PERBANKAN pelaburan, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangka rasionalisasi subsidi RON95 ditangguh dan dilaksanakan pada suku keempat 2025 disebabkan isu belum selesai berhubung kelayakan penerima dan mekanisme pelaksanaan subsidi tersebut.
Menurut MIDF, kelewatan itu dijangka memberi kelegaan sementara kepada pengguna kerana dapat mengekalkan perbelanjaan swasta dalam persekitaran inflasi yang masih terkawal.
Kerajaan Fokus Tentukan Kumpulan Penerima Layak
Walaupun Kementerian Kewangan (MOF) mensasarkan pelaksanaan pada separuh kedua 2025, MIDF berpendapat ia mungkin dilanjutkan akhir tahun.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, proses rasionalisasi subsidi akan bermula separuh kedua 2025 dan fokus utama Kerajaan adalah menentukan kumpulan penerima yang benar-benar layak menerima subsidi bahan api tersebut.
MIDF juga menjangka pengguna tidak akan terkesan secara drastik berikutan mekanisme pelepasan subsidi yang dijangka dilaksanakan berperingkat.
Inflasi Mungkin Meningkat
Namun, Kerajaan memberi amaran tekanan inflasi mungkin meningkat menjelang akhir tahun akibat rasionalisasi subsidi dan kos utiliti lebih tinggi untuk perniagaan.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat penurunan 3.4 peratus pada April 2025, penurunan dua bulan berturut-turut yang juga dipengaruhi kejatuhan harga petroleum mentah dan gas asli.
MIDF turut menyorot jurang yang semakin melebar antara IHP dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR).
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply