilihat secara atas kertas ujian ini yang hanya mempunyai perbezaan sebanyak 0.4 saat sahaja. Jadi, ia berkemungkinan menjadi salah satu faktor mengapa saya tidak dapat membuat perbandingan dengan lebih terperinci.
Bagaimanapun, darisegi teknikal mungkin ia lebih memihak kepada e.MAS7 kerana mempunyai mod pemanduan Sport yang tiada pada sistem jenama X.
Berikut perincian 14 ciri tambahan e.MAS 7 Premium yang tiada pada varian Prime.
- Bateri 60.22kWh
- Jarak perjalanan: 410km
- Pengecasan DC: 100kW
- Rim 19 inci
- Panoramik sunroof dengan penghadang cahaya matahari
- But belakang elektrik
- Penutup gril aktif
- Cermin pandang belakang malap automatik
- Fungsi memori pada kerusi pemandu
- Kerusi penumpang hadapan boleh laras 4-arah elektrik
- Kerusi hadapan dilengkapi sistem ventilasi
- Lampu ambien dengan 256 pilihan warna
- Paparan dongak atas (HUD)
- Sistem audio Flyme 16-pembesar suara
Leave a Reply