MEREKA yang mengikuti perkembangan industri automotif pasti tahu tentang cabaran dihadapi Nissan.
Tidak semua berbunyi negatif dan terbaru Nissan Serena menduduki tempat pertama segmen minivan di Jepun pada 2024 dengan jualan 80,899 unit.
Hangat tentang Nissan sekarang ini adalah teknologi e-POWER dan model yang menggunakan rangkaian kuasa hibrid terjual sebanyak 100,000 unit sejak diancarkan.
Serena dan Serena e-POWER diperkenal di Jepun pada 28 November 2022. Kenderaan di Jepun boleh dikatakan perlu ditawarkan dalam versi pacuan empat roda dan Serena e-POWER canggih dengan teknologi e-4ORCE.
e-4ORCE terlebih dahulu digunakan pada model elektrik LEAF dan Ariya. Berbanding pacuan empat roda yang menggunakan komponen mekanikal, sistem e-4ORCE terdiri daripada motor elektrik di depan dan belakang.
Sistem mengawal daya kilas dan pembrekan setiap roda secara berasingan dan mengutamakan bahagian dengan cengkaman paling tinggi untuk mendaki selain mengurangkan kesan pembelokan lebih dan terkurang (over/understeer).
e-4ORCE mempunyai kadar respon sehingga 10,000 kali sesaat untuk membuat penyesuaian terhadap keadaan yang berubah-ubah dan laluan mencabar.
Seperti sistem mekanikal, e-4ORCE berfungsi di atas permukaan licin, laluan off-road dan di selekoh. Dari segi sambutan, sebanyak 4,700 unit Serena e-4ORCE dipesan sejak tempahan dibuka pada Oktober 2024.
Selain sambutan orang awam, Serena turut diiktiraf industri apabila memenangi anugerah Teknologi Kereta Tahunan, RJC Car of the Year 2024 dan anugerah sama pada Japan Car of the Year 2023 - 2024.
Dari segi keselamatan, Serena menerima penarafan lima bintang JNCAP. Buat pelanggan yang mahukan teknologi biasa, Nissan menawarkan enjin MR20DD 2.0 liter dengan transmisi Xtronic CVT.
Nissan juga konsisten menawarkan model sporti dan pelanggan boleh memilih Serena Autech yang bukan sahaja berbeza dari segi penampilan tetapi merangkumi penalaan dan komponen pengendalian.
Rangkaian kuasa Nissan Serena:
Enjin pembakaran dalaman tunggal (ICE)
- MR20DD 2.0 liter.
- 150ps@6,000 rpm, 200Nm@4,400 rpm.
- Transmisi Xtronic CVT.
- Pacuan 2WD, 4WD.
Hibrid
- HR14DDe-EM57 1.4 liter dengan motor elektrik depan (2WD).
- Enjin: 98ps@5,600 rpm, 123Nm@5,600 rpm.
- Motor EM57: 120kW (163PS), 315Nm.
- HR14DDe-EM57-MM48 1.4 liter dengan motor elektrik depan dan belakang (4WD).
- Enjin: 98ps@5,600 rpm, 123Nm@5,600 rpm.
- Motor EM57: 120kW (163PS), 315Nm.
- Motor MM48: 60kW (82PS), 195Nm.
Harga
- 2WD: 2,719,200 yen (RM77,223) - 4,847,700 yen (RM137,680).
- 4WD: 2,985,400 yen (RM84,789) - 4,486,900 yen (RM127,434).
Berkenaan penawaran, Serena sudah memasuki pasaran Singapura dan Indonesia dan bila pula giliran pasaran tempatan?
Belum ada pengesahan mengenainya dan berdasarkan sejarah, hanya generasi ketiga tidak ditawarkan dan untuk model baharu mungkin lambat atau cepat.
Leave a Reply